Bekas guru prasekolah dipenjara 19 bulan kerana dera dua kanak-kanak
Seorang guru prasekolah yang mendera dua kanak-kanak bawah meja, menampar dan memperlakukan mereka secara kasar dihukum penjara 19 bulan pada Isnin (5 Mei).
Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar fail: CNA/Wallace Woon)
Identiti wanita tersebut dan nama prasekolah tersebut tidak boleh didedahkan kerana perintah mahkamah bagi melindungi identiti kedua-dua mangsa yang bawah umur.
Wanita itu yang kini berusia 30 tahun, dipecat oleh prasekolah itu pada 29 Jun 2022, iaitu dua hari selepas dia mendera kanak-kanak tersebut.
Dia mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan mendera seorang kanak-kanak, dengan lagi tiga tuduhan serupa diambil kira dalam menentukan hukuman.
Pada bulan lalu, seorang rakan sekerjanya dihukum penjara dua minggu kerana hanya berdiam diri apabila melihat wanita itu mendera salah seorang kanak-kanak tersebut.
Pada Isnin, pihak pendakwa menayangkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu dalam bilik mahkamah secara tertutup, di mana pihak media dan orang awam hanya dibenarkan masuk semula selepas rakaman itu berakhir.
Perbuatannya yang dirakam dalam video itu mendorong Hakim Daerah Eddy Tham untuk katakan "kenyataan fakta dalam kes ini cukup memeritkan untuk dibaca, namun rakaman videonya menjadikannya lebih parah".
Wanita itu dibenarkan menangguhkan hukuman selama seminggu, dan dibebaskan dengan ikat jamin lebih tinggi iaitu sebanyak S$20,000.
Hukuman bagi kesalahan mendera seorang kanak-kanak adalah hukuman penjara sehingga lapan tahun atau denda sehingga S$8,000, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.