Beg tangan dicampak keluar kereta, punca kemalangan 5 kenderaan di CTE, wanita ditahan
Seorang wanita 21 tahun ditangkap setelah tindakannya mencampak keluar sebuah tas tangan dari kenderaan menyebabkan kemalangan berangkai melibatkan lima kenderaan di CTE pada Ahad (12 Jan).
(Gambar: 8World News)
SINGAPURA: Seorang wanita 21 tahun ditangkap setelah tindakannya mencampak keluar sebuah tas tangan dari kenderaan menyebabkan kemalangan berangkai melibatkan lima kenderaan di CTE pada Ahad (12 Jan).
Menjawab pertanyaan Mediacorp pada Selasa, Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan pihaknya dimaklumkan tentang kemalangan yang melibatkan lima kenderaan pada sekitar 5.00 petang hari itu.
Polis menyatakan tiada orang yang cedera dan penumpang wanita terlibat ditangkap di bawah Seksyen 7 Akta Kesihatan Mental. Ia memberi polis kuasa untuk menahan sesiapa "yang dipercayai membahayakan diri dan orang lain dan tindakan bahaya itu boleh disyaki akibat gangguan mental."
Rakaman video kemalangan itu, yang dimuat naik di laman berita bahasa Mandarin Mediacorp, 8World News - menunjukkan sebuah kereta Hyundai berwarna champagne bergerak di ekspreswe dengan pintu penumpang sebelah kirinya terbuka.
Beg tangan warna merah kemudian dilihat dicampak keluar, dengan kandungannya terkeluar.
Seorang saksi yang bercakap kepada Mediacorp berkata empat kereta di belakangnya terpaksa menggunakan brek kecemasan namun tidak dapat mengelak daripada berlanggar, menyebabkan kemalangan berangkai.
Penumpang itu kemudian keluar dari kereta dan mula menjerit ke arah pemandu, menurut saksi kejadian. Menurut 8Worlds News, penumpang itu dipercayai anak perempuan pemandu.
Siasatan polis sedang dijalankan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.