Skip to main content

Singapura

Bekas bos kumpulan pergigian digugur dari daftar doktor gigi; sertai skim tipu MediSave

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas bos kumpulan pergigian digugur dari daftar doktor gigi; sertai skim tipu MediSave

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 06 Dec 2022 08:54PM Dikemas Kini : 06 Dec 2022 09:22PM
SINGAPURA: Bekas pengarah urusan The Smile Division Dental Group digugurkan dari Daftar Doktor Gigi pada Isnin (5 Dis) selepas dia mengambil bahagian dalam skim penipuan melibatkan akaun MediSave pesakitnya.

Cecil Goh Chin Chye adalah antara empat kakitangan yang didakwa terbabit skim tersebut. Dia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun pada Ogos tahun lalu, setelah didapati bersalah atas 36 tuduhan, dengan 214 yang turut dipertimbangkan.

Ia termasuk 29 kesalahan menipu, enam kesalahan memalsukan akaun dan satu kesalahan bersubahat melakukan jenayah.

Tiga lagi individu terbabit dalam skim tersebut adalah Dr Daniel Liew Yaoxiang dan Dr Steven Ang Kiam Hau, dua doktor gigi yang bekerja di kumpulan pergigian tersebut, serta Yeo Meow Koon, pengurus syarikat ketika itu.

Goh merupakan pakar bedah gigi ketika dia melakukan kesalahan itu dan juga pengarah urusan The Smile Division Group (TSD).

Antara 2011 dan 2013, TSD mempunyai sembilan klinik di pelbagai lokasi dan sekitar 30 doktor gigi yang bekerja di klinik-klinik tersebut.

Ang membuat perjanjian bersama kumpulan tersebut di mana dia berhak memperoleh sebahagian dari yuran bersih yang dibayar pesakitnya.

Liew pula bekerja di klinik Hougang, dan menerima 50 peratus baki kos pembedahan.

Klinik itu menawarkan pesakit yang kurang berkemampuan dengan kadar yang lebih rendah untuk pembedahan daripada yang dikenakan oleh klinik lain. Tuntutan palsu jumlah MediSave kemudiannya dibuat bagi pihak pesakit untuk prosedur pergigian yang dilakukan ke atas mereka.

Empat pekerja itu membuat tuntutan kepada Lembaga CPF untuk prosedur pergigian yang dilakukan ke atas pesakit mereka yang kononnya dilakukan selama beberapa hari. Pada hakikatnya, setiap prosedur dilakukan sehari, atau paling lama dua hari.

Mereka kemudian membuat beberapa tuntutan dan menerima bayaran daripada akaun MediSave pesakit tersebut.

Secara keseluruhannya mereka mengambil hampir S$1 juta daripada 29 akaun MediSave pesakit mereka.

Pada Ogos 2021, Goh dijatuhi hukuman penjara tiga tahun kerana menipu sembilan pesakit sebanyak S$288,900.

Yeo pula dijatuhi hukuman penjara 48 minggu pada 2020.

Dua lagi doktor gigi yang terlibat - Daniel Liew Yaoxiang dan Steven Ang Kiam Hau, turut dikeluarkan dari daftar pergigian.

Liew dihukum penjara dua tahun pada Mei 2019 dan Ang dijatuhi hukuman penjara 2 setengah tahun pada Ogos 2018.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita