Bekas guru agama, Fahrorazi Sohoi, didenda S$2,000 anjur Maulid Nabi tanpa permit
Bekas guru agama, Fahrorazi Sohoi, dikenakan denda S$2,000 kerana menganjurkan perhimpunan tanpa permit sah pada 2018 yang menarik sekitar 400 orang.
Fahrorazi Sohoi atau lebih dikenali sebagai Ustaz Fahrur Razi Kiayi Kassim. (Gambar: petikan dari YouTube)
SINGAPURA: Bekas guru agama, Fahrorazi Sohoi, dikenakan denda S$2,000 kerana menganjurkan perhimpunan tanpa permit sah pada 2018 yang menarik sekitar 400 orang.
Hari ini (27 Jan), Fahrorazi mengaku bersalah menganjurkan majlis Maulidr Rasul tanpa mendapatkan permit.
Fahrorazi, 49 tahun, adalah guru agama popular yang sebelum ini dikenali sebagai Ustaz Fahrurazi Kiayi Kassim.
Pada tahun 2019, dia diberi pelepasan tetapi tidak membawa kepada pembebasan (DNATA) atas tuduhan berasingan berkaitan penipuan haji.
Mahkamah diberitahu pada 11 November 2018, polis menerima aduan mengenai perhimpunan besar-besaran di Bangunan Pu Tian di Lorong 33 Geylang dan satu catatan Facebook menunjukkan Pusat Quran FR - yang dikendalikan oleh Fahrorazi sedang menganjurkan acara itu di sana.
Timbalan Pendakwa Raya Tan Zhi Hao berhujah bahawa Fahrorazi tahu dia memerlukan permit untuk menganjurkan perhimpunan itu. Tambahnya, Fahrorazi sebelum itu sudah membuat permohonan untuk mendapatkan permit bagi satu acara serupa untuk diadakan di Persekutuan Sepak Takraw Singapura di Bedok North menerusi TBQ Healthcare, iaitu syarikat yang dikendalikan oleh seorang lagi guru agama.
Seorang pegawai daripada Unit Pengurusan Pematuhan di Divisyen Polis Bedok memaklumkan kepada Fahrorazi menerusi kiriman emel bahawa permohonannya ditolak dan memberitahu bahawa ia adalah satu kesalahan untuk menganjurkan acara tanpa permit.
Fahrorazi kemudian membuat rayuan dan menyatakan bahawa para penceramah bagi acara itu "mempunyai rekod bersih dan semua aturan sudah disiapkan".
Rayuan itu juga ditolak dan polis sekali lagi menasihatkan Fahrorazi agar tidak menganjurkan majlis tersebut tanpa permit.
Encik Tan memberitahu mahkamah, pada 9 November 2018 Fahrorazi membatalkan tempahan bagi premis di Persekutuan Sepak Takraw Singapura dan menyewa auditorium di Bangunan Pu Tian.
Meskipun permohonan permit ditolak, Fahrorazi tetap mengeluarkan iklan bagi majlis tersebut di media sosial dan di akhbar Berita Harian pada 10 November 2018.
Mahkamah diberitahu bahawa Fahrorazi menghantar 800 undangan ke majlis itu menerusi laman Facebook Pusat Quran FR dan mengagihkan risalah-risalah serta mengajak para pelajar kelas agamanya untuk menghadiri majlis itu.
Encik Tan berkata Osman Sarkan - yang namanya digunakan bagi mendaftarkan Pusat Quran FR - dan Mohamad Yazid Yunos, seorang guru agama diundang untuk memberi ceramah di majlis tersebut, turut "ditangani secara berasingan".
Encik Osman diberi amaran keras atas peranannya membantu menganjurkan acara tersebut manakala Ustaz Mohamad Yazid menerima nasihat secara lisan kerana menyertai acara tiga jam itu.
Pihak pendakwa meminta agar Fahrorazi dikenakan denda S$2,000, sambil berkata sekurang-kurangnya dua kali dia tidak menghiraukan nasihat polis agar tidak meneruskan majlis tersebut tanpa permit.
Encik Tan berkata cara betul bagi Fahrorazi mengemukakan rayuan setelah permohonannya ditolak adalah dengan mengemukankannya kepada Menteri Ehwal Dalam Negeri dan memohon semakan mahkamah jika masih tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.
Peguam Fahrorazi, Mohamed Niroze Idroos bagaimanapun meminta pelepasan bersyarat atau penuh bagi anak guamnya itu.
Merujuk kepada komen-komen yang dibuat oleh Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri ketika itu, K Shanmugam, di Parlimen pada 2019, Encik Nirooze berhujah bahawa Akta Ketenteraman Awam adalah untuk mengawal kegiatan-kegiatan seperti bantahan.
Majlis sambutan Maulidur Rasul tidak boleh disifatkan sebagai kegiatan sedemikian maka tidak termaktub di bawah akta tersebut, kata beliau.
Encik Niroze menambah, majlis itu adalah "pelanggaran teknikal" undang-undang yang tidak mengancam ketenteraman atau keselamatan awam.
Semasa menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Salina Ishak berkata perintah pelepasan jarang dibuat dan menambah kes Fahrorazi kurang sebab untuk meringankan hukuman.
Hakim menambah beliau tidak bersetuju dengan definasi Encik Niroze bahawa insiden itu adalah pelanggaran teknikal undang-undang.
Fahrorazi sengaja melanggar nasihat polis, kata beliau, merujuk kepada jumlah besar hadirin yang datang serta tempoh majlis itu berlangsung.
Bagi kesalahan menganjurkan perhimpunan awam tanpa permit, Fahrorazi boleh dijatuhi hukuman denda sehingga S$5,000.
PENIPUAN 'HAJI VIP'
Pada 2018, Fahrorazi didakwa atas kesalahan menipu dan dituduh menipu Encik Mohammad Farehan Mohammad Hussein untuk membayar S$1,550 untuk melaksanakan ibadah 'Haji VIP' atas undangan Kedutaan Arab Saudi.
Encik Farehan adalah satu daripada lebih 80 jemaah - yang membayar keseluruhannya S$98,250 - yang terjejas oleh penipuan tersebut. Menerusi penipuan itu, para jemaah dijanjikan diskaun bagi pakej haji, yang tidak wujud, menurut polis pada waktu itu.
Pada Oktober 2019, mahkamah meluluskan pelepasan tetapi tidak membawa kepada pembebasan (DNATA) ke atas kes itu.
Ini bermakna, dia masih boleh didakwa bagi kesalahan menipu itu pada masa akan datang sekiranya terdapat perkembangan baru, termasuk bukti-bukti baru.
Dalam bulan Ogos 2020, Mohd Ramlee Ab Samad, warga Singapura 60 tahun pula didakwa atas kesalahan menipu 69 orang antara S$400 dengan S$1,950 dan menipu sekurang-kurangnya 15 yang lain berhubung kes Haji VIP itu.
Menurut dokumen-dokumen mahkamah, para mangsa mendakwa memberikan wang dan pasport mereka kepada Fahrorazi.
Hubungan antara Fahrorazi dengan Mohd Ramlee bagaimanapun, tidak diketahui.
Jika sabit kesalahan, Mohd Ramlee berdepan hukuman penjara tiga tahun dan denda bagi setiap tuduhan menipu orang lain supaya menyerahkan pasport dan sehingga 10 tahu penjara dan denda bagi setiap kesalahan menipu wang orang lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.