Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekalan pertama vaksin COVID-19 Novavax tiba di S'pura

Anggaran Waktu Membaca:
Bekalan pertama vaksin COVID-19 Novavax tiba di S'pura

Gambar: Facebook/ Ong Ye Kung

Diterbitkan : 05 May 2022 08:36AM Dikemas Kini : 05 May 2022 08:37AM

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan pada Rabu (4 Mei) bahawa bekalan pertama vaksin COVID-19 Novavax yang dipanggil Nuvaxovid sudah tiba di Singapura.

Ia akan ditawarkan pada hujung Mei di pusat pertama ujian dan vaksinasi kementerian itu, yang terletak di bekas tapak Sekolah Menengah Bishan Park di Sin Ming, serta di 20 Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC).

Dalam kenyataan media, MOH menyatakan bahawa pusat ujian dan vaksinasi itu merupakan "kumpulan baru pertama kemudahan" yang akan menawarkan kedua-dua khidmat ujian dan vaksinasi COVID-19 di tempat yang sama.

Pusat-pusat itu mula beroperasi pada hujung Mei ini.

"Pusat ujian dan vaksinasi ini akan membolehkan kita untuk mengumpulkan sumber-sumber kita, di samping memastikan khidmat ujian dan vaksinasi kekal boleh diakses oleh orang ramai."

"Kami juga sedang berusaha untuk menyertakan klinik kesediaan kesihatan awam yang dipilih untuk menawarkan vaksin Nuvaxovid. Butiran lanjut akan diumumkan dalam beberapa minggu akan datang,” menurut MOH.

Pada Februari, Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) COVID-19 menerima saranan jawatankuasa pakar MOH mengenai vaksinasi COVID-19 untuk menyenaraikan vaksin Nuvaxovid dalam program vaksinasi kebangsaan.

Vaksin tersebut adalah untuk individu yang berumur 18 tahun dan ke atas dan boleh digunakan sebagai dua siri asas vaksinasi COVID-19 dan dos penggalak.

"Setelah mempertimbangkan data mengenai keselamatan, keberkesanan dan ketahanan tubuh, jawatankuasa pakar vaksinasi COVID-19 menyarankan vaksin Nuvaxovid sebagai alternatif yang boleh diterima selain vaksin mRNA bagi individu berumur 18 tahun dan ke atas, meskipun vaksin mRNA masih kekal sebagai vaksin pilihan disebabkan keberkesanannya yang lebih tinggi dan menghasilkan respons imun yang lebih kuat," menurut MOH pada Rabu.

Kementerian itu menekankan bahawa dos penggalak dan vaksinasi kekal penting dalam strategi COVID-19 Singapura untuk memastikan para penduduk dilindungi dengan baik daripada jangkitan dan penyakit serius.

"Kami menggesa semua yang layak menerima vaksinasi dan dos penggalak untuk mendapatkannya secepat mungkin," tambah MOH.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata dalam catatan Facebooknya, di mana gambar vaksin itu turut dimuat naik: "Jika anda masih belum divaksin atau diberi dos penggalak, ini adalah alternatif yang baik selain vaksin mRNA untuk dilindungi daripada COVID-19. Dapatkan vaksin dan dos penggalak secepat mungkin."

Nuvaxovid adalah vaksin COVID-19 keempat yang disediakan dalam program vaksinasi negara Singapura, selepas Pfizer-BioNTech atau Comirnaty, Moderna dan Sinovac-CoronaVac.

Sumber : Today/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan