Bekas guru mengaku bersalah rakam video rakan sekerja, pelajar lelaki, pegawai polis di tandas
Seorang guru di sekolah menengah merakam secara sembunyi-sembunyi video pelajar dan rakan sekerja lelakinya di tandas sekolah. Namun, dia ditangkap setelah merakamkan video seorang pegawai siasatan yang bogel di tandas rumah kelab sebuah kondominium.
Gambar hiasan.
SINGAPURA: Seorang guru di sekolah menengah merakam secara sembunyi-sembunyi video pelajar dan rakan sekerja lelakinya di tandas sekolah. Namun, dia ditangkap setelah merakamkan video seorang pegawai siasatan yang bogel di tandas rumah kelab sebuah kondominium.
Pesalah, 49 tahun, mengaku bersalah pada Jumaat (25 Feb) atas empat tuduhan melakukan gangguan awam dengan merakamkan mangsa-mangsa itu dan membuat filem lucah.
Lagi enam tuduhan dipertimbangkan ketika menjatuhkan hukuman.
Mahkamah mengeluarkan arahan terperinci yang melarang penerbitan identiti para mangsa serta juga nama tertuduh dan sekolah tersebut.
Mahkamah diberitahu pesalah memasuk sebuah tandas di sekolah menengah itu pada 30 Oktober 2017 sedang seorang pelajar 16 tahun membuang air kecil.
Tertuduh bergerak menghampiri mangsa dan merakamkan dia membuang air kecil ketika pelajar itu tidak sedar.
Video yang dirakamkan sepanjang 25 saat dan turut menunjukkan wajah serta alat sulit mangsa.
Tertuduh merakamkan seorang lagi pelajar pada 29 November 2017 ketika dia sedang menyalin seluar di dalam tandas sekolah tersebut.
Pada 15 April 2018 pula, tertuduh memasuki sebuah tandas di sekolah berkenaan di mana rakan sekerjanya, seorang guru lelaki berusia 51 tahun, sedang membuang air kecil.
Pesalah mula merakam rakan sekerjanya itu yang tidak tahu beliau sedang dirakam dalam sebuah video.
Pada malam hari berkenaan, pesalah berada di tandas rumah kelab sebuah kondominium apabila seorang pegawai siasatan polis berusia 31 baru, yang baru sahaja selesai berenang di kolam renang, memasuki bilik air untuk mandi.
Sewaktu pegawai itu bogel dan mengelap kering dirinya, tertuduh berpura-pura mencari kad akses kondominiumnya.
Dia berjalan mengelilingi pegawai itu dan merakam mangsa sambil memberitahu beliau dia cuba melihat jika kadnya tertinggal di belebas tempat mandi.
Video tersebut merakam bahagian sulit serta wajah pegawai itu.
Pegawai itu merasa tingkah laku pesalah mencurigakan tetapi beliau tidak tahu bahawa lelaki berkenaan sedang merakam beliau.
Pegawai tersebut segera memakai pakaiannya dan keluar dari tandas untuk mencari tertuduh namun kelibatnya tidak kelihatan.
Mangsa kemudian ternampak tertuduh dan mendekatinya, mengenalkan diri beliau sebagai seorang pegawai polis.
Pegawai itu memberitahu tertuduh beliau mendapati tingkah lakunya mencurigakan dan mengesyaki tertuduh merakamnya.
Sedang mereka berdua menuju ke pondok pengawal kondominium itu, tertuduh berulang kali meminta pegawai berkenaan agar memberinya satu lagi peluang.
Di pondok pengawal, pegawai itu memberitahu pengawal keselamatan apa yang berlaku dan meminta tertuduh untuk membuka kunci telefon bimbitnya di hadapan mereka. Dia berbuat demikian dan perkara pertama yang dilihat adalah video pegawai tersebut.
Apabila pegawai itu memeriksa telefon tertuduh, beliau ternampak beberapa rakaman video dirinya sedang bogel. Seorang pengawal keselamatan kemudian membuat aduan polis.
128 RAKAMAN LUCAH DITEMUI
Telefon bimbit dan komputer riba tertuduh kemudian dirampas oleh polis.
Secara keseluruhannya. 128 rakaman lucah ditemui dalam peralatan tersebut yang dibuat tertuduh antara Februari 2017 hingga April 2018.
Sekurang-kurangnya tiga melibatkan guru yang menggunakan tandas lelaki di sekolah dan sekurang-kurangnya dua video menunjukkan pelajar yang menggunakan tandas lelaki di sekolah.
Sekurang-kurangnya 46 video dirakamkan di tandas rumah kelab kondominium tersebut.
Daripada 128 rakaman itu, sekurang-kurangnya 117 dirakamkan tanpa izin mangsa, sama ada di tempat membuang air kecil atau di dalam tandas rumah kelab tersebut.
Semasa ditemu bual di Institut Kesihatan Mental (IMH), tertuduh berkata dia akan menonton rakaman itu di telefon bimbitnya atau memindahkan video ke komputer ribanya dan kemudian menontonnya pada skrin lebih besar.
Menurutnya dia akan merasa bersalah dan memadamnya kerana takut akan ditangkap.
Dalam satu kenyataan selepas perbicaraan, seorang jurucakap Kementerian Pendidikan (MOE) berkata pesalah sudah "meninggalkan khidmat pendidikan pada April 2018 dan tidak lagi mengajar di mana-mana sekolah".
"MOE memandang serius salah laku kakitangan dan akan mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang gagal mematuhi piawai tingkah laku dan disiplin kami, termasuk diberhentikan daripada berkhidmat," tegasnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.