Skip to main content

Singapura

Bekalan flat sementara HDB untuk keluarga ditambah seganda kepada 4,000 unit dalam 2 tahun akan datang: Sim Ann

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Jun 2023 05:19PM Dikemas Kini : 12 Jun 2023 09:09PM
SINGAPURA: Lebih banyak flat akan diperuntukkan untuk menempatkan keluarga buat sementara waktu, dengan jumlah bekalannya naik seganda kepada 4,000 unit untuk dua tahun akan datang.

Demikian menurut Menteri Negara Kanan bagi Pembangunan Negara Sim Ann pada Isnin (12 Jun).

Berucap di sidang ulang tahun ke-35 Institut Pengajian Dasar (IPS), Cik Sim menyatakan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) telah mencapai sasarannya untuk meningkatkan bekalan flat di bawah Skim Perumahan Sementara Keibubapaan (PPHS) dari 800 unit pada 2021 kepada 1,800 unit pada 2023.

Beliau menambah akan terdapat hampir 2,000 flat di bawah skim tersebut menjelang hujung tahun ini.

Skim tersebut membantu untuk menempatkan sebilangan keluarga buat sementara waktu sedang mereka menunggu flat baru mereka siap.

Cik Sim juga berkata kadar permohonan PPHS "merosot dengan ketara" dari lebih 20 kali pada 2021, kepada sekitar tiga kali sekarang.

"Tetapi kami faham para pembeli yang menempah flat mereka sejak dua tahun lalu telah berdepan dengan tempoh menunggu yang lama disebabkan kelengahan dek COVID-19. Jadi, HDB sedang berusaha untuk meningkatkan bekalan PPHS dengan lebih lanjut, naik seganda sekali lagi kepada 4,000 unit untuk dua tahun akan datang," tambah Cik Sim.

"Kami harap usaha-usaha ini akan memberikan sedikit kelegaan kepada keluarga muda dan menyokong perjalanan keibubapaan mereka."

Semasa ucapannya, Cik Sim juga menyatakan HDB sedang mengkaji cara untuk memanfaatkan sepenuhnya bekalan flat PPHS yang tersedia, oleh kerana terdapat permintaan yang berterusan untuk flat sedemikian ketika bekalan kekal terhad.

Ini termasuk memerlukan perkongsian flat bagi unit PPHS yang lebih besar.

KEDIAMAN YANG TELAH SIAP DAN BEKALAN BTO

Semasa perbincangan mengenai perumahan, Cik Sim menarik perhatian mengenai kebimbangan segera HDB, termasuk memenuhi permintaan kukuh bagi perumahan awam dan menangani harga sewa yang tinggi.

Beliau menambah akan terdapat hampir 40,000 rumah yang siap dibina di dalam pasaran kediaman awam dan privet.

Ia sekali gus merupakan jumlah tertinggi rumah yang disiapkan sejak lima tahun lalu.

Tambahan pula, lebih 60 peratus projek Bina Ikut Tempahan (BTO) yang tertangguh sepanjang dua tahun lalu, telah selesai setakat Mei lalu, dedah Cik Sim.

Beliau menambah HDB sedang mencapai kemajuan dalam usahanya untuk mempertingkatkan bekalan BTO, dengan melancarkan sehingga 100,000 flat dari 2021 sehingga 2025, termasuk lebih banyak unit dengan tempoh menunggu yang lebih singkat.

Dalam pelancaran BTO bulan Mei minggu lalu, kadar median permohonan kali pertama bagi flat tiga bilik atau yang lebih besar adalah 2.3 kali iaitu hampir kepada kadar sebelum COVID.

Harga flat jualan semula HDB juga mencatatkan kenaikan paling kecil dalam suku yang lalu, dalam tempoh lebih dua tahun, kata Cik Sim.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita