Skip to main content

Singapura

Bekas guru agama Rasman Saridin dipenjara 11 bulan dua minggu

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Sep 2023 07:30PM Dikemas Kini : 26 Sep 2023 09:18PM
SINGAPURA: Bekas guru agama, Rasman Saridin, hari ini (26 Sep) mengaku bersalah atas lima pertuduhan dan dijatuhi hukuman penjara 11 bulan dua minggu.

Demikian menurut kenyataan media yang dikeluarkan Pasukan Polis Singapura hari ini.

Lima pertuduhan itu adalah:
  • Dua tuduhan pecah amanah
     
  • Satu tuduhan pemalsuan bagi tujuan menipu;
     
  • Satu tuduhan menjalankan perniagaan sebagai ejen pelancongan tanpa lesen; dan
     
  • Satu tuduhan melakukan perjalanan ke luar Singapura tanpa izin Pegawai Muflis.

Lagi 17 pertuduhan dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan.
GELAPKAN DUIT MAHASISWA

Rasman dikenakan satu tuduhan pecah amanah ke atas yuran kursus universiti daripada seorang mahasiswa.

Pada 2014, Rasman yang bertindak selaku pengarah Azzam Educational & Event Management Services Pte Ltd.

Syarikat itu mengendalikan urusan pentadbiran dan mengumpulkan bayaran bagi pihak mahasiswa yang mendaftar masuk ke sebuah universiti di Indonesia.

Antara November 2014 dengan Oktober 2016, dia mengumpulkan yuran kursus universiti sebanyak S$10,330 daripada seorang mahasiswa.

Dia secara tidak jujur menggelapkan S$7,000 daripada jumlah keseluruhan itu bagi perniagaan pelancongan yang dikendalikannya.

Pada September 2017, mahasiswa itu dimaklumkan oleh pihak universiti bahawa yuran S$7,000 masih tertunggak dan meminta mahasiswa berkenaan membayarnya untuk menamatkan kursus.

TEMPAH TIKET PENERBANGAN PALSU UNTUK BAKAL JEMAAH UMRAH

Pada 2018, Rasman mengendalikan perniagaan menganjurkan acara dan melakukan pemasaran di bawah syarikat Khalifah SG Private Limited (“Khalifah SG”).

Dari Jun 2019, dia mula mengeluarkan iklan melalui pelbagai saluran bahawa Khalifah SG akan menawarkan khidmat umrah.

Ini meskipun dia tidak memegang sebarang lesen daripada Lembaga Pelancongan Singapura. Lesen itu diperlukan untuk menjalankan perniagaan sebagai ejen pelancongan.

Sekitar Oktober 2019, seorang bakal jemaah mendapatkan khidmat syarikat Rasman bagi umrah untuk dirinya dan lagi 19 bakal jemaah lain.

Antara Oktober dengan November 2019, para bakal jemaah itu menyerahkan bayaran sebanyak S$21,850 kepada Rasman.

Rasman sepatutnya menempah tiket penerbangan dan hotel dengan wang tersebut. Sebaliknya, dia menggelapkan wang itu.

Dia kemudian mengadakan tiket penerbangan palsu yang menunjukkan dua penerbangan antara Singapura dengan Jeddah, antara 15 Januari dengan 24 Januari 2020, menerusi Saudi Arabian Airlines. Tiket-tiket itu kononnya ditempah atas nama para bakal jemaah.

KELUAR SG TANPA IZIN

Rasman menjadi muflis pada 2 November 2017.

Sebagai seorang yang muflis, dia tidak dibenarkan keluar negara, berada di luar negara atau tinggal di luar Singapura tanpa izin Pegawai Muflis.

Pada 31 Julai 2018, 2 Ogos 2018 dan 9 Ogos 2018, Rasman tetap keluar Singapura tanpa membuat permohonan dan mendapatkan izin Pegawai Muflis. Ini meskipun dia tahu bahawa dia mesti melakukan demikian.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita