Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas jurulatih Muay Thai dipenjara, sebat serang wanita secara seksual selepas kelas

Mengambil peluang apabila calon pelajar bertanya sama ada gimnya menawarkan khidmat urutan Thailand, Tan Wai Luen mengurutnya sebelum menyerangnya secara seksual menggunakan jari selama beberapa saat.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas jurulatih Muay Thai dipenjara, sebat serang wanita secara seksual selepas kelas

Tukul kayu mahkamah. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 06 Mar 2020 07:31PM Dikemas Kini : 06 Mar 2020 07:40PM

SINGAPURA: Mengambil peluang apabila calon pelajar bertanya sama ada gimnya menawarkan khidmat urutan Thailand, Tan Wai Luen mengurutnya sebelum menyerangnya secara seksual menggunakan jari selama beberapa saat.

Pada Jumaat (6 Mac), jurulatih berusia 31 tahun itu, yang tidak lagi bekerja di gim tersebut, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan empat bulan serta empat kali sebatan.

Duda tiga orang anak itu disabit kesalahan setelah dibicarakan atas satu tuduhan serangan seksual dengan penetrasi, berhubung insiden yang berlaku pada 1 Oktober 2016.

Mangsa yang berusia 33 tahun ketika itu, tidak boleh didedahkan namanya atas arahan mahkamah untuk melindungi identitinya.

Beliau menghadiri kelas percubaan di gim Encore Muay Thai di Joo Chiat - yang dikatakan gimnasium Muay Thai pertama di Singapura khas untuk wanita - petang itu.

Wanita itu memberi keterangan bahawa beliau bertanya sama ada gim tersebut menawarkan khidmat urut dan Tan menyentuhnya dengan tidak wajar semasa mengurutnya. Tan berhenti apabila wanita itu menjerit tetapi terus mengurutnya selama kira-kira 10 minit lagi sebelum mangsa beredar.

Salah seorang pengasas bersama gim membuat aduan polis selepas mangsa memberitahunya tentang apa yang terjadi.

Tan mendakwa dia mungkin secara tidak sengaja menyentuh bahagian sulit mangsa, sebelum mengubah keterangannya bahawa dia tidak mungkin menyentuh bahagian sulit wanita itu sama sekali kerana tidak mengurut melebihi paras paha.

Pada Jumaat, Hakim Daerah Ong Chin Rhu berkata bahawa Tan mencabuli kepercayaan mangsa. Mereka tidak mengenali satu sama lain sebelum hari itu.

Hakim menambah bahawa pada pandangannya, Tan tidak merancang untuk melakukan kesalahan itu tetapi sebaliknya mengambil peluang apabila mangsa bertanya tentang khidmat urut.

Tan juga menyerang wanita itu secara seksual selama "beberapa saat", yang menunjukkan tahap kesalahan "yang agak rendah" berbanding dengan kes-kes serupa, kata hakim itu.

Tan berkata bahawa dia bercadang untuk membuat rayuan terhadap keputusan hakim.

Atas kesalahan melakukan serangan seksual dengan penetrasi, Tan boleh dipenjara sehingga 20 tahun, serta denda atau dirotan.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan