Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas Duta Jarak Selamat hadapi cabaran cari kerja baru, agensi pemerintah sediakan bantuan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Selepas kira-kira enam bulan berkhidmat sebagai seorang Duta Jarak Selamat (SDA), Syafiq Hassan, 24 tahun, semakin serasi dengan tugasnya itu.

Baginya, tugas ini merupakan antara cara beliau boleh menyumbang kepada negara dalam mengekang penularan COVID-19.

Namun, kontraknya berakhir pada April tahun ini dan beliau bertekad untuk mencari pekerjaan tetap demi menampung kehidupan. 

Walau bagaimanapun, proses mencari kerja tidak semudah yang dijangkakan. 

Antara cabaran yang dihadapi termasuk iklan-iklan pekerjaan yang tidak jelas atau mengelirukan.

"Bagi banyak pekerjaan yang ada pula, nama yang tertera lain tetapi skop pekerjaan pula lain," kongsi Syafiq.

"Contohnya, saya pergi temu duga semalam. Kerja yang diletak ialah pelatih pengurusan pemasaran dan acara tetapi apabila saya pergi sana, mereka menyuruh saya menjual sabun seperti jurujual," tambahnya lagi.

Beliau bukan sahaja perlu mengorbankan masanya tetapi juga wang bagi tambang untuk pergi dan pulang dari tempat temu duga itu. 

Meskipun sudah menjangkau dua bulan, Syafiq tetap tidak berputus asa dan meneruskan pencarian kerja yang sesuai buat dirinya berbekalkan Sijil Lanjutan dan Pengurusan Acara serta Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE). 

Sebelum berkhidmat sebagai seorang SDA, Syafiq bekerja sebagai pegawai keselamatan di sebuah pusat hiburan. 

Namun, disebabkan ketidaktentuan kerjayanya itu, beliau memilih untuk berpindah tugas menjadi seorang SDA di tengah-tengah pandemik. 

KAIS PAGI MAKAN PAGI, KAIS PETANG MAKAN PETANG 

Buat sementara waktu ini, beliau melakukan kerja sambilan sebagai penghantar makanan Grab.

"Buat masa ini, (saya) sedang membuat penghantaran makanan menerusi Grab. Hari-hari kata orang itu, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang kan? Jadi membuat hantaran makanan Grab sahajalah, sambil itu mencari kerja," ujar Syafiq.

Apabila ditanya pula sama ada gaji sebagai penghantar makanan cukup untuk menanggung kos kehidupan seharian, ini jawapannya:

"Secara jujurnya, orang kata kerja sebagai penghantar makanan GrabFood ini gaji tinggi, bulan-bulan boleh dapat empat ribu, lima ribu tetapi tak sebenarnya."

"Kita bersusah payah daripada pagi sehingga malam, kadangkala orang kata boleh dapat 20 atau 30 tempahan (tetapi) saya dapat paling banyak pun 15 tempahan. Kalau 15 tempahan baru S$100 hingga S$150 begitu. Kadang-kadang harga tempahannya pun kurang sebab banyak pesaing di luar."

Syafiq Hassan (paling kiri) bersama rakan-rakan kerjanya. (Gambar: Syafiq Hassan) 

Syafiq merupakan antara pekerja SDA yang terjejas oleh langkah untuk mengurangkan jumlah SDA dengan sekatan-sekatan COVID-19 dilonggarkan. 

Pada April lalu, sekitar 2,000 SDA digajikan oleh beberapa agensi pemerintah. 

Bagi membantu petugas jangka pendek seperti Syafiq, Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) juga menyediakan khidmat pembimbing kerjaya untuk membantu mereka yang terjejas dalam proses mencari pekerjaan. 

Antaranya termasuk Cik Rozita Mohd Yazid, dengan pengalaman 13 tahun sebagai pembimbing kerjaya. 

TIGA CABARAN PARA PETUGAS JANGKA PENDEK DIKENAL PASTI 

Menurut Cik Rozita, terdapat beberapa cabaran utama yang dihadapi oleh para petugas jangka pendek seperti SDA dalam mencari pekerjaan baru. 

Pertama, ada dalam kalangan mereka yang kurang pasti akan arah tujuan kerjaya mereka yang seterusnya - sama ada ingin kembali ke industri asal mereka atau mencari pekerjaan baru. 

"Mereka juga menghadapi cabaran emosi kerana kegagalan dalam pencarian kerja, di mana permohonan pekerjaan mereka ditolak oleh para majikan," kongsi Cik Rozita. 

Cabaran ketiga pula menurut Cik Rozita ialah golongan ini kurang keyakinan untuk meyakinkan bakal majikan bagaimana pengalaman jangka pendek mereka itu amat bernilai dan boleh dimanfaatkan buat pekerjaan yang mereka bakal lakukan.
 
Di sini, WSG boleh memainkan peranan untuk membimbing mereka dalam proses mencari kerja.

"Kami akan dapat membantu mereka untuk meningkatkan kebolehan pasaran mereka, membantu mereka untuk menangani emosi dan juga memberi mereka perangsang sebab mencari pekerjaan ini bukan mudah. Mereka akan berasa cemas dan juga tertekan," ujar Cik Rozita, 40 tahun.

Antara nasihat yang diberikan beliau termasuk mengenal pasti "minat, nilai, kekuatan dan kemahiran" bagi mereka yang sedang mencari kerja. 

"Untuk melakukan itu, mereka boleh bekerjasama dengan pembimbing kerjaya di mana pembimbing kerjaya itu boleh bantu hasilkan profil kerjaya untuk mengenal pasti dan membantu mereka untuk memahami profil mereka tersendiri," kata Cik Rozita. 

"Selain daripada itu, mereka harus memahami pasaran pekerjaan semasa dan bagaimana mereka boleh memanfaatkan minat dan juga kekuatan mereka demi keperluan pasaran semasa," tambah beliau lagi.

Cik Rozita juga menyarankan agar golongan ini untuk mengikuti kursus latihan semula sebelum memulakan kerjaya baru atau industri yang mereka pernah ceburi dahulu.

Ini di samping menggalak mereka bersikap lebih terbuka dan positif kerana peralihan kepada pekerjaan baru bukanlah sesuatu yang mudah. 

Mereka yang memerlukan bantuan dan bimbingan berhubung kerjaya boleh ke pusat-pusat kerjaya WSG dan NTUC e2i termasuk 24 pusat pekerjaan dan kemahiran SG United dan Careers Connect On-The Go (CCOTG). 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa