Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas CEO Hyflux Olivia Lum, CFO & pengarah didakwa gagal dedah maklumat Tuaspring

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas CEO Hyflux Olivia Lum, CFO & pengarah didakwa gagal dedah maklumat Tuaspring

Gambar: CNA/Jeremy Long, TODAY

SINGAPURA: Bekas CEO Hyflux Olivia Lum Ooi Lin antara enam individu yang didakwa pada Khamis (17 Nov) atas kegagalan syarikatnya mendedahkan maklumat mengenai projek Tuaspring.

Lima individu yang lain merupakan bekas ketua pegawai kewangan (CFO) Cho Wee Peng dan empat pengarah bebas syarikat tersebut.

Dakwaan-dakwaan itu menyusuli siasatan bersama yang dijalankan pada Jun 2020 oleh pihak berkuasa - Pasukan Polis Singapura (SPF), Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (ACRA).

Bekas CEO Lum didakwa membenarkan kegagalan yang disengajakan oleh Hyflux untuk mendedahkan maklumat yang berkaitan dengan Projek Air dan Kuasa Bersepadu Tuaspring dengan sengaja, sedangkan pendedahan tersebut diperlukan di bawah Peraturan Penyenaraian Bursa Saham Singapura.

Jika didapati bersalah, dia boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, denda sehingga S$250,000, atau kedua-duanya sekali.

Lum juga didakwa atas kegagalan Hyflux untuk menyatakan maklumat yang sama berkaitan dengan Tuaspring dalam Kenyataan Maklumat Tawaran (OIS) 2011, yang dikeluarkan untuk tawaran S$200 juta, 6 peratus saham keutamaan pada 13 April 2011.

Jika didapati bersalah, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda sehingga S$150,000, atau kedua-duanya sekali.

Dia juga menerima tuduhan ketiga kerana gagal memastikan Hyflux membuat pendedahan yang diperlukan di bawah piawaian perakaunan untuk kenyataan kewangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.

Ini termasuk kegagalan untuk mendedahkan pelanggaran perjanjian pinjaman anak syarikat yang membenarkan peminjamnya menuntut bayaran balik yang dipercepatkan. Kesalahan itu membawa denda sehingga S$50,000.

Bekas CFO Cho didakwa bersubahat dalam kegagalan disengajakan Hyflux untuk mendedahkan maklumat yang berkaitan dengan Tuaspring, sedangkan pendedahan tersebut diperlukan di bawah Peraturan Penyenaraian.


PENGARAH BEBAS DIDAKWA

Empat pengarah bebas pada masa itu - Teo Kiang Kok, Gay Chee Chong, Murugasu Christopher dan Rajskar Kuppuswami Mitta - masing-masing menerima dua tuduhan.

Tuduhan pertama adalah atas pengabaian mereka berkaitan kegagalan disengajakan Hyflux untuk mendedahkan maklumat yang berkaitan dengan Tuaspring, sedangkan pendedahan tersebut diperlukan di bawah Peraturan Penyenaraian, dan yang kedua adalah atas kegagalan Hyflux menyatakan maklumat yang sama dalam OIS 2011.

Berhubung OIS 2011, pihak berkuasa juga menyiasat DBS atas peranannya sebagai pengurus isu dalam tawaran itu. Tiada tindakan lanjut akan diambil selepas meneliti bukti yang diperoleh, menurut polis, MAS dan ACRA.

"Hasil pemeriksaan ACRA ke atas audit yang dijalankan oleh KPMG, juruaudit Hyflux, akan dimuktamadkan dalam masa terdekat," kata pihak berkuasa.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan