Skip to main content

Singapura

Bekas juri Singapore Idol Ken Lim dikenakan tuduhan baru hina kehormatan wanita

Anggaran Waktu Membaca:
 Bekas juri Singapore Idol Ken Lim dikenakan tuduhan baru hina kehormatan wanita

Ken Lim Chih Chiang di luar Mahkamah Negara pada 30 Mac 2023. (Gambar: Marcus Mark Ramos/CNA)

Diterbitkan : 20 Sep 2023 07:46PM
SINGAPURA: Bekas juri Singapore Idol Ken Lim Chih Chiang dikenakan pertuduhan baharu pada Rabu (20 Sep). Dia kini berdepan tujuh pertuduhan pada keseluruhannya.

Dalam tuduhan terbaharu ini, dia didakwa menghina kehormatan seorang wanita yang bercakap dengannya mengenai kerjaya dalam bidang muzik, dan bertanya sama ada wanita itu “anak dara” dan "bagaimana jika saya melakukan hubungan seks dengan awak sekarang".

Insiden itu dikatakan berlaku pada malam 25 Julai 2012 di Hype Records di Henderson Road. Lim mengendalikan sebuah syarikat penganjuran konsert, label rekod dan agensi pengurusan artis.

Daripada tujuh pertuduhan ke atas pengendali berusia 59 tahun itu, lima melibatkan mangsa yang didakwa disasarkannya antara tahun 1998 hingga 2021, di pejabat atau rumahnya.

Dia juga didakwa memberitahu seorang artis wanita bahawa wanita itu tidak mempunyai pengalaman seksual dan dia boleh membantu mengatasinya. Dia juga didakwa menunjukkan video lucah.

Lim juga didakwa bertanya kepada seorang artis wanita sama ada beliau “anak dara” dan bagaimana beliau boleh menulis “lagu yang lebih mendalam jika beliau tidak berpengalaman dari segi seks”.

Lim dibela para peguam dari WongPartnership, yang terdiri daripada Peguam Kanan Tan Chee Meng, Encik Paul Loy dan Encik Calvin Ong.

Dalam satu kenyataan yang diberikan kepada CNA selepas sesi makhamah pada Rabu, mereka berkata bahawa anak guam mereka “menjelaskan hasratnya untuk bersungguh-sungguh menentang tuduhan-tuduhan yang dikenakan ke atasnya di makhamah dalam masa terdekat" sejak dia pertama kali didakwa pada Mac.

“Malangnya, pihak pendakwa berulang kali menyatakan bahawai mereka belum bersedia untuk meneruskan perbicaraan di makhamah. Sebaliknya, sejak enam bulan lalu, pihak pendakwaan secara bertahap-tahap memilih mengenakan pertuduhan tambahan terhadap Lim, yang kesemuanya mendakwa bahawa kehormatan dihina merujuk kepada beberapa perkataan yang diungkapkan sejak 10 hingga 20 (atau lebih) tahun lalu," tulis peguam Lim.

Menurut mereka, Lim “secara konsisten menolak dakwaan itu, dan kecewa dengan pihak pendakwa yang tidak menyediakan tarikh perbicaraan makhamah walaupun terdapat pemintaan yang banyak daripada pihak kami untuk berbuat sedemikian.”

“Walaupun kelengahan ini jelas memberi kesan, anak guam kami terus bersedia untuk membela diri di mahkamah, dan berharap untuk membuktikan bahawa dia tidak bersalah," kata peguam.

Bagi setiap pertuduhan menghina kehormatan seorang wanita, dia berdepan hukuman penjara setahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Jika didapati bersalah mencabul, dia berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Hukuman itu juga termasuk rotan, tetapi pesalah berusia 50 tahun dan ke atas tidak dirotan.

Dia akan kembali ke mahkamah hujung minggu ini.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita