Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas guru prasekolah mengaku salah berkasar dengan murid berkeperluan khas

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang bekas guru prasekolah mengaku di mahkamah pada Isnin (21 Nov) bahawa dia mendera seorang kanak-kanak lelaki berkeperluan khas berusia empat tahun, dengan menarik telinganya serta menolaknya secara kasar apabila kanak-kanak tersebut enggan tidur pada waktu rehatnya.

Wanita 51 tahun itu, yang tidak boleh didedahkan namanya disebabkan perintah mahkamah untuk melindungi identiti mangsa, mengaku bersalah atas satu tuduhan berkelakuan kasar terhadap kanak-kanak tersebut di bawah Akta Kanak-kanak dan Orang Muda.

Tuduhan kedua menggunakan kekerasan jenayah terhadap budak berkenaan akan dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu wanita itu merupakan guru prasekolah di sebuah sekolah sejak 2013. Nama sekolah tersebut tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah.

Dia mengajar bahasa Mandarin kepada para murid prasekolah tersebut selain memandikan, menidurkan, memberi makanan dan membantu mereka ketika bermain di luar.

Mangsa, yang berusia empat tahun ketika itu, mengalami masalah lambat bercakap dan hanya mula bercakap ketika usianya hampir lima tahun.

Budak tersebut mempunyai kesukaran mengekalkan hubungan mata dengan orang lain dan mempunyai interaksi yang minimum dengan kanak-kanak lain. Satu penilaian mendapati beliau mengalami Gangguan Spektrum Autisme dan beliau menerima campur tangan awal terapi pertuturan dan bahasa.

Sekitar pukul 12.30 tengahari pada 2 Disember 2020, merupakan waktu rehat bagi para murid prasekolah tersebut.

Pada pukul 12.35 tengahari, tertuduh duduk di sebelah mangsa untuk menidurkannya. Namun, dia mula berasa marah dan kecewa kerana gagal melakukannya.

Setelah hampir 10 minit kemudian, dia menarik bahu kanak-kanak itu dan menolaknya ke hadapan. Kanak-kanak tersebut kemudian berguling ke atas lantai.

Budak itu mencuba untuk berdiri dan apabila tertuduh berjaya menyuruh budak itu duduk, dia menarik kedua-dua telinga budak itu, sambil mencalarkan kedua belah lehernya.


Pada satu ketika, rakan sekerja tertuduh terdengar tangisan kanak-kanak lelaki itu. Namun, tertuduh terus melayan kanak-kanak itu dengan kasar - menarik kanak-kanak itu dengan kuat ke arahnya dan menolaknya semasa dia sedang duduk, sehingga menyebabkan dia itu terjatuh.

Perbuatan itu dirakam kamera litar tertutup di bilik rehat.

Pada sebelah petang, ibu kanak-kanak lelaki itu datang untuk mengambil anaknya. Tertuduh berbohong dengan berkata kesan calar pada kanak-kanak tersebut tidak disengajakan. Tertuduh mendakwa budak itu cuba meludahnya sedang dia cuba menidurkannya.

Walau bagaimanapun, apabila tiba di rumah, ibu kanak-kanak itu melihat kesan calar pada anaknya dan membuat aduan kepada pihak prasekolah.

Tertuduh sekali lagi berbohong kepada pengetua, namun akhirnya mengaku berkelakuan kasar terhadap kanak-kanak itu selepas ditunjukkan rakaman CCTV.

Ibu kanak-kanak itu membuat aduan polis. Pihak sekolah membayar bil perubatan mangsa dan tertuduh dipecat dua hari selepas insiden itu.

Hakim menangguhkan hukuman sehingga Januari. Pihak pendakwaan memohon hukuman penjara selama 11 hingga 13 bulan terhadap wanita tersebut, yang tidak pernah disabit kesalahan.

Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan