Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas kapten S'pura Indra Sahdan gigih gilap bakat pemain muda; atur strategi lahirkan penyerang prolifik

Bekas penyerang handalan dan kapten bola sepak pasukan kebangsaan, Indra Sahdan Daud, 41 tahun, kini bergelar seorang jurulatih.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Bekas penyerang handalan dan kapten bola sepak pasukan kebangsaan, Indra Sahdan Daud, 41 tahun, kini bergelar seorang jurulatih.

Beliau mengorak langkah berani untuk menganjurkan 'masterclass' dalam percubaannya untuk menghasilkan pemain-pemain berkaliber pada masa akan datang, khususnya sebagai pemain penyerang yang 'menyengat'.

BAGAIMANA NAK JADI 'STRIKER' HANDALAN?

Setiap pemain penyerang dalam sesebuah pasukan bola sepak perlu memiliki teknik yang mantap, mengawal bola dengan cekap dan berjaya menggelecek bola sehingga menembusi benteng pertahanan lawan dan pastinya mempunyai keupayaan untuk menjaringkan gol-gol yang mengagumkan.

Bagi para peserta program ‘Finishing Touch’ atau Sentuhan Penyempurna, segala kemahiran mereka dalam mengatur serangan perlu diasah - sama ada dari segi mengumpan bola mahupun menyempurnakan jaringan yang berupaya membolosi gawang lawan.

Pakar yang melatih teknik-teknik tersebut adalah bekas bintang bola sepak tempatan, Indra Sahdan Daud yang akur ramai mungkin bertanggapan bahawa para penyerang tempatan kurang 'menyengat dan berbisa' di depan gol.

Lantaran itulah, berbekalkan pengalamannya yang luas, Indra memulakan program itu yang hanya fokus kepada golongan muda dahulu - bak melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Anak-anak didik bekas kapten pasukan negara yang sudah menjaringkan lebih 200 gol kesemuanya untuk negara dan pelbagai kelab Liga Singapura itu berusia antara 9 hingga 11 tahun.

Indra berkata: "Lebih-lebih lagi budak-budak, mereka suka bermain dan bergembira, jadi dari segi itu, saya juga boleh bermain. Tetapi dari segi teknikal, saya harus lebih ‘keras’ sedikit jadi mereka boleh beri tumpuan kepada apa yang saya cakap."

Sesi latihan 'masterclass' bersama Indra yang baru dimulakan lebih sebulan lalu, diadakan dua kali seminggu dan dihadkan kepada dua pemain sahaja bagi setiap sesi.

Setiap peserta akan menjalani 10 sesi bersama Indra.

Setakat ini, Indra sedang melatih sekitar lima pemain penyerang.

"Saya boleh kasi tumpuan sepenuhnya. Ini macam latihan yang lebih tertumpu. Jadi saya boleh banyak tumpukan masa kepada dua orang daripada ramai-ramai, nanti fokusnya tidak ada," tegas Indra.

DARI PEMAIN KEPADA JURULATIH

Indra akur bahawa beliau tiada cukup pengalaman sebagai seorang jurulatih.

Namun, hal sedemikian tidak dianggap sebagai satu rintangan, lebih-lebih lagi dengan pengalamannya selama 20 tahun sebagai pemain bola sepak.

"Saya ada pengalamannya. Jadi apa yang saya pelajari semasa saya bermain, saya kirakan kongsi pengetahuan kepada generasi-generasi akan datang," ujar Indra.

Dari segi melakar latihan bagi setiap sesi, Indra meluangkan masa untuk meneliti semua jaringan gol dan mendalami segala aspek permainan termasuk pergerakannya sebelum mendapatkan bola sehinggalah cara beliau menendang bola.

Menariknya, beliau masih menyimpan rakaman jaringan golnya sejak awal kerjayanya lagi pada tahun 1996.

Menurut Indra, cara mendapatkan sumber untuk diajarkan kepada anak didiknya itu lebih mudah untuk difahami kerana beliau sendiri yang terlibat dalam jaringan gol itu.

HARAPAN BESAR UNTUK ANAK DIDIK INDRA

Hakikatnya, program tersebut bermatlamat untuk 'melahirkan' penyerang yang tangkas dan prolifik.

Indra berkata: "Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) memberi tumpuan untuk layak ke pertandingan Piala Dunia. Jadi kita sedikit sebanyak pun kena tolong juga. Jadi kumpulan fokus ini adalah kumpulan yang usia mereka, memang sesuai untuk Piala Dunia."

"Harapan saya sekurang-kurangnya 2, 3 orang daripada program ini dapat bermain untuk pasukan nasional dan menempah nama di Asia Tenggara dan mungkin di Eropah," tambah beliau.  

Sumber : BERITA Mediacorp/HK/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa