Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Begini cara pakej S$1.5b bertujuan bantu rakyat S'pura tangani kos sara hidup

Anggaran Waktu Membaca:
Begini cara pakej S$1.5b bertujuan bantu rakyat S'pura tangani kos sara hidup

Gambar fail mereka yang membeli-belah di pasaraya di Singapura pada 19 Jun 2020. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

SINGAPURA: Pakej bantuan baru bernilai S$1.5 bilion diumumkan pada Jumaat (14 Okt) untuk membantu rakyat Singapura menangani kos sara hidup yang kian meningkat, dengan lebih banyak sokongan bagi isi-isi rumah berpendapatan lebih rendah.

Sebagai tambahan kepada langkah-langkah bantuan yang diumumkan semasa Belanjawan tahun ini serta pada bulan April dan Jun, pakej baru ini akan dibiayai hasil fiskal "lebih baik daripada yang dijangkakan" pada separuh pertama tahun kewangan ini. Tiada jumlah yang akan dikeluarkan daripada rizab lalu.

Dalam kenyataan media pada Jumaat, Kementerian Kewangan (MOF) menyatakan pakej baru itu, dan langkah-langkah bantuan lebih awal pada tahun ini, akan menampung kos sara hidup bagi isi-isi rumah berpendapatan rendah secara purata.

Pihaknya menambah bahawa bagi isi-isi rumah berpendapatan pertengahan, ini akan menampung lebih separuh daripada kenaikan kos sara hidup.

Berikut adalah antara langkah-langkah penting yang diambil:

Agihan wang bagi menampung kenaikan kos sara hidup

Bayaran khas sekali saja Kos Sara Hidup sehingga S$500 akan diberikan kepada rakyat Singapura yang layak pada bulan Disember, seiring dengan Pakej Jaminan bagi Bayaran Tunai GST yang diumumkan pada Belanjawan tahun ini.

Bagi melayakkan diri bagi bayaran kahs itu, penerima mesti berusia 21 tahun ke atas pada 2023, dengan pendapatan yang dinilai (AI) tidak melebihi S$100,000 pada Tahun Penilaian (YA) 2022. Mereka juga mesti tidak memiliki lebih daripada satu hartanah.

Bayaran khas itu adalah antara S$300 dengan S$500, bergantung kepada AI penerima.

Mereka dengan AI tidak melebihi S$22,000 akan menerima S$500, manakala mereka dengan AI melebihi S$22,000 tetapi tidak melebihi S$34,000 akan menerima S$400.

Baki rakyat Singapura yang layak, yang mempunyai AI melebihi S$34,000 tetapi tidak melebihi S$100,000, akan menerima S$300.

Sekitar 2.5 juta rakyat Singapura akan meraih manfaat daripada bayaran khas itu.

Tiada permohonan diperlukan dan perincian lanjut akan disediakan bulan depan.

Lebih banyak baucar CDC

Sejumlah baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) bernilai S$100 akan diberikan kepada setiap isi rumah rakyat SIngapura pada Januari 2023.

Ini sebagai tambahan kepada baucar CDC bernilai S$200 yang diumumkan semasa Belanjawan tahun ini, sekali gus membawa jumlah keseluruhanya kepada S$300.

Tiada permohonan diperlukan dan baucar itu boleh digunakan di penjaja dan peniaga kejiranan yang menyertai, yang akan dikenal pasti menerusi pelekat baucar CDC.

Penjaja dan peniaga kejiranan yang menyertai boleh didapati di sini.

Pemerintah juga sedang berusaha membolehkan baucar CDC itu didermakan, dengan perincian lanjut didedahkan pada tarikh lain.

Subsidi dan baucar pengangkutan awam

Pertama kali diumumkan pada Rabu, sebanyak 600,000 baucar pengangkutan awam bernilai S$30 akan disediakan kepada isi-isi rumah berpendapatan rendah bagi membantu mereka menangani kenaikan tambang bas dan kereta api yang akan datang.

Bermula 26 Dis, tambang kad dewasa akan dinaikkan sebanyak 4 sen bagi perjalanan sehingga 8.2 kilometer (km) dan lima sen bagi sebarang perjalanan lebih jauh daripada itu.

Para pelajar, warga emas, pekerja bergaji rendah dan golongan berkeperluan khas juga akan menyaksikan kenaikan tambang kad konsesi namun ini akan dihadkan pada 1 sen bagi setiap perjalanan.

Serupa dengan pemberian Baucar Pengangkutan Awam tahun lalu, ia akan merangkumi isi rumah penduduk dengan pendapatan isi rumah bulanan tidak melebihi S$1,600 setiap seorang.

Baucar-baucar itu boleh digunakan bagi menambah nilai kad tambang atau membeli pas konsesi bulanan, dan mesti ditebus sebelum 31 Mac 2024.

Bantuan kewangan bagi lebih ramai pelajar

Kementerian Pendidikan (MOE) akan meningkatkan kriteria kelayakan pendapatan bagi skim-skim bantuan kewangan untuk membantu membiayai perbelanjaan sekolah seperti buku teks dan pengangkutan bagi lebih ramai pelajar.

Di bawah kriteria yang disemak bagi skim-skim bantuan kewangan bagi murid sekolah rendah, menengah dan pelajar prauniversiti - mereka dengan pendapatan isi rumah bulanan kasar (GHI) atau pendapatan per kapita (PCI) masing-masing tidak melebihi S$3,000 dan S$750 layak bagi bantuan kewangan.

Kriteria ini dipertingkat berbanding kriteria GHI dan PCI sekarang ini yang masing-masing tidak melebihi S$2,750 dan S$690.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan