Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekalan vaksin penggalak bivalen COVID-19 di Singapura dijangka jelang akhir September: Moderna

Anggaran Waktu Membaca:
Bekalan vaksin penggalak bivalen COVID-19 di Singapura dijangka jelang akhir September: Moderna

(Gambar: AFP/Getty Images/Justin Sullivan)

SINGAPURA: Vaksin penggalak bivalen COVID-19 baru Moderna dijangka disediakan di negara ini menjelang akhir bulan ini.

"Kami berharap untuk menyediakan ratusan ribu dos di Singapura sebelum akhir bulan ini," kata naib presiden kanan vaksin komersil firma farmaseutikal itu Patrick Bergstedt kepada Mediacorp pada Rabu (14 Sep).

Beliau berkata demikian selepas Penguasa Sains Kesihatan (HSA) mengumumkan ia memberikan kebenaran sementara bagi penggunaan suntikan Spikevax Bivalent Original/Omicron Moderna, vaksin penggalak bivalen COVID-19 yang pertama diluluskan di negara ini.

Saranan rasmi bagi penggunaan vaksin penggalak itu akan dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pakar Vaksinasi mengenai COVID-19 dan Kementerian Kesihatan (MOH), kata HSA.

Moderna, yang menubuhkan anak syarikat di Singapura untuk menyokong penghantaran vaksin mRNA, akan memindahkan semua kapasiti pengeluarannya kepada vaksin baru yang dikemas kini itu, tambah Encik Bergstedt.

“Lama kelamaan, vaksin asal tidak akan lagi disediakan. Ia akan digantikan dengan vaksin bivalen baru yang dikemas kini ini,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa vaksin asal COVID-19 Moderna terus menawarkan perlindungan, tetapi tahap perlindungan semakin berkurangan.

"Oleh kerana ia tidak direka khusus terhadap varian Omicron, tahap perlindungan itu tidak akan tahan lama, meluas, seperti yang disediakan oleh vaksin baru yang dikemas kini," katanya.

Vaksin penggalak baru yang diluluskan itu mengandungi virus asal COVID-19 dan varian BA.1 Omicron, tetapi Moderna sudah berada di peringkat "sangat maju" untuk vaksin seterusnya, tambah beliau.

Vaksin yang akan datang bakal mengandungi varian Omicron BA.4 dan BA.5 – virus yang menyebabkan gelombang COVID-19 baru-baru ini dan virus asal, katanya lagi.

Singapura juga akan membawa masuk vaksin bivalen oleh Pfizer-BioNTech, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung awal minggu ini.

VAKSIN TERUS BERUBAH-UBAH

Pakar penyakit berjangkit di Hospital Farrer Park, Dr Loh Jiashen, berkata terdapat kemungkinan vaksin COVID-19 mungkin berubah untuk menyasarkan lebih daripada satu varian.

"Jika varian yang memberi kesan hebat muncul, saya fikir syarikat vaksin mungkin beralih ke arah itu dan vaksin seterusnya mungkin lebih daripada dua valen," katanya.
Dr Asok Kurup, seorang pakar penyakit berjangkit di Hospital Mount Elizabeth pula berkata mereka yang berisiko lebih rendah mungkin mahu menunggu penggalak bivalen yang diluluskan itu.

“Jika anda berisiko tinggi, anda perlu dilindungi secepat mungkin, dapatkan apa sahaja vaksin yang ada. Anda tidak perlu menunggu vaksin penggalak baru ini,” katanya.

Menurutnya meskipun COVID-19 terus menimbulkan "bahaya", orang ramai cukup dilindungi daripada COVID-19 dengan perlindungan sedia ada dan "tidak perlu terlalu bimbang", katanya.

“Kita perlu ambil tahu siapa dalam kawasan kejiranan kita, rakan dan keluarga kita yang lemah daya tahan untuk memastikan mereka dilindungi kerana mereka mudah terdedah …dan kita perlu melakukan apa sahaja yang boleh untuk melindungi mereka.”
Sumber : CNA/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan