Skip to main content

Singapura

Bekas CEO kumpulan Apollo Aquaculture didakwa terima rasuah, guna wang beli kondo

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas CEO kumpulan Apollo Aquaculture didakwa terima rasuah, guna wang beli kondo

Bekas CEO Kumpulan Apollo Aquaculture Group Ng Woei Kiat (kiri) dituduh menerima rasuah daripada pengarah dua syarikat kejuruteraan Alan Koh Joon Seong (right) di Mahkamah Negara pada 20 Februari 2025. (Gambar: CNA/Ili Nadhirah Mansor)

Diterbitkan : 20 Feb 2025 01:49PM Dikemas Kini : 20 Feb 2025 02:06PM
SINGAPURA: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)kumpulan syarikat ladang ikan yang disokong Temasek, Apollo Aquaculture, pada Khamis (20 Feb) dituduh menerima rasuah dan menggunakan wang tersebut untuk membuat bayaran pendahuluanbagi sebuah unit kondominium.

Ng Woei Kiat, warga Singapura berusia 51 tahun, itu juga merupakan seorang anggota dalam lembaga pengarah Apollo Aquaculture Group ketika kejadian yang didakwa berlaku pada 2018.

Ng, yang hadir di Mahkamah Negara, dikenakan satu tuduhan menerima rasuah sebanyak S$450,000 daripada Alan Koh Joon Seong, seorang pengarah di dua syarikat kejuruteraan, Alric Projects dan Alric MEP Engineering. Tuduhan itu dikenakan di bawah Akta Pencegahan Rasuah.

Wang sogokan itu didakwa diberikan pada 24 Ogos 2018 bagi mendorong Ng agar 'tidak menolak' syarikat-syarikat Alric dalam berurusan dengan Apollo Aquaculture Group, menurut satu kenyataan media bersama oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dan Pasukan Polis Singapura.

Ng didakwa menggunakan wang rasuah tersebut untuk membuat bayaran pendahuluan sebanyak S$471,000 bagi sebuah unit kondominium, menurut kenyataan itu.

Ia bagi sebuah unit di 159 Wak Hassan Drive pada 27 Ogos 2018, menurut kertas pertuduhan Ng, tuduhan kedua di bawah Akta Rasuah, Pengedaran Dadah dan Jenayah Berat Lain (Rampasan Faedah) (CDSA).

Bagi peranannya pula seperti didakwa, Koh, seorang warga Singapura berusia 51 tahun, menghadapi satu tuduhan serupa di bawah Akta Pencegahan Rasuah kerana memberi wang sogokan.

Selain itu, Ng juga menghadapi tujuh tuduhan di bawah Akta Syarikat kerana gagal mendedahkan kepentingannya dalam dua lagi syarikat Krisjade Trading dan Ng Yock Hock Capital kepada lembaga pengarah Apollo Aquaculture.

Ng dikatakan pemilik majoriti de facto Krisjade Trading, dan pemegang saham serta pengarah Ng Yong Hock Capital.

Dia didakwa gagal mengisytiharkan kepentingannya dalam transaksi dengan kedua-dua syarikat itu dengan Apollo Aquaculture Group, yang melibatkan pertukaran makanan laut dan barangan lain antara 2018 dan 2020.

Sebagai contoh, Ng dikatakan gagal mengisytiharkan kepentingannya apabila Ng Yong Hock Capital membekalkan timun laut seberat 5,360 kilogram kepada Apollo Aquaculture Group bernilai S$310,000.

Pada satu lagi kejadian, Ng dikatakan gagal berbuat demikian apabila Krisjade Trading membekalkan 215kg ketam kepada Apollo Aquaculture Group bernilai S$17,361.08.

Secara keseluruhan, Ng menghadapi sembilan tuduhan.

Ng tidak diwakili peguam, namun Koh diwakili oleh peguam Shashi Nathan, yang memberitahu mahkamah bahawa beliau memahami perkara tersebut kerana telah bersama pelanggannya sepanjang siasatan di bawah CPIB.

Beliau memohon perbicaraan ditangguhkan untuk membuat representasi kepada pihak pendakwaa.

Kedua-dua kes ditangguh ke 13 Mac.

Jika disabit kesalahan rasuah, setiap lelaki boleh didenda sehingga S$100,000, atau dipenjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.

Jika didapati bersalah di bawah CDSA, Ng boleh didenda sehingga S$500,000, atau dipenjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya. Jika disabitkan kesalahan atas tuduhan di bawah Akta Syarikat, dia boleh dipenjara sehingga 12 bulan atau didenda sehingga S$5,000.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita