Beijing hargai usaha S'pura pupuk hubungan ASEAN-China
Singapura dan China memeterai beberapa perjanjian kerjasama dua hala, menurut kedua-dua negara dalam satu kenyataan bersama sedang pemimpin China Li Keqiang masih dalam rangka lawatannya ke Singapura.
PM Lee dan Encik Li Keqiang dalam Sidang Puncak ASEAN ke-33 pada 14 Nov. (Gambar: AP/Bullit Marquez)
SINGAPURA: Singapura dan China memeterai beberapa perjanjian kerjasama dua hala, menurut kedua-dua negara dalam satu kenyataan bersama sedang pemimpin China Li Keqiang masih dalam rangka lawatannya ke Singapura.
Encik Li, yang bertemu dengan Perdana Menteri Lee Hsien Loong, turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Halimah Yacob di Istana pada Rabu (14 Nov).
Lawatannya juga sempena Sidang Puncak ASEAN-China di mana ulang tahun ke-15 Kerjasama Strategik ASEAN-China turut diraikan.
China menarik perhatian bahawa hubungan ASEAN-China sudah mencapai kemajuan dan ia menghargai sumbangan Singapura sebagai penyelaras dialog ASEAN-China.
Kedua-dua pihak juga mengesahkan lagi komitmen bersama untuk menjaga dan memupuk keamanan dan keselamatan di rantau Asia Tenggara, di samping bersetuju tentang pentingnya perdagangan bebas dan memastikan globalisasi ekonomi menjadi lebih terbuka.
Selain bersetuju untuk bekerjasama rapat dalam memuktamadkan Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) secepatnya, Singapura dan China juga memeterai pelbagai perjanjian ekonomi, seperti Protokol Dipertingkat bagi Perjanjian Perdagangan Bebas China-Singapura (CFSTA), yang bermatlamat untuk membuka akses lebih luas kepada syarikat-syarikat untuk menembusi pasaran China.
Singapura dan China turut memeterai beberapa Memorandum Persefahaman untuk melanjutkan pelbagai projek, seperti Taman Perusahaan Suzhou China-Singapura, Bandar Eko Tianjin Sino-Singapura dan Inisiatif Demonstrasi China-Singapura (Chongqing) mengenai Ketersambungan Strategik.
Ada juga inisiatif-inisiatif lain untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang-bidang lain, seperti pendidikan, di mana kedua-dua pihak bersetuju untuk mula berbincang bagi satu perjanjian dua hala bagi memudahkan latihan amali untuk para mahasiswa kedua-dua negara.
Kenyataan itu turut menarik perhatian kepada kemajuan yang dicapai dalam kerjasam perundangan dan kehakiman, di mana Singapura dan China bersetuju untuk mempertingkat kerjasama penguatkuasaan undang-undang, termasuk membanteras jenayah-jenayah antarabangsa, rasuah, pelaburan wang haram, jenayah siber dan dadah, di samping mengukuhkan lagi pengawasan kewangan rentas sempadan bagi menangi risiko-risiko kewangan.
Menyentuh tentang aspek pertahanan negara, Singapura dan China bersetuju untuk memperluas kerjasama antara Angkatan Bersenjata Singapura dengan Tentera China, di mana kedua-duanya bersetuju untuk mengadakan latihan tentera dua hala pada tahun depan.
Kedua-dua pihak juga menegaskan lagi iltizam untuk mengukuhkan kerjasama pertahanan ASEAN-China dan terus mengadakan Latihan Maritim ASEAN-China.
Singapura mengucapkan tahniah kepada China atas pencapaiannya sepanjang 40 tahun pembaharuannya, dan berhadap rakyat China terus mencapai kemajuan pembangunan dan, keamanan, kemakmuran dan kestabilan yang berterusan.
China menghargai sumbangan Singapura kepada pembangunan Singapura dan langkahnya untuk membuka ekonomi, dan menyatakan sokongannya bagi pertumbuhan, pembangunan dan kemakmuran Singapura.
Selain membincangkan tentang arah masa depan hubungan dua arah dengan Singapura, Encik Li, yang mengadakan lawatan ke Singapura dari 12 hingga 16 November, turut mengundang PM Lee ke China bagi Forum Jaluran Ekonomi Laluan Sutera Kedua bagi Kerjasama Antarabangsa pada 2019.
PM Lee sudah menerima undangan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.