Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekas amah pengerusi CAG dibebaskan dari tuduhan terakhir

Pembantu rumah warga Indonesia yang dibebaskan daripada tuduhan mencuri daripada bekas majikannya iaitu pengerusi Changi Airport Group (CAG), dibebaskan dari tuduhan yang terakhir di Mahkamah Negara pada Selasa (8 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 Sep 2020 04:39PM Dikemas Kini : 08 Sep 2020 09:42PM

SINGAPURA: Pembantu rumah warga Indonesia yang dibebaskan daripada tuduhan mencuri daripada bekas majikannya iaitu pengerusi Changi Airport Group (CAG), dibebaskan dari tuduhan yang terakhir di Mahkamah Negara pada Selasa (8 Sep).

Cik Parti Liyani yang berusia 45 tahun diiringi oleh penyokong serta peguam beliau yang berkhidmat secara pro bono, Anil Balchandani dari Red Lion Circle.

Tuduhan kelima itu dibuat di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil (Ketenteraman Awam & Gangguan), yang menuduhnya memiliki barangan yang disyaki diperolehi secara haram.

Ini termasuk tiket kedai pajak gadai ValueMax, beberapa kad EZ-Link, beg dan dompet berjenama serta jam tangan dan barang kemas.

Barangan itu didakwa ditemui bersamanya di lapangan terbang pada awal Disember 2016, apabila beliau pulang ke Singapura untuk mencari kerja setelah dipecat oleh keluarga Liew pada Oktober.

Hukuman bagi kesalahan sedemikian termasuk hukuman penjara sehingga setahun dan denda sehingga S$3,000.

Cik Parti dikenakan hukuman penjara selama dua tahun dan dua bulan pada Mac tahun lalu, setelah seorang hakim mahkamah daerah mendapatinya bersalah atas empat tuduhan mencuri.

Namun, Cik Parti mencabar tuduhan tersebut dalam perbicaraan yang menyaksikan Encik Liew Mun Leong, pengerusi CAG dan Surbana Jurong, menjadi saksi dalam kes itu bersama anak lelakinya, Encik Karl Liew.

Setelah menjalani proses rayuan selama beberapa bulan, peguam Cik Parti iaitu Encik Balchandani, memperoleh pembebasan baginya di Mahkamah Tinggi dengan Hakim Chan Seng Onn menggugurkan keempat-empat sabitan bersalah pada 4 Sep.

"LEBIH BANYAK KES SEUMPAMA CIK PARTI LIYANI DI LUAR SANA"

Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman syarikat guamannya, Encik Balchandani berkata syarikat beliau ingin mengucapkan terima kasih "kepada semua yang memberi sokongan dan keprihatinan berhubung pembebasan Cik Parti Liyani".

Beliau juga mengiktiraf daya usaha pertubuhan bukan pemerintah yang membantu amah asing dan pekerja lain yang dalam kesusahan.

"Ada ramai lagi individu seperti Parti Liyani yang meringkuk dalam penjara dan tempat-tempat perlindungan (yang) kami sebagai sebuah masyarakat harus berikan perhatian. HOME (Pertubuhan Kemanusiaan untuk Ekonomi Pekerja Asing) berhak mendapat lebih atau kesemua pengiktiran berhubung pembebasan Cik Parti Liyani," tulisnya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan