Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas DJ Dee Kosh dihukum penjara 32 minggu atas kesalahan seksual terhadap budak bawah umur

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas DJ Dee Kosh dihukum penjara 32 minggu atas kesalahan seksual terhadap budak bawah umur

Dee Kosh di luar Mahkamah pada 5 Ogos 2022. (Gambar: Jeremy Long/CNA)

SINGAPURA: Bekas juruhebah radio, Dee Kosh, 33 tahun, dikenakan hukuman penjara selama 32 minggu pada Jumaat (5 Ogos) atas kesalahan seksual yang melibatkan dua remaja lelaki. 

Personaliti YouTube yang nama sebenarnya tertera sebagai Darryl Ian Koshy, meminta layanan seks daripada empat remaja lelaki antara Februari 2017 hingga Ogos 2020. 

Pada Mei, dia mengaku bersalah kerana cuba mendapatkan seorang anak muda melakukan perbuatan tidak senonoh dan berkomunikasi dengan seorang budak bawah umur untuk mendapatkan layanan seks. 

Dua lagi pertuduhan berkaitan dua lagi mangsa turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman. 

Kosh juga mengaku merakam aksi seks bersama seorang mangsa tanpa pengetahuannya. Mangsa ketika itu berusia antara 23 dengan 24 tahun.

Dua lagi tuduhan menghasilkan dan memiliki filem-filem lucah turut dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman. 

Identiti kesemua mangsa tidak boleh didedahkan atas arahan mahkamah. 

Timbalan Pendakwa Raya Lim Ying Min sebelum ini menyifatkan Kosh sebagai "seorang penjenayah berpengalaman yang mahir mengelak daripada dikesan" dan berkata kesalahannya dirancang terlebih dahulu. DPP Lim mengusulkan hukuman penjara antara lima hingga lapan bulan. 

Peguam bela Johannes Hadi pula mengusulkan hukuman penjara lebih singkat selama 2.5 bulan sambil menegaskan bahawa anak guamnya berasa kesal dan menarik perhatian kepada prospek pemulihan Kosh yang baik seperti yang dinilai oleh seorang pakar psikiatri. 

Kosh terkenal di YouTube dan bertugas sebagai seorang penyampai di stesen radio Power 98, jawatan yang dipegangnya ketika melakukan kesalahan-kesalahan itu

Power 98 sebelum ini mendedahkan bahawa Kosh sudah digantung kerja sejak Ogos tahun lalu. Sebelum itu, dia diletakkan di bawah cuti tanpa gaji sedang siasatan terhadapnya dijalankan. 

Kosh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali atas kesalahan cuba mengeksploitasi budak bawah umur secara seksual di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (CYPA).

Sekiranya didapati bersalah kerana berniat untuk mendapatkan layanan seks daripada budak bawah umur, dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan didenda. 

Hukuman terhadap kesalahan menghasilkan filem lucah adalah hukuman penjara sehingga dua tahun dan didenda antara S$20,000 dengan S$40,000.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan