Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas kakitangan UOB, OCBC dikenakan perintah larangan 15 tahun; tipu pelanggan hampir S$2 juta

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas kakitangan UOB, OCBC dikenakan perintah larangan 15 tahun; tipu pelanggan hampir S$2 juta

Bangunan Penguasa Kewangan Singapura (MAS). (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 07 Dec 2022 07:15PM Dikemas Kini : 07 Dec 2022 07:16PM
SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Rabu (7 Dis) mengeluarkan Perintah Larangan (PO) selama 15 tahun ke atas bekas kakitangan dua bank kerana melakukan penipuan dan bertindak tidak jujur.

Han Delong sebelum ini disabit kesalahan kerana pecah amanah jenayah, menipu, melakukan pemalsuan, serta memindahkan dan menukar hasil daripada perbuatan jenayahnya, menurut MAS.

Han dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan pada Mei tahun lepas atas kesalahan menipu tujuh orang hampir S$2 juta untuk produk kekayaan rekaan.

Dia mengaku bersalah pada April atas 27 tuduhan dengan 67 lagi tuduhan turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Han ialah seorang jurubank peribadi kanan di UOB antara Ogos 2014 dan Disember 2015. Dia kemudiannya bekerja sebagai pengurus perhubungan di OCBC antara Mac 2016 dan Januari 2017.

Antara Februari 2015 dan April 2018, Han memperdaya tujuh pelanggan untuk memindahkan S$1,969,000 ke akaun bank peribadinya dengan mempromosikan deposit tetap rekaan dan produk pelaburan lain.

Dia memalsukan dokumen bank untuk memberi gambaran bahawa urus niaga itu adalah tulen, dan menggunakan dana yang ditipu daripada mangsa untuk kepentingannya sendiri. Ini termasuk memindahkan sebahagiannya kepada abang dan bekas temanitanya, serta membayar balik mangsa lain.

Kesalahan ini berlaku semasa Han bekerja sebagai wakil untuk UOB dan OCBC dan walaupun selepas dia tidak lagi bekerja dengan kedua-dua bank, kata MAS.

Perintah yang berkuat kuasa serta-merta melarang Han daripada menyediakan sebarang khidmat nasihat kewangan.

Dia juga tidak boleh melakukan sebarang kegiatan terkawal atau mengambil bahagian dalam pengurusan, bertindak sebagai pengarah, atau menjadi pemegang saham besar mana-mana firma perkhidmatan pasaran modal di bawah Akta Sekuriti dan Niaga Hadapan 2001.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan