Skip to main content

Singapura

Bekalan COE ditambah tidak mungkin sebabkan harga jatuh atau jumlah kereta naik mendadak, kata penganalisis

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Menambah bekalan Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) bagi kereta dalam Kategori A dan B tidak mungkin akan menyebabkan kemerosotan besar dalam harga COE atau kenaikan mendadak jumlah kereta di jalan raya, sekali gus menyebabkan kesesakan.

Demikian menurut penganalisis pengangkutan dan peniaga kereta pada Isnin (8 Mei).

Penganalisis dan peniaga kereta yang ditemui Mediacorp sebaliknya, menyifatkan langkah yang dilaksanakan sekali sahaja itu sebagai bertujuan "untuk meredakan dan memantapkan pasaran".

Berucap di Parlimen pada Isnin, Menteri Pengangkutan S Iswaran mengumumkan bahawa Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan mempercepat pembahagian bekalan COE yang memiliki tempoh lima tahun dan bakal tamat tempoh.

Langkah tersebut akan melibatkan peruntukan semula sekitar 6,000 COE bagi suku-suku akan datang, dan bertujuan untuk mengurangkan turun naik bekalan di tengah-tengah kenaikan harga COE yang mencecah paras rekod tinggi.

Dengan langkah itu, bekalan kuota bagi Kategori A naik sebanyak 24 peratus manakala bagi kereta lebih besar di bawah Kategori B sebanyak 15 peratus bagi tempoh bidaan April hingga Jun.
TAMBAH BEKALAN COE SATU 'LANGKAH REDAKAN PASARAN'

Perbezaan dalam kenaikan kuota bagi kereta kecil dan besar akan menjejas kedua-dua pasaran tersebut, tetapi dengan cara berbeza, kata Encik Neo Tiam Ting.

Presiden Persatuan Peniaga Kenderaan Singapura, yang menyifatkan langkah terbaru itu sebagai "langkah meredakan pasaran", berkata meskipun akan terdapat "beberapa kesan" terhadap harga COE bagi kereta Kategori A dalam bidaan akan datang, bagi Kategori B, pula "agak sukar" bagi harga untuk merosot sehingga sebanyak 10 peratus.

Ditanya sama ada langkah yang diumumkan Encik Iswaran akan menyebabkan harga COE jatuh ke paras serendah dicatatkan pada 2018 dan 2019, penganalisis itu menarik perhatian hal tersebut tidak mungkin berlaku kerana permintaan bagi kereta yang kian meningkat, di samping dasar kadar pertumbuhan-sifar bagi kereta dan motosikal.

Berdasarkan kuota COE yang lalu, Profesor Madya Raymond Ong berkata hampir 40 sehingga 50 peratus permintaan masih belum dipenuhi.

Ketua penyelidikan bersekutu di jabatan kejuruteraan awam dan sekitaran di Universiti Nasional Singapura (NUS) itu menambah bahawa ini menunjukkan terdapat permintaan terpendam untuk COE dalam Kategori A dan B.

"Kenaikan 24 peratus dan 15 peratus kuota dalam kategori itu masih belum dapat memenuhi permintaan itu."

KESAN KECIL PADA KESESAKAN TRAFIK

Bekalan COE yang ditambah juga dijangka hanya memberi kesan kecil terhadap jumlah keseluruhan kereta di jalan raya dan lantas, tidak mungkin menyebabkan kesesakan trafik.

Kenaikan sementara dalam jumlah kereta di jalan raya boleh dijangkakan, namun ia mungkin hanya sekitar 1 peratus secara keseluruhannya. Ini memandangkan jumlah COE yang diunjurkan sebanyak 6,000 hanya akan diagihkan dalam beberapa suku akan datang, kata Profesor Madya Walter Theseira, seorang ahli ekonomi pengangkutan dari Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS).

INISIATIF LTA INI MUNGKIN DILAKSANAKAN SEKALI SAJA

Hakikatnya, inisiatif tersebut dijangka dilaksanakan sekali sahaja, kerana pakar pengangkutan dan peniaga kereta sedia maklum bahawa Pemerintah sedang 'meminjam' kuota COE masa depan.

Dr Ivan Png, profesor strategi dan dasar serta ekonomi di Sekolah Perniagaan NUS, berkata: "(Langkah meminjam daripada kuota masa depan") tidak boleh dilaksanakan sepanjang masa tanpa meningkatkan bilangan kereta di jalan raya secara tetap, yang mana Pemerintah komited untuk tidak berbuat sedemikian."
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita