Bekas jurulatih bebas dipenjara selepas murid jatuh setinggi 4 tingkat dari 'flying fox' dan retak tulang

Alvina Lee Peiyu tiba di Mahkamah Negara pada 26 Feb 2024. (Gambar: Eugene Goh/CNA)
SINGAPURA: Seorang jurulatih bebas yang ditugaskan untuk memasangkan 'carabiner' pada para murid yang mengambil bahagian dalam kegiatan 'flying fox' di pekarangan sebuah sekolah rendah, gagal memastikan ia dipasang dengan betul pada seorang murid perempuan berusia sembilan tahun.
Akibatnya, carabiner yang dipasang pada kabel zipline hanya melalui ikatan kabel hitam, terputus sebaik sahaja kanak-kanak itu meluncur.
Murid perempuan itu jatuh dari ketinggian 11 meter, iaitu setinggi empat tingkat, menyebabkan siku, pinggul dan pelvisnya retak.
Alvina Lee Peiyu, rakyat Singapura berusia 34 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama dua bulan pada Isnin (26 Feb).
Dia mengaku bersalah atau satu tuduhan cuai yang membahayakan nyawa manusia.
Kes tersebut berlaku sebulan selepas seorang jurulatih sukarela dihukum penjara selama enam bulan atas kematian seorang pelajar berusia 15 tahun semasa melakukan kegiatan tinggi.
Mahkamah diberitahu bahawa Lee yang merupakan seorang jurulatih bebas mempunyai pengalaman kira-kira empat tahun ketika insiden tersebut berlaku.
Dia memperoleh sijil Jurulatih Kursus Cabaran Tahap 2 Pusat Bina Semangat Singapura (OBS) dan telah dilatih untuk membuat persiapan dan menjalankan kegiatan sedemikian.
Berdasarkan pengalaman dan latihannya, dia memahami risiko yang ditimbulkan oleh aktiviti seperti 'flying fox' dan memahami bahawa jatuh dari tiga atau empat tingkat boleh menyebabkan kecederaan serius atau kematian.
Mangsa sedang mengambil bahagian dalam satu program pendidikan luar bermodul yang ditawarkan oleh sekolahnya.
Identiti murid perempuan tersebut tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah.
Program itu dijadualkan selama 90 minit setiap sesi mingguan yang merangkumi sebanyak tujuh sesi.
Bagi kesalahan menyebabkan kecederaan teruk akibat perbuatan cuai, Lee boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.