Skip to main content

Singapura

Bekas guru prasekolah dipenjara sebab tampar pelajar 3 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas guru prasekolah dipenjara sebab tampar pelajar 3 tahun

Mahkamah Negeri Singapura. (Gambar fail: CNA/Jeremy Long)

Diterbitkan : 27 Jul 2026 07:40PM Dikemas Kini : 27 Jul 2026 07:41PM
  • Seorang bekas guru prasekolah Singapura dijatuhi hukuman penjara lima bulan kerana menampar seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun di bawah jagaannya.
  • Kejadian berlaku pada 12 September 2025 di sebuah prasekolah, namun lokasi dan identiti tidak didedahkan atas perintah mahkamah.
  • Guru tersebut menafikan perbuatannya walaupun terdapat bukti rakaman CCTV, dan telah memberi pampasan S$15,000 kepada keluarga mangsa.
  • Pendakwa menegaskan tindakan guru itu melanggar kepercayaan awam, manakala hukuman maksimum bagi kesalahan ini ialah lapan tahun penjara atau denda S$8,000.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Seorang bekas guru prasekolah dijatuhkan hukuman penjara lima bulan pada Isnin (27 Jul) kerana menampar seorang budak lelaki berusia tiga tahun dengan begitu kuat sehingga kepalanya terhantuk almari berdekatan.

Wanita warga Singapura berusia 31 tahun itu mengaku bersalah atas satu pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak dalam jagaannya di bawah Akta Kanak-kanak dan Orang Muda.

Mahkamah mengarahkan perintah perlindungan identiti ke atas mangsa yang meliputi lokasi kejadian dan sekolah. Mediacorp tidak menamakan tertuduh kerana carian namanya mendedahkan sekolah tersebut.

Mahkamah dimaklumkan bahawa mangsa merupakan seorang pelajar pratadika di prasekolah di bawah jagaan wanita itu.

Kira-kira jam 10.30 pagi, 12 September 2025, budak lelaki itu sedang duduk di lantai sambil menangis di luar bilik darjahnya.

Apabila diberitahu tentang perkara itu oleh seorang guru lain, tertuduh berjalan keluar dari bilik darjah, menarik budak lelaki itu pada pergelangan tangannya dan membawanya ke dalam bilik darjah.

Beliau meletakkan mangsa di lantai, sebelum budak lelaki yang menangis itu menyepak paha wanita itu sebagai tindak balas.

Wanita itu membalas dengan menampar lengan budak lelaki itu. Kejadian itu menarik perhatian guru-guru lain.

Tertuduh menutup pintu bilik darjah dan memarahi mangsa sebelum menampar mukanya dua kali. Tamparan itu menyebabkan kepala budak lelaki itu terhantuk almari di sebelahnya.

Pengetua sekolah menghampiri bilik darjah itu kerana kekecohan tersebut dan melihat tamparan tersebut.

Beliau segera campur tangan, membawa budak lelaki itu keluar dan memaklumkan ibunya tentang apa yang berlaku.

Apabila disoal siasat oleh ibunya, budak lelaki itu pada mulanya menafikan tiada apa yang tidak diingini telah berlaku, tetapi kemudian berkata tertuduh telah memberitahunya supaya jangan memberitahu ibu bapanya mengenai kejadian itu.

Ibu budak lelaki itu membuat laporan polis.

Apabila disoal siasat oleh polis, tertuduh menafikan menampar budak lelaki itu walaupun selepas beliau ditunjukkan rakaman televisyen litar tertutup tentang dia berbuat demikian.

Sebaliknya, tertuduh menegaskan dia hanya menolak sisi kepala mangsa.

Pendakwa raya memohon hukuman penjara sekurang-kurangnya lapan bulan, sambil berkata bahawa wanita itu melanggar kepercayaan tinggi yang diberikan kepada para guru untuk memastikan mereka yang paling terdedah dan tidak berdaya dijaga dengan sewajarnya.

Beliau berkata mangsa tidak berganjak dari tertuduh walaupun selepas dipukul beberapa kali, dan hanya boleh menjerit dan menangis.

Walau bagaimanapun, pendakwa berkata tertuduh telah memberikan pampasan S$15,000 (US$11,600) kepada keluarga mangsa.

Atas sebab menganiaya kanak-kanak yang berada dalam jagaannya, wanita itu boleh dipenjara sehingga lapan tahun, didenda sehingga S$8,000, atau kedua-duanya.
Sumber : CNA
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita