Skip to main content

Singapura

Bekas CEO Hyflux & 5 lagi pemimpin syarikat dihadapkan ke mahkamah

Peguam bela utama Olivia Lum Ooi Lin iaitu bekas ketua pegawai eksekutif syarikat rawatan air dan penyulingan air laut pertama, Hyflux pada Isnin (11 Ogos) menyoal pegawai penyiasat tentang cara siasatan dikendalikan terhadap mereka yang tertuduh.

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 11 Aug 2025 09:22PM Dikemas Kini : 12 Aug 2025 12:06AM
SINGAPURA: Peguam bela utama Olivia Lum Ooi Lin iaitu bekas ketua pegawai eksekutif syarikat rawatan air dan penyulingan air laut pertama, Hyflux pada Isnin (11 Ogos) menyoal pegawai penyiasat tentang cara siasatan dikendalikan terhadap mereka yang tertuduh.

Lum, 64 tahun, sedang dibicarakan atas dua tuduhan di bawah Akta Sekuriti dan Niaga Hadapan kerana tidak memasukkan maklumat tentang projek Tuaspring Hyflux berhubung penjualan elektriknya dalam dua kenyataan awam utama pada 2011.
DAVINDER SINGH MEMBERI TEKANAN TERHADAP PEGAWAI PENYIASAT

Pada tengah hari Isnin, peguam utama Lum, Peguam Kanan Davinder Singh, menyoal balas saksi pertama pihak pendakwaan mengenai cara beliau mengambil kenyataan daripada Lum.

Menjawab soalan beliau, pegawai penyiasat utama, Wei Maojun Jacqueline, dari Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) berkongsi latar belakangnya: Beliau mempelajari bidang perakaunan di Universiti Teknologi Nanyang sebelum menyertai PricewaterhouseCoopers sebagai penolong juruaudit.

Beliau kemudian menyertai CAD pada 2014.

“Jadi anda tidak pernah berkecimpung dalam industri ini? Dalam pasaran, di syarikat tersenarai?” tanya Encik Singh.

“Ya,” jawab Cik Wei.

Beliau menambah: “Saya mungkin tiada pengalaman dalam dunia korporat, tetapi berdasarkan pengalaman saya sebagai penyiasat ... kami (memahami) peraturan penyenaraian (SGX). Selain itu, kami juga mendapatkan pandangan daripada pengawal selia, pakar dan pihak pendakwaan sebelum ... (merangka) pertuduhan,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata bahawa dirinya menghubungi seorang pakar sekuriti, Encik Kevin Gin, sebelum siasatan berhubung kes tersebut dimulakan.

Beliau bersetuju bahawa beliau memberikan Encik Gin dokumen yang disebutkan sebagai “terms of reference” di mana beliau meminta Encik Gin membuat andaian berhubung fakta-fakta tertentu mengenai maklumat yang didakwa ditinggalkan bagi membentuk pandangan pakarnya.

Encik Singh menyoal Cik Wei tentang bila beliau memberikan dokumen “terms of reference” itu kepada Encik Gin, namun beliau tidak dapat mengingatinya.

Hakim kemudian campur tangan dan berkata adalah tidak adil untuk menguji ingatan Cik Wei secara langsung di mahkamah, lalu bertanya sama ada beliau boleh merujuk nota atau diarinya.

Encik Singh kemudian menunjukkan bukti kepada Cik Wei bahawa dokumen “terms of reference” diberikan kepada Encik Gin pada Disember 2023.

Encik Singh kemudian berulang kali menyoal Cik Wei mengenai soalan-soalan tertentu yang beliau tanyakan kepada Lum semasa mengambil kenyataan.

Beliau menekankan bahawa Lum berkali-kali mengatakan beliau tidak dapat mengingatinya kerana perkara itu berlaku sembilan atau 10 tahun lalu.

PERJANJIAN SULIT

Pada satu ketika, Encik Singh merujuk Cik Wei kepada satu soalan yang beliau tanyakan kepada Cik Lum semasa rakaman kenyataan, di mana Cik Wei bertanya mengapa Hyflux tidak mendedahkan “skop pendedahan pendapatan yang signifikan”.

Cik Lum menjawab: “Saya tidak ingat mengapa kami tidak berbuat demikian.”

Beliau kemudian menambah: “Saya juga ingin memaklumkan bahawa kami perlu mematuhi perjanjian sulit yang ditandatangani dengan PUB, jadi ada kekangan terhadap pendedahan yang boleh kami buat.”

Encik Singh menyoal Cik Wei sama ada beliau mengetahui tentang perjanjian sulit tersebut.

“Adakah anda sendiri memeriksa dan mengesahkan wujudnya perjanjian sulit ini?” tanya Encik Singh.

“Saya tidak ingat jika kami memeriksa sama ada terdapat perjanjian sulit,” jawab Cik Wei.

“Tetapi ini adalah perkara penting yang beliau nyatakan, bukan? Namun anda tidak memeriksanya?” tanya Encik Singh.

“Kami bertanya sama ada PUB akan mempunyai kebimbangan jika mereka mahu mendedahkan (perkara tertentu), jadi dalam erti kata lain, kami telah melakukan pemeriksaan,” kata Cik Wei.

“Itu tidak menjawab soalan saya,” balas Encik Singh, mengulangi soalan itu.

Cik Wei kemudian berkata bahawa para penyiasat ada meminta beberapa perjanjian antara PUB dan Hyflux, dan mereka memahami bahawa sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, terdapat “unsur kerahsiaan” berhubung cadangan dan perjanjian pembelian air tersebut.

Sebaik beliau selesai, peguam bagi bekas pemimpin Hyflux yang lain akan menyoal balas Cik Wei pada Selasa (12 Ogos).

Individu-individu lain yang turut dibicarakan ialah Cho Wee Peng, 56 tahun, bekas ketua pegawai kewangan Hyflux; serta bekas pengarah bebas Hyflux, Gay Chee Cheong, 68; Teo Kiang Kok, 69; Murugasu Christopher, 66; dan Lee Joo Hai, 69.

Perbicaraan dijadual berlangsung sehingga Rabu, sebelum disambung pada Isnin depan.

Tarikh perbicaraan ditetapkan sehingga Januari 2026.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita