Skip to main content

Singapura

Bekalan durian merosot 20% akibat cuaca hujan, tetapi harga kekal stabil sejauh ini

Anggaran Waktu Membaca:
Bekalan durian merosot 20% akibat cuaca hujan, tetapi harga kekal stabil sejauh ini

Gambar fail: Zamzahuri Abas/CNA

SINGAPURA: Musim durian sudah bermula, namun mungkin agak lebih sukar untuk memperolehi raja buah itu menjelang musim ini.

Bekalan sudah merosot kira-kira 20 peratus disebabkan cuaca hujan yang melanda. Sekalipun demikian, harga dijangka kekal stabil dari tahun lalu.

Para penjual durian serata Singapura memberitahu Mediacorp bahawa bekalan buah berduri itu mencukupi, sekalipun China merancang untuk mengimport durian segar dari Malaysia.

MUSANG KING JADI PILIHAN UTAMA DALAM KALANGAN PENGGEMAR DURIAN

Kemuncak musim durian di Malaysia biasanya berlanjutan dari Mei sehingga Ogos.

Namun, para pengeksport durian Malaysia mendapati terdapat kelengahan dalam penuaian durian tahun ini, dengan ramai yang mengaitkannya dengan keadaan cuaca yang tidak menentu. Mereka berkongsi kebimbangan mereka bahawa keadaan cuaca yang tidak menentu itu boleh menjejaskan jumlah dan mutu buah tersebut.

Pemilik kedai 227 Katong Durian, yang hanya ingin dikenali sebagai Ah Loon, mendedahkan terdapat beberapa minggu, di mana para penjual menerima bekalan durian yang tinggi.

"Kemudian secara tiba-tiba, seperti hari ini, (ada) 60 peratus kurang bekalan," ujarnya. "(Ia) turun naik, turun naik untuk tahun ini."

Apabila Mediacorp meninjau beberapa kedai durian di Geylang Road, ia kelihatan sibuk.

Penjual di sana mengatakan bahawa mereka menjual kira-kira 100 bakul durian secara purata setiap hari. Meskipun jumlah itu lebih sedikit berbanding tahun lalu, mereka tetap berpuas hati dengan penjualan tersebut sejauh ini.

Tahun ini, Musang King terus menjadi pilihan utama dalam kalangan para penggemar durian.

Harga bagi satu kilogram durian jenis sedemikian adalah antara S$32 hingga S$38, iaitu hampir sama jika dibandingan dengan tahun lalu.

ISU LOGISTIK EKSPORT DURIAN KE CHINA

Ini berita baik bagi para peminat durian. Penjual memberitahu Mediacorp bahawa harga buah itu mungkin menjunam dari Ogos disebabkan lebih banyak penuaian.

Mereka malah memberi jaminan kepada para pelanggan bahawa sekalipun terdapat pengumuman baru-baru ini mengenai rancangan Malaysia untuk mengeksport durian segar ke China, iaitu pasaran pengguna terbesar bagi buah tersebut, pelanggan tidak perlu khuatir mengenai kemungkinan kekurangan bekalan buah tersebut.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita