Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bekalan darah naik ke 'paras sederhana' susuli rayuan derma

Usaha derma darah menyaksikan peningkatan 45% selepas rayuan dibuat, namun bekalan bagi semua jenis darah masih belum di paras sihat.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Bekalan darah di Singapura meningkat kepada "paras sederhana" selepas rayuan baru-baru ini yang mendorong lebih 10,000 penderma tampil, menurut Palang Merah Singapura (SRC) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) pada Isnin (8 Ogos).

Pihak berkuasa kesihatan di Singapura menyatakan pada awal Julai bahawa bekalan darah A+ dan O+ kian berkurangan. Menteri Kesihatan Ong Ye Kung kemudian merayu bagi derma, dengan berkata pembedahan besar elektif yang memerlukan kedua-dua unit darah itu berisiko ditangguhkan.

Dalam kemas kini seminggu kemudian, Encik Ong berkata usaha derma darah di Singapura menyaksikan peningkatan 45 peratus selepas rayuan itu. Namun lebih banyak darah masih diperlukan, sedang bekalan bagi semua jenis darah masih tidak di paras sihat.

Sejak dua rayuan tersebut, lebih 10,000 penderma - yang mewakili semua kumpulan darah - tampil menderma darah, menurut SRC dan HSA dalam satu kenyataan media bersama. "Dalam kalangan mereka, sekitar 21 peratus adalah penderma kali pertama dan sekitar 15 peratus adalah penderma belia."

Pihak berkuasa memerlukan sekitar 400 unit darah setiap hari untuk memenuhi keperluan harian.

"Derma yang berkurangan semasa hujung minggu panjang, cuti sekolah dan musim cuti perayaan, serta kenaikan mendadak dalam penggunaan darah boleh menyebabkan bekalan darah menjunam," jelasnya.

"Derma darah anda sudah menyelamatkan ramai daripada kami. Setiap bungkusan darah boleh membawa perbezaan, dan saya berterima kasih kepada semua penderma, tanpa mengira kumpulan darah anda," kata Cik Amirah Arman, 27 tahun, yang menjalani pemindahan darah setiap tiga minggu.

"Memandangkan darah mempunyai jangka hayat pendek selama enam minggu bagi sel merah dan tujuh hari bagi platelet, kami memohon sokongan berterusan para penderma darah," menurut pihak berkuasa, sambil menambah pihaknya berharap dapat menerima sokongan berterusan penderma darah sekurang-kurangnya setahun dua kali.

"Ini akan memastikan sentiasa ada darah mencukupi bagi para pesakit di Singapura."

Mereka yang berminat menderma darah boleh mengunjungi giveblood.sg untuk memeriksa kelayakan mereka dan membuat janji temu. Para penduduk juga boleh masuk tanpa janji temu ke mana-mana bank darah atau lokasi derma darah masyarakat untuk berbuat demikian.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan