Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekalan vaksin COVID-19 Pfizer bagi kanak-kanak dijangka tiba hujung tahun, Moderna bulan depan

Kanak-kanak 6 bulan hingga 4 tahun boleh dapatkan suntikan vaksin COVID-19 seawal bulan depan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 29 Sep 2022 07:07PM Dikemas Kini : 29 Sep 2022 08:51PM
SINGAPURA: Bekalan dos vaksin COVID-19 Pfizer-Comirnaty bagi kanak-kanak dijangka tiba di sini pada hujung tahun.

Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Khamis (29 Sep) mengumumkan penggunaan vaksin COVID-19 Pfizer-Comirnaty diluluskan bagi kanak-kanak berusia enam bulan hingga empat tahun.

Kanak-kanak itu akan menerima tiga suntikan dengan dos 3 mikrogram setiap suntikan.
Vaksin itu yang kedua dibenarkan untuk digunakan di Singapura pada kanak-kanak kecil.

Yang pertama, vaksin COVID-19 Moderna Spikevax melibatkan dua dos yang diluluskan pada Ogos untuk kanak-kanak berumur enam bulan hingga lima tahun.

Vaksin Moderna itu sedia digunakan bulan depan, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) menjawab pertanyaan media.

“Vaksinasi dan dos penggalak kekal sebagai strategi utama kami untuk memastikan anak-anak kita dilindungi dengan baik daripada penyakit yang teruk, sekiranya mereka dijangkiti COVID-19," kata MOH.

"Kami menggalakkan semua orang yang layak diberi vaksin apabila ia ditawarkan kepada mereka."

Singapura mula memberi vaksinasi kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun pada 27 Dis 2021, selepas vaksin Comirnaty diluluskan untuk kumpulan umur tersebut.

DATA KLINIKAL

Data klinikal yang disemak HSA adalah berdasarkan kajian Fasa 2/3 yang dijalankan oleh Pfizer, melibatkan kira-kira 1,800 peserta berumur enam bulan hingga empat tahun.

"Hasilnya menunjukkan bahawa tindak balas imun pada kanak-kanak kecil dengan tiga dos suntikan adalah sama dengan orang dewasa berumur 16 hingga 25 tahun yang menerima dua dos lebih tinggi iaitu 30 mikrogram sebagai vaksin asas," kata HSA.

"Oleh itu, boleh disimpulkan bahawa tiga dos vaksin mungkin memberikan tahap perlindungan yang sama pada kanak-kanak kecil seperti dua dos pada orang dewasa."

Ia menambah bahawa data juga menunjukkan keberkesanan vaksin terhadap subvarian COVID-19 Omicron yang dianggarka menyebabkan sekitar 40 peratus penyakit bergejala.

Keberkesanan vaksin juga kekal tinggi - lebih daripada 80 peratus - untuk perlindungan terhadap kemasukan ke hospital berkaitan COVID bagi kanak-kanak yang menerima dua dos vaksin Pfizer.

"Maka itu, munasabah unutk menjangkakan bahawa vaksin itu akan melindungi kanak-kanak yang lebih muda berumur enam bulan hingga empat tahun daripada kesan teruk COVID-19 seperti sindrom keradangan pelbagai sistem dan komplikasi lain," kata HSA.
Sumber : CNA/SU/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan