Bekas anggota samseng didapati bersalah serang 3 remaja secara seksual di taman permainan
(Gambar: iStock)
SINGAPURA: Seorang bekas anggota samseng pada (17 Ogos) disabit kesalahan menyerang tiga remaja lelaki secara seksual di sebuah gelongsor taman permainan.
Seorang hakim Mahkamah Tinggi mendapati Mustapah Abdullah, 50 tahun, bersalah atas tiga tuduhan melakukan serangan seksual.
Mustapah minta dibicarakan dan tidak diwakili peguam bela.
Identiti tiga mangsa yang berusia 16 hingga 17 tahun pada waktu kejadian itu, tidak boleh didedahkan di bawah arahan mahkamah. Mereka tinggal di estet kejiranan yang sama dengan Mustapah dan mula berkenalan pada 2017.
Mangsa "menghormati nasihat Mustapah dan menganggapnya sebagai 'abang'," kata Hakim See Kee Oon. Mereka juga tahu tentang pelibatannya dalam kumpulan samseng sebelum ini.
Hakim See mendapati bahawa Timbalan Pendakwa Raya Gail Wong, Tay Jia En dan Gladys Lim berjaya membuktikan kes mereka terhadap Mustapah tanpa sebarang kesangsian.
Beliau berkata, setiap mangsa memberi "keterangan yang masuk akal dan konsisten" mengenai insiden yang berlaku, manakala Mustapah yang mewakili dirinya sendiri, memberi "bukti yang berubah-ubah dan tidak boleh dipercayai".
Hakim See juga mendapati selain menunjukkan keganasan fizikal, Mustapah mengambil kesempatan daripada perasaan hormat mangsa terhadapnya.
Ini termasuk sengaja merujuk kepada pelibatan masa lalunya dalam kumpulan samseng ketika berdepan dengan remaja itu.
“Maka tidak hairanlah, mangsa berasa takut dan bimbangkan risiko bahaya terhadap diri mereka atau keluarga mereka jika mereka memilih untuk tidak ‘mematuhi’ kehendak tertuduh,” kata hakim.
Mustapah akan kembali ke mahkamah pada September. Dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun, didenda dan disebat bagi setiap tuduhan serangan seksual dengan penembusan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.