Bekas HOD Sekolah Menengah Woodgrove didapati bersalah guna S$40,000 dana pelajar
Maslinda Zainal, 46 tahun, disabit dua kesalahan pecah amanah jenayah sebagai pegawai khidmat awam selepas menjalani perbicaraan hampir dua tahun.
Maslinda Zainal di Mahkamah Negara pada 6 Okt 2020. (Gambar: TODAY/Ili Nadhirah Mansor)
SINGAPURA: Bekas Ketua Jabatan bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Woodgrove hari ini (11 Jan) didapati bersalah menyalahgunakan S$40,000 wang yang dibayar oleh para pelajar bagi mendapatkan bahan-bahan pembelajaran.
Maslinda Zainal, 46 tahun, disabit dua kesalahan pecah amanah jenayah sebagai pegawai khidmat awam selepas menjalani perbicaraan hampir dua tahun.
Maslinda, membawa pulang gaji bulanan S$8,800 bertanggungjawab mengumpul wang yang dibayar para pelajar kepada guru bahasa Inggeris mereka bagi mendapatkan bahan-bahan pembelajaran pakej 'Excel'.
Bagaimanapun, dia mengumpulkan jumlah lebih banyak daripada sepatutnya antara bulan Januari 2016 dengan April 2017, sekitar S$40,000 daripada para pelajar.
Maslinda yang sudah digantung tugas, mempunyai ijazah sarjana dalam bidang pendidikan dan memimpin beberapa guru di bawahnya, menafikan tuduhan-tuduhan tersebut dan berkata dia tidak menyimpan rekod wang yang diterima memandangkan tidak disuruh melakukan demikian.
Dalam keterangan kepada polis, dia mengaku telah mengambil wang berjumlah S$39,000 hingga S$40,000, untuk kegunaannya sendiri seperti membeli makanan dan tidak unutk membeli barangan mewah.
Di mahkamah, Malinda mengatakan dia menggunakan wang itu untuk membeli peralatan tulis dan barangan lain untuk pelajar.
Kesalahan itu terbongkar apabila ketua peringkat menengah 1 dan 2 bagi mata pelajaran bahasa Inggeris, Cik Jacqueline Chan meminta penjual kedai buku pada hari pertama persekolahan dalam tahun 2016 memberikan salinan invois bagi buku-buku tersebut.
Penjual itu berkata beliau diarahkan supaya memberi salinan invois hanya kepada Maslinda dan bukan Cik Chan.
Apabila Cik Chan akhirnya memperolehi salinan invois tersebut, beliau menyedari terdapat percanggahan antara jumlah yang dikumpulkan oleh guru dengan jumlah yang tertera pada invois.
Beliau kemudian memaklumkan isu itu kepada naib pengetua dan pengetua sekolah terkejut mendapati jumlah yang dikumpulkan begitu banyak.
Para penyiasat Kementerian Pendidikan (MOE) dan polis dihubungi dan Maslinda digari dan dibawa keluar dari sekolah.
Semua 20 guru dalam jabatan bahasa Inggeris di sekolah itu memberi keterangan di mahkamah sepanjang perbicaraan dan berkata Maslinda tidak memberitahu mereka tentang lebihan wang yang dikumpulkan.
Peguam bela bagaimanapun berhujah bahawa Maslinda tidak mengira mahupun menyimpan rekod wang tunai yang diserahkan kepadanya dan mungkin sesetengah guru lain tidak memberikan bayaran penuh kepadanya mengikut senarai buku.
Maka itu hujahnya, invois yang diserahkan kepada mahkamah tidak mencerminkan sepenuhnya jumlah yang dibayar kepada kedai buku dan wang lebihan tersebut sudah digunakan untuk para pelajar dan bukan secara tidak jujur.
MOE memberitahu CNA pada bulan NOvember 2018 semasa perbicaraan ke atas Maslinda bermula bahawa ia memandang serius salah laku para pendidik. Namun enggan memberi kenyataan lanjut memandangkan kes itu sudah dibawa ke mahkamah.
Atas kesalahan pecah amanah jenayah sebagai pegawai khidmat awam, Maslinda boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan didenda bagi setiap tuduhan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.