Skip to main content

Singapura

Bekalan elektrik utama & sandaran terputus punca berlaku gangguan NEL

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Aug 2025 11:50PM Dikemas Kini : 12 Aug 2025 11:52PM
SINGAPURA: Bekalan elektrik utama dan sandaran yang terputus di 'substation' depot menyebabkan gangguan khidmat Laluan Timur Laut (NEL) dan LRT Sengkang-Punggol selama beberapa jam pada Selasa (12 Ogos).

Hasil awal siasatan mendapati terdapat kegagalan pada papan suis kuasa, menyebabkan letusan elektrik pada salah satu pengubah voltan (voltage transformer) yang digunakan untuk mengawal bekalan elektrik, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SBS Transit Jeffrey Sim pada petang Selasa.

"Ini menyebabkan kedua-dua bekalan elektrik utama dan sandaran terputus, yang bertindak sebagai mekanisme perlindungan kuasa," tambahnya.

Gangguan bekalan elektrik itu menyebabkan gangguan khidmat NEL selama tiga jam, yang menjejas 11 stesen antara stesen MRT Farrer Park dengan Punggol.

Pengubah voltan yang rosak tidak dapat dibaiki serta-merta, dan keputusan diambil untuk memintas 'substation' depot dan menarik kuasa dari 'substation' lain di Dhoby Ghaut supaya khidmat MRT dapat disambung semula, kata Encik Sim.

"Jurutera kami juga menjalankan pemeriksaan menyeluruh untuk memastikan kerosakan itu tidak menjejas stesen-stesen pengendalian," tambahnya.

Kuasa elektrik dipulihkan secara bertahap-tahap di stesen-stesen yang terjejas, dan khidmat NEL disambung semula sepenuhnya pada jam 2.10 petang.

LRT SENGKANG-PUNGGOL

Khidmat LRT Sengkang-Punggol juga terputus selama kira-kira lima jam akibat gangguan bekalan elektrik.

Kerja-kerja pemulihan LRT Sengkang-Punggol terpaksa dijalankan secara berperingkat untuk memastikan peningkatan beban elektrik yang stabil dan mengelakkan satu lagi gangguan kuasa, kerana kedua-dua LRT dan NEL antara Sengkang dengan Punggol kini bergantung pada 'substation' yang dikongsi, kata Encik Sim.

Untuk memastikan khidmat LRT Sengkang-Punggol beroperasi dengan selamat, "sistem dimatikan dahulu sebelum dihidupkan semula".

Ini perlu dilakukan sebelum pemeriksaan ke atas sistem isyarat dan kuasa dijalankan.

"Ini mengambil masa tambahan sebelum kuasa pada LRT Sengkang dipulihkan pada 3.34 petang manakala khidmat di LRT Punggol disambung semula pada 4.04 petang," kata Encik Sim.

"Bagaimanapun, untuk mengelak tekanan bekalan kuasa daripada 'substation' tunggal, keputusan dibuat untuk mengendalikan khidmat LRT Sengkang-Punggol di landasan tunggal untuk kedua-dua gelung timur dan barat pada waktu sibuk petang."

Jurutera SBS Transit serta jurutera Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), akan bekerja pada waktu kejuruteraan malam Selasa untuk memulihkan bekalan kuasa ke 'substation' depot NEL.

"Ini akan membolehkan khidmat penuh disediakan untuk LRT Sengkang-Punggol apabila perkhidmatan bermula esok," kata Encik Sim.

"Kami akan bekerjasama rapat dengan LTA untuk mengelakkan kejadian ini dari berulang. Kami memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas atas kesulitan yang berlaku."

Dalam kemas kini di Facebook pada 9.20 malam, SBS Transit menyatakan Punggol dapat kembali beroperasi sepenuhnya.

Bas ulang-alik percuma dan khidmat bas biasa, yang disediakan untuk melayani penumpang LRT, sudah dihentikan, tambahnya.

Khidmat bas tersebut juga disediakan semasa gangguan NEL.

"Kami memohon maaf atas kesulitan yang berlaku," tulis SBS Transit, sambil meluahkan ucapan terima kasih kepada para penumpang yang terjejas atas kesabaran dan pemahaman mereka.
 
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita