Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas CEO Pokka International didenda kerana gagal dedah hak milik dalam perniagaan

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas CEO Pokka International didenda kerana gagal dedah hak milik dalam perniagaan

Gambar fail Mahkamah Negara. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

SINGAPURA: Bekas CEO Pokka International dikenakan denda S$15,000 pada Isnin (22 Ogos) kerana gagal mendedahkan hak miliknya dalam tiga urusan perniagaan.

Ong Eng Sing, 47 tahun, yang juga dikenali sebagai Alain Ong, juga dilarang daripada bertindak sebagai pengarah syarikat atau mengurus sebuah syarikat selama dua tahun.

Dia mengaku bersalah atas tiga tuduhan di bawah Akta Syarikat, kata Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan media.

Dari 2010 sehingga 2017, Ong memegang beberapa jawatan di Pokka International dan Pokka Corporation (Singapura), termasuk bertindak sebagai pengarah kedua-dua syarikat minuman tersebut.

Semasa tempoh yang sama, dia juga memiliki 40 peratus saham syarikat Asian Story Corporation (ASC), sebuah syarikat minuman yang lain.

Kedua-dua entiti Pokka terlibat dalam tiga perjanjian dengan ASC antara 2010 dengan 2017.

Ini termasuk perjanjian pengedaran dan rangka kerja antara Pokka International dan ASC pada 2010 dan 2017, serta perjanjian pengilangan antara Pokka Corporation dan ASC pada 2016.

"Pada ketiga-tiga kejadian itu, Ong tidak mendedahkan pemilikannya dalam urus niaga itu kepada Pokka International atau Pokka Corporation," kata polis.

Timbalan Pendakwa Raya David Koh meminta hukuman dijatuhkan bagi menghalang kesilapan serius dalam tingkah laku korporat.

Beliau menekankan bahawa Ong tidak mendedahkan mempunyai saham dalam ASC sepanjang tujuh tahun kesalahan itu berlaku.

Encik Koh menambah bahawa Ong tidak memberi sebarang penjelasan atas kegagalannya mendedahkan maklumat tersebut yang relevan dalam menentukan hukuman yang sesuai.

Ong boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga S$5,000 kerana gagal mendedahkan hak pemilikan secara tidak langsung dalam satu urus niaga.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan