Bekalan pertama ayam segar dari Malaysia tiba esok; harga dijangka naik
Peniaga nasi ayam Encik Mohammad Noorham Noordin terpaksa menggantikan ayam segar dengan ayam beku apabila larangan sementara eksport ayam hidup dari Malaysia dikuatkuasakan pada 1 Jun lalu.
BERITAmediacorp: Peniaga nasi ayam Encik Mohammad Noorham Noordin terpaksa menggantikan ayam segar dengan ayam beku apabila larangan sementara eksport ayam hidup dari Malaysia dikuatkuasakan pada 1 Jun lalu.
Sebelum larangan itu, pemilik gerai 'TakdeNama' di Pusat Penjaja Geylang Serai itu kini hanya boleh menjual sehingga 20 ekor ayam sehari sahaja berbanding 25 ekor sebelum larangan itu dikuat kuasa.
"Perniagaan itu terjejas itu pada permulaannya tetapi alhamdulillah buat masa sekarang pelanggan-pelanggan yang lain semua sudah datang balik," kata beliau.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Berita larangan eksport ayam segar itu ditarik balik awal minggu ini sangat beliau alu-alukan.
"Sejak larangan itu, memang kami gunakan ayam beku. Apabila ayam segar dibekalkan semula ke Singapura, sudah tentu kita gantikan kepada ayam segar," kata encik Mohammad Noorhan yang sudah 12 tahun berniaga di Pusat Penjaja Geylang Serai.
Sebelum larangan yang dikuat kuasa sejak 1 Jun lalu itu, Malaysia mengeksport 3.6 juta ayam sebulan.
Namun hanya separuh daripada jumlah itu dibenarkan untuk dieksport selepas sekatan itu dilonggarkan.
Bekalan pertama ayam segar dijangka tiba pada Khamis (13 Okt) dan mula dijual lusa (14 Okt).
HARGA AYAM DIJANGKA NAIK SEHINGGA 50 SEN SEEKOR
Sesetengah penjual ayam seperti Encik Husni Hashim pula menjangkakan harganya mungkin lebih tinggi berbanding sebelum larangan itu dikuat kuasakan.
Beliau yang sudah lebih 40 tahun berniaga, tidak menolak kemungkinan perlu menaikkan harga ayam segar yang akan dibawa masuk itu.
Sebelum ini, beliau menjual ayam segar pada harga antara S$6 hingga S$9 seekor.
(Gambar: Syawal Yusoff)
"Tengok berapa yang saya dapat. Tengok berapa yang pembekal jual pada kami, berapa yang kami boleh jual, belum tentu lagi. Ayam besar mana ke? Harga naik berapa satu kilogram kami belum tahu lagi.
"Kalau mahal, kami tetap jual mahal. Takkan nak jual murah," kata Encik Husni, yang sebelum ini menerima bekalan antara 30 hingga 50 ekor ayam segar sehari.
Meskipun belum menerima sebarang pengesahan daripada pembekalnya, seorang lagi penjual ayam Cik Roslina Onn menjangkakan harga ayam akan lebih mahal berdasarkan trend kenaikan harga sebelum ini.
"Biasanya pembekal naikkan macam $0.20 dahulu. Kalau $0.20 sudah campur dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sudah $0.50 kan? Macam itu." kata Cik Roslina, pemilik kedai 'Jaafar'.
Kedua-dua pegerai menyatakan mereka akan terus menjual ayam beku meskipun terdapat permintaan tinggi bagi ayam-ayam segar.
"Memang setiap hari ada pelanggan yang bertanya bilakah ayam segar akan mula dijual?
"Sebelum larangan, harga ayam beku sangatlah murah. Seekor ayam seberat 1 kilogram berharga dalam S$4.50. Sekarang harganya S$6.50," tambahnya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Encik Husni pula berpendapat: "Kalau ayam segar sudah ada di pasaran, mungkin harga ayam beku akan turun balik. Buat sekarang ini ayam beku mahal pasal ayam segar tidak ada," kata Encik Husni, pemilik kedai 'Mohamad Ali'.
PENJUAL MAKANAN 'TUNGGU DAN LIHAT' SEBELUM NAIKKAN HARGA
Soal naik turun harga makanan turut dipertimbangkan peniaga makanan seperti Cik Jumaiah Amir, yang hanya menggunakan ayam beku.
"Dulu harga nasi ayam biasa ialah S$4.50. Tapi sekarang S$5.50. Ada kemungkinan kita pun turunkan harga kalau harga ayam beku sudah murah," kata Cik Jumaiah, pemilik gerai 'Maya Pesona'.
Encik Mohammad Noorham dan sebilangan pegerai pula bersepakat untuk mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum memutuskan sama ada mahu mengubah harga jualan makanan mereka.
"Kami ada berbincang dengan para pegerai yang lain. Kebanyakan kita tidak menaikkan harga, tidak kurangkan jumlah, tapi kos kami dahulu. Pasal harganya masih belum melampau lagi. Jadi kita masih boleh bertahan. Kalau tidak, pelanggan pun tidak ingin makan nasi ayam lagi kan?," kata Encik Noorham.
Walau bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan perlu menaikkan harga nasi ayamnya antara S$0.50 dengan S$1 jika perlu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.