Bekas CFO Agritrade International berdepan lagi 6 tuduhan perdaya institusi kewangan AS$475 juta

Gambar hiasan. (Gambar: AFP)
SINGAPURA: Bekas ketua pegawai kewangan syarikat komoditi Agritrade International didakwa di mahkamah atas lagi enam tuduhan menipu. Dia didakwa memperdaya tiga institusi kewangan sebanyak AS$475 juta (S$645 juta), menurut polis hari ini (6 Jan).
Dalam satu kenyataan media, Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan Lulu Lim Beng Kim didakwa menipu semua institusi kewangan itu untuk mempercayai bahawa penyata kewangan yang disatukan bagi Agritrade International serta anak-anak syarikatnya, antara 2016 hingga 2018, sudahpun diaudit.
Ini "satu hakikat yang dia tahu adalah palsu", menurut polis.
"Melalui penipuan seumpama itu, Lulu Lim dipercayai secara tidak jujur mendorong tiga institusi kewangan tersebut untuk memberikan wang melalui kemudahan kredit kepada Agritrade International," tambah polis.
Keseluruhan wang yang terlibat dalam enam tuduhan itu berjumlah sehingga AS$475 juta dalam bentuk pengeluaran daripada kemudahan kredit.
Lim kini berdepan 20 dakwaan secara keseluruhannya - 19 tuduhan menipu dan satu tuduhan bersubahat dalam pemalsuan akaun.
Polis menyatakan siasatan sedang dijalankan.
Lim kali pertama didakwa pada September 2020 atas tuduhan menipu dan secara tidak jujur mendorong pemberian harta benda.
Wanita itu didakwa memperdaya Shanghai Pudong Development Bank cawangan Singapura untuk mempercayai bahawa 19 bil muatan - iaitu dokumen yang dikeluarkan oleh pembawa untuk mengesahkan penerimaan kargo bagi penghantaran - sudahpun dijamin secara sah dan mengikut undang-undang untuk berpihak kepada bank tersebut, menurut polis.
Ini menyebabkan bank itu membayar wang berjumlah AS$19.9 juta (S$27 juta) kepada salah satu pembekal Agritrade International pada Oktober 2019.
Setiap kesalahan menipu membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda. Sesiapa disabit kesalahan memalsukan akaun-akaun boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Reuters melaporkan pada Mac 2020 bahawa sekurang-kurangnya 20 bank menuduh Agritrade International melakukan penipuan.
Ini termasuk United Overseas Bank dan Maybank Malaysia, yang mana masing-masing menunggu bayaran hutang hampir AS$108 juta (S$146 juta).
Syarikat berkenaan, yang mana perniagaannya termasuk minyak kelapa sawit dan arang batu, menjalani penyusunan semula di bawah pemantauan mahkamah selepas ia gulung tikar dek dakwaan-dakwanan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.