Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas guru prasekolah Kinderland dipenjara 17 bulan 2 minggu kerana aniaya kanak-kanak

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas guru prasekolah Kinderland dipenjara 17 bulan 2 minggu kerana aniaya kanak-kanak

Lin Min, bekas guru prasekolah Kinderland, tiba di Mahkamah Negara pada Selasa, 19 Nov 2024. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 13 Mar 2025 11:36PM Dikemas Kini : 13 Mar 2025 11:38PM
SINGAPURA: Seorang bekas guru bahasa Mandarin daripada prasekolah Kinderland dijatuhi hukuman penjara 17 bulan dua minggu pada Khamis (31 Mac) kerana mendera empat kanak-kanak, termasuk memaksa dua daripada mereka untuk minum air.

Lin Min, 35 tahun, sebelum ini mengaku bersalah ke atas tiga tuduhan menganiaya kanak-kanak, dengan tiga pertuduhan serupa dipertimbangkan.

Kanak-kanak yang terlibat berusia antara satu hingga tiga tahun. Nama mereka, serta lokasi tepat di mana kejadian itu berlaku tidak boleh didedahkan di bawah perintah mahkamah.

Dalam menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah John Ng berkata bahawa beliau tidak dapat menerima hujah pihak pembela bahawa Lin memikirkan tentang kebajikan kanak-kanak berkenaan.

"Tertuduh dengan jelas tidak menghiraukan kesan negatif tindakannya yang bersifat kasar dalam percubaan untuk memastikan agar kanak-kanak tersebut meminum air.

"Bagaimanapun, saya menerima bahawa tertuduh tidak bertindak dengan niat jahat," kata Hakim Ng.

Beliau menarik perhatian bahawa kecederaan secara fizikal adalah rendah, namun trauma psikologi yang dialami oleh mangsa, ibu bapa mereka serta kanak-kanak lain di pusat jagaan kanak-kanak yang menyaksikan kejadian itu, tidak boleh diketepikan.

Hakim mengambil kira pengurangan hukuman penuh untuk pengakuan bersalah Lin dan kenyataan bahawa Lin tidak mempunyai sejarah jenayah. Beliau juga mengambil kira dua minggu Lin ditahan di Institut Kesihatan Mental (IMH) pada tahun 2023.


Selepas hukuman dijatuhkan, Lin meminta menerusi peguamnya Kalidass Murugaiyan untuk menangguhkan permulaan tempoh penjara selama seminggu, sambil mengatakan bahawa dia perlu membuat persiapan untuk anaknya yang sangat rapat dengannya.

LATAR BELAKANG KES

Kes Lin mula dilaporkan pada 2023 selepas video kejadian tersebar di internet. Beberapa kejadian melibatkan guru-guru lain dari rantaian prasekolah yang sama muncul selepas itu.

Lin kemudian dipecat dan dilarang bekerja dalam sektor prasekolah.

Dokumen mahkamah dari perbicaraan sebelumnya menyatakan bahawa Lin telah memaksa seorang mangsa - seorang kanak-kanak perempuan yang berusia hampir dua tahun - untuk baring, dan menuangkan air ke dalam mulutnya pada 30 Jun 2023.

Kanak-kanak perempuan ini kedengaran terbatuk dan tercekik air. Menyusuli pengalaman itu, kanak-kanak itu akan terjaga di tengah malam, menangis dan mengatakan "tidak" dan "bye bye lao shi (guru)".

Lin turut mencuba untuk memaksa seorang budak lelaki, yang ketika itu berusia sekitar dua tahun, untuk minum air dengan memaksanya secara kasar untuk baring di lantai.

Beberapa hari kemudian, dia memegang dahi budak itu dan menahan kepalanya ke belakang untuk memberinya air. Budak lelaki tersebut kemudian mula mengalami mimpi buruk mengatakan "tidak, tidak, tidak saya tidak mahu".

Timbalan Pendakwa Raya Jotham Tay mengatakan semasa penghujahan hukuman bahawa tindakan Lin mempunyai "unsur kekejaman yang jelas", manakala Encik Kalidass menegaskan bahawa Lin tidak bertindak atas dasar niat jahat dan kekejaman, tetapi bimbang bahawa kanak-kanak itu mungkin mengalami dehidrasi.

Atas kesalahan menganiaya kanak-kanak, Lin boleh dihukum penjara sehingga lapan tahun, dan/atau didenda sehingga S$8,000.
 
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan