Skip to main content

Singapura

Bekalan elektrik di pusat pemeriksaan Johor pulih selepas jejas perjalanan Malaysia-SG

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Bekalan elektrik kembali pulih di pusat pemeriksaan Johor Bahru di Koswe selepas ia terputus selama beberapa jam dan berlarutan sehingga awal pagi Rabu (6 Dis), sekali gus menjejas aliran lalu lintas antara Malaysia dengan Singapura.

Menurut laporan The Star yang menukil pengarah Jabatan Imigresen Johor Baharuddin Tahir, semua agensi di bangunan itu memeriksa sistem masing-masing bagi memastikan tiada isu berlaku menyusuli gangguan bekalan elektrik itu.
Menurutnya semasa bekalan elektrik terputus, para pegawai di kaunter imigresen dalam bangunan itu, yang dikenali sebagai Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), melakukan pelepasan imigresen secara manual.

Dalam kemas kini pada pukul 4.00 petang, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) menyatakan kesesakan lalu lintas dari Malaysia ke Pusat Pemeriksaan Woodlands telah berkurangan.

Gangguan elektrik di pusat pemeriksaan Johor Bahru menyebabkan barisan beratur yang panjang bagi para pelawat pada awal Rabu.

Menurut para pelawat di media sosial, gangguan elektrik tersebut juga menjejas kemudahan pintu elektrik (e-gate), yang tidak boleh digunakan.

Akhbar Lianhe Zaobao melaporkan gangguan tersebut bermula pada tengah malam Selasa (5 Dis).

Gambar dan video di media sosial menujukkan barisan beratur yang panjang di dewan pelepasan, dengan ramai pelawat menunggu dalam suasana gelap.

Terdapat video yang menunjukkan penunggang motosikal terperangkap dalam kesesakan sekitar pukul 8.30 pagi.

Pada 11.00 pagi, Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) melaporkan kesesakan di trafik keluar dari Pusat Pemeriksaan Woodlands "disebabkan trafik yang tidak bergerak di Malaysia".

"Kelengahan dijangkakan dan pelawat dinasihatkan untuk memeriksa keadaan trafik sebelum memulakan perjalanan mereka."

Sementara itu, Menteri Besar Johor Bahru Onn Hafiz dalam catatannya di Facebook pada Rabu menyatakan bahawa insiden tersebut "sangat menyusahkan pelawat dan memalukan negeri itu".

Dalam catatan tersebut, beliau menyertakan sekeping gambar yang menunjukkan sepucuk surat daripada syarikat tenaga, Tenaga Nasional Berhad (TNB) bertarikh 27 November.

Surat tersebut menyatakan bahawa bekalan elektrik akan dihentikan atau menjejas beberapa kawasan untuk sementara, termasuk kompleks CIQ, dan JB Sentral dari Selasa, pukul 8.00 malam, sehingga Rabu, pukul 4.00 pagi.

Ia bagaimanapun tidak jelas mengapa gangguan tersebut berlarutan selepas pukul 4.00 pagi.

CNA sudahpun menghubungi jabatan imigresen Malaysia untuk mengulas mengenai hal tersebut.
Sumber : CNA/HA/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita