Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekalan rumah privet diramal berkurangan; permintaan rumah sewa dijangka meningkat pada 2022

Anggaran Waktu Membaca:
Bekalan rumah privet diramal berkurangan; permintaan rumah sewa dijangka meningkat pada 2022

Gambar fail rumah privet di Singpura.

SINGAPURA: Pasaran perumahan privet dan awam menyaksikan penjualan yang rancak pada 2021, dengan harga mencecah paras tertinggi dan penjualan tahunan pula mencapai paras rekod sejak beberapa tahun kebelakangan ini. 

Namun, langkah-langkah baru yang diumumkan secara mendadak untuk meredakan pasaran  mengubah ramalan industri yang sebelum ini kelihatan optimis bagi 2022. 

Kesan penuh kawalan hartanah hanya akan dapat dilihat selepas tahun ini. Sekalipun langkah-langkah baru itu akan menjejas pasaran hartanah, isu-isu lain juga perlu diberikan perhatian pada tahun ini. 

BEKALAN MAKIN MENGECUT, PELANCARAN MAKIN BERKURANGAN

Bekalan rumah privet sedia ada yang belum terjual merosot kepada 17,140 unit pada akhir suku ketiga 2021 - paras paling rendah dalam tempoh sekitar empat tahun. 

Jumlah unit baru yang dilancarkan juga dijangka berkurangan pada 2022 selepas bekalan tanah daripada Program Penjualan Tanah Pemerintah (GMS) dikawal sepanjang dua tahun lalu demi memastikan ia lebih sederhana dan seiring dengan ekonomi yang diramal serba tidak menentu, kata Cik Christine Sun, Naib Presiden Kanan Kajian dan Analitik OrangeTee & Tie. 

Sekitar 5,400 unit mungkin ditawarkan melalui 40 pelancaran pada 2022, menurut Encik Lee Sze Teck, Pengarah Kanan Kajian Huttons Asia. Ia lebih rendah berbanding 10,500 unit yang dilancarkan pada 2021. 

Khususnya, persaingan dalam segmen kondominium eksekutif (EC) yang dijangka lebih sengit lagi, kata Encik Lee, sambil menambah bahawa unit-unit daripada pelancaran EC setakat ini berkemungkinan habis ditempah menjelang Februari atau Mac tahun ini. 

Permintaan mungkin dirangsang oleh para pembeli EC baru yang tidak perlu membayar Cukai Setem Pembeli Tambahan (ABSD) yang kadarnya dinaikkan dalam pusingan terbaru langkah untuk meredakan pasaran perumahan privet. 

"Walaupun tanpa langkah tersebut, permintaan bagi EC sudahpun sangat kukuh. Menjual 50 peratus unit pada hari pertama adalah sesuatu yang sudahpun kita menyaksikan pada tahun ini. Perkara sama juga boleh berlaku pada 2022," kata Encik Lee lagi. 

Meskipun pihak berkuasa sudah menambah bekalan tanah di bawah senarai yang disahkan bagi tapak-tapak GLS bagi separuh pertama 2022, dengan lebih 40 peratus lebih tinggi berbanding setahun lalu, kesannya tidak mungkin dapat dilihat dengan begitu pantas. Sekalipun demikian, ia bermakna mungkin terdapat lebih banyak hartanah privet yang boleh dijangkakan pada 2023 dan menjangkaui tempoh tersebut, kata Pengurus Daerah PropertyGuru Dr Tan Tee Khoon. 

PERMINTAAN RUMAH SEWA SEMAKIN MENINGKAT

Pasaran rumah sewa kini semakin rancak, dengan kadar bagi rumah privet meningkat 7.1 peratus dalam tiga suku pertama 2021 dan berkemungkinan akan terus meningkat. 

Pertumbuhan ini bergerak seiring dengan pembukaan semula sempadan Singapura yang membolehkan lebih ramai ekspatriat, pekerja hijrahan dan pelajar antarabangsa untuk pulang ke Singapura, kata Cik Sun lagi. 

Kelengahan pembinaan rumah juga mungkin kekal, mendorong mereka yang memerlukan rumah dengan segera untuk menyewa rumah buat sementara waktu. Mereka yang tidak mampu membeli rumah atau sanggup menunggu sehingga harga disesuaikan mengikut keadaan pasaran, juga akan menyewa, katanya lagi. 

Di tengah-tengah kekurangan bekalan rumah yang sudah siap dibina dan permintaan yang sangat kukuh, harga sewa mungkin melonjak pada rentak yang lebih pantas antara 8 hingga 11 peratus pada tahun depan dan jumlah rumah sewa mungkin meningkat antara 3 hingga 4 peratus, ujarnya lagi. 

PASARAN FLAT JUALAN SEMULA KEKAL KUKUH

Satu sektor yang mungkin tidak terkesan daripada langkah-langkah untuk meredakan pasaran adalah pasaran flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), yang menunjukkan prestasi yang sangat menggalakkan pada 2021. 

Lebih 28,000 unit dijual dalam tempoh 11 bulan pertama 2021, menjangkaui perangkaan tahunan sepanjang sedekad yang lalu, menurut Ketua Kajian dan Kandungan Propnex, Wong Siew Ying. Harga flat jualan semula juga mencecah paras rekod yang baru pada suku ketiga 2021, melangkaui paras tertinggi yang dicatatkan pada 2013. 

Encik Nicholas Mak, Ketua Kajian dan Runding Cara ERA Realty, menjangkakan pasaran akan terus berdaya tahan kerana langkah-langkah untuk meredakan pasaran "tidak menyasarkan punca utama" yang menyebabkan permintaan dan harga meningkat. 

RAMALAN BAGI 2022

Secara keseluruhannya, pasaran hartanah kediaman mungkin tidak serancak pada 2022, menurut para penganalisis. 

Harga hartanah akan "terus meningkat", sekalipun pada rentak yang lebih perlahan, kata Dr Tan. Jumlah penjualan juga akan terjejas jika para pembeli mengambil masa untuk menimbangkan pilihan dan menunggu respons penjual dan pemaju hartanah, tambah beliau. 

Namun, di tengah-tengah pandemik ini, satu faktor yang harus diambil kira adalah kemunculan varian-varian COVID-19, kata Encik Mak.Varian yang lebih mudah berjangkit ataupun lebih berbahaya boleh membawa kesan meluas terhadap ekonomi, pelancongan, tenaga manusia dan aspek-aspek lain dalam masyarakat. 

"Kita tidak tahu apa lagi yang akan muncul. Senario paling buruk adalah varian yang lebih mudah berjangkit dan lebih memudaratkan. Jika perkara seperti itu berlaku, maka kita akan kembali ke suku pertama atau kedua 2020."

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan