Skip to main content

Singapura

Bekas kaunselor ini kagum, sanjung tekad penghuni wanita Casa Raudha perkasa diri

Bagi kebanyakan persekitaran kerja, situasi-situasi yang rumit jarang sekali meningkat ke tahap berbahaya atau kritikal.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas kaunselor ini kagum, sanjung tekad penghuni wanita Casa Raudha perkasa diri

Gambar: CNA Woman(Lukisan: Chern Ling)

Diterbitkan : 08 Mar 2022 10:33PM Dikemas Kini : 09 Mar 2022 08:59AM

SINGAPURA: Bagi kebanyakan persekitaran kerja, situasi-situasi yang rumit jarang sekali meningkat ke tahap berbahaya atau kritikal.

Bagi tempat kerja Cik Zaharah Ariff pula, krisis adalah sesuatu yang pasti, tempat kerja beliau memang sudah direka sedemikian rupa untuk menanganinya.

Tidak ada seorang pun yang tahu tentang situasi kritikal itu selain kakitangan dan penghuninya.

Cik Zaharah mengendalikan Casa Raudha, sebuah rumah tumpangan bagi wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa dera.

abuse1
Beliau bersama sepuluh kakitangannya membantu lebih 50 penghuni yang memerlukan bimbingan dan perlindungan daripada suami ataupun bapa mereka.

Demi keselamatan dan privasi para penghuni, lokasi sebenar Casa Raudha dirahsiakan.

"Kami tidak menerima 'walk-in' orang awam. Hanya mereka yang pernah menghuni di sini sahaja yang dibenarkan masuk. Mereka boleh datang terus ke sini jika ada berlaku kecemasan," dedah Cik Zaharah kepada CNA Women.

Cik Zaharah berusia 30-an tahun semasa beliau mula berkhidmat sebagai seorang kaunselor di sebuah sekolah menengah di mana beliau menguruskan para remaja berisiko.

"Saya melihat ramai yang ponteng sekolah dan gagal menunjukkan prestasi yang baik. Malah, ada sesetengah pelajar yang lari dari rumah," dedah beliau kepada CNA Women.

"Saya tertanya-tanya apa yang berlaku sehinggakan mereka berasa seolah-olah mereka tidak lagi selamat di rumah. Di mana mereka berada jika tidak berada di rumah atau sekolah? Mereka dengan siapa? Saya sering bertanya perkara seperti ini.

Tiga tahun kemudian pada 2005, beliau berkhidmat pula sebagai kauselor rumah tangga. Di situlah, beliau mendapatkan jawapan yang ditanya-tanya selama ini.

"Dahulu, keganasan rumah tangga bukanlah sesuatu yang sering didengar. Ia tidak dibincangkan secara terbuka kerana ramai menganggapnya sebagai urusan peribadi. Saya sendiri tidak tahu-menahu tentang keganasan rumah tangga," kata beliau.

Apabila salah seorang klien beliau berkongsi dengannya tentang suaminya yang berkelakuan ganas, klien itu juga meluahkan kebimbangan tentang keselamatan diri dan anak-anaknya.

abuse 2

Cik Zaharah mencadangkan kepada mereka supaya pergi ke "tempat yang selamat", namun wanita itu akan menjawab,"Ke mana boleh saya pergi? Saya tidak bekerja? Apa yang akan berlaku pada saya? Saya tidak mahu tidur di kaki lima dan tidak ada apa-apa untuk makan dan minum."

Seorang lagi klien memberitahu Cik Zaharah bahawa beliau mengalami penderaan secara psikologi dan emosi sehingga dia terpaksa berjumpa dengan pakar psikiatri. Apabila Cik Zaharah bertanya mengapa mangsa tidak mahu meninggalkan tempat itu, jawapan yang diberikan serupa dengan klien sebelumnya yang juga berkata dia tidak mempunyai pilihan sekalipun rumah ibu bapanya sendiri.

"Saya mula menyedari bahawa wanita-wanita ini memerlukan lebih daripada khidmat kaunseling. Mereka memerlukan tempat yang selamat untuk melindungi anak-anak dan diri mereka sendiri.

"Saya memberitahu diri saya bahawa saya perlu melakukan lebih lagi untuk membantu wanita-wanita ini. Mereka tidak sepatutnya dibiarkan menderita dan terus terperangkap dalam hubungan yang ganas semata-mata kerana mereka mempunyai sumber yang terhad,” tegas Cik Zaharah, yang kini berusia 56 tahun.

Beliau meminta pertolongan seorang rakan untuk membantunya membangunkan sebuah tempat perlindungan bagi wanita dan kanak-kanak supaya mereka dapat "mengorak langkah ke hadapan dan tidak lagi dicengkam ketakutan."
abuse 3
Cik Zaharah juga menghubungi rumah-rumah tumpangan yang lain dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), serta Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan ketika itu untuk mendapatkan bantuan dan nasihat mereka.

"Semua orang bersetuju bahawa terdapat keperluan untuk membangunkan tempat perlindungan yang lain. Kami melakukan kerja asas selama setahun sebelum menubuhkan Casa Raudha pada 2008,” dedah Cik Zaharah sambil menambah bahawa Casa Raudha menerima banyak sokongan dana daripada masyarakat.

Hari ini, Casa Raudha adalah sebahagian daripada Casa Raudha Limited, sebuah pertubuhan bukan untuk mengaut keuntungan yang ditubuhkan pada 2017.

PERJALANAN MENUJU KEBEBASAN

Seorang wanita yang mengalami keganasan rumah tangga mempunyai banyak 'tempat rujukan' di mana dia boleh memberitahu jiran atau ahli keluarga, membuat aduan polis, mendapatkan rawatan di hospital, bercakap dengan pegawai Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) atau mengunjungi Pusat Khidmat Keluarga (FSC).

Terdapat sebanyak 48 FSC di merata Singapura yang boleh memberikan nasihat dan bantuan kepada para individu yang lemah dan disokong oleh agensi-agensi seperti MSF dan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS).

"Rumah tumpangan seharusnya dijadikan sebagai ikhtiar terakhir. Para pegawai kes akan menimbangkan alternatif lain terlebih dahulu, seperti ahli keluarga terdekat dan rakan-rakan. Ia mestilah ruang yang selamat, jadi si pelaku tidak boleh membuat kacau di sana. Jika para pegawai menilai bahawa wanita dan kanak-kanak tidak mempunyai tempat alternatif, mereka akan menimbangkan rumah tumpangan sebagai satu pilihan," kata Zaharah.

Bagi kes-kes berisiko tinggi, pihak rumah tumpangan akan menghubungi sekolah kanak-kanak itu untuk memastikan guru mereka boleh terus berhubung dengan mereka, kata Cik Zaharah.

abuse 4
"Rumah tumpangan ini bukan tempat untuk mangsa berpeluk tubuh saja. Kami mahu mereka berasa diri mereka diperkasakan. Kami mahu mereka tahu bahawa isu mereka itu tidak akan menghantui mereka buat selama-lamanya," tegas Cik Zaharah.

Satu program yang direka khas untuk membantu mereka adalah program "Step Out and Step Up". Sebagai sebahagian daripada program ini, para penghuni wanita harus membiasakan diri dengan "kitaran keganasan" yang terdiri daripada tiga fasa iaitu: ketegangan, krisis dan “tempoh berbulan madu”.

Program itu juga akan membantu para penghuni wanita memahami kelakuan pelaku sebelum mendidik mereka tentang sumber yang disediakan dan meningkatkan celik kewangan mereka.

Dan untuk mengingatkan mereka bahawa mereka masih penting dalam masyarakat, mereka digalak untuk mengambil bahagian dalam projek tahunan "Casa Raudha Gives Back".

Ia adalah satu inisiatif yang menyaksikan para penghuni wanita menjual produk yang dihasilkan dengan hasil penjualannya disalurkan kepada pertubuhan amal yang lain.

"TRANSFORMASI YANG MENAKJUBKAN"

Menurut Cik Zaharah, walaupun selepas lebih sedekad mengendalikan rumah tumpangan tersebut, beliau masih kagum dengan tekad ramai penghuni wanita walaupun mereka berada dalam keadaan yang mencabar.

abuse 5

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita