Beberapa syarikat sedia tawar cuti bapa 4 minggu meski di tengah pasaran buruh yang ketat

Gambar: Unsplash
SINGAPURA: Kebanyakan syarikat yang ditemui Mediacorp menyatakan akan menggandakan cuti bapa dibayar Pemerintah untuk pekerja, daripada dua minggu kepada empat minggu.
Ini sekalipun terdapat kebimbangan mengenai pasaran buruh yang ketat.
Langkah tersebut selaras dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong semasa membentangkan Belanjawan 2023 pada Selasa (14 Feb).
Ada juga majikan yang berkata mereka sudah membuat aturan kerja yang fleksibel supaya pekerja dapat mengimbangi komitmen keluarga dan kerjaya mereka dengan lebih baik.
Perubahan itu berkuatkuasa bermula 1 Januari 2024.
Ia tidak diwajibkan buat masa ini tetapi digalakkan dan majikan yang bersedia melakukan hal tersebut akan dibayar balik oleh pemerintah.
Encik Wong juga mengumumkan bahawa cuti penjagaan bayi tanpa gaji, yang boleh diambil dalam dua tahun pertama kanak-kanak itu, akan digandakan daripada enam kepada 12 hari bagi setiap ibu bapa setahun mulai 2024.
Perkhidmatan awam akan menerajui peningkatan cuti bapa bergaji.
Seorang jurucakap Bahagian Perkhidmatan Awam berkata, ia sudah membenarkan pegawai awam mengambil cuti penjagaan bayi tanpa gaji sehingga empat minggu.
Presiden Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF) Dr Robert Yap, berkata sebarang tambahan pada peruntukan cuti ibu bapa harus "seimbang dengan keperluan operasi dan tenaga kerja majikan".
"Mengambil pendekatan bertahap-tahap dalam peruntukan cuti tambahan yang baru akan memberikan majikan dan ibu bapa yang bekerja masa untuk menyesuaikan diri dan melakukan aturan cuti, bergantung pada keperluan kerja," kata beliau.
APA KATA SYARIKAT KECIL
Encik KC Kwa, ketua pegawai eksekutif firma sofwe HR JustLogin, berkata firmanya akan mula menawarkan cuti bapa bergaji empat minggu kepada pekerja mulai tahun depan.
"Kami faham beberapa syarikat mungkin menghadapi cabaran untuk melaksanakan dasar ini dari mula lagi, dalam konteks pasaran buruh yang ketat sekarang," tambahnya.
“Bagaimanapun, memandangkan ia ada kelonggaran bahawa ia boleh diambil dalam tempoh 12 bulan, kebanyakan syarikat kecil dan sederhana masih boleh melakukannya memandangkan kos gaji akan dibayar balik oleh Pemerintah.”
PENDAPAT SYARIKAT BESAR
Firma-firma yang lebih besar memberitahu Mediacorp bahawa ia sudah melakukan lebih daripada memberi cuti bapa bergaji dua minggu yang diwajibkan Pemerintah sekarang ini.
Syarikat insurans Prudential sudah memberikan pekerjanya cuti bapa bergaji tiga minggu sejak 2017. Pekerja wanitanya juga layak mendapat cuti bersalin bergaji selama 24 minggu, lebih daripada 16 minggu yang diwajibkan.
Syarikat itu akan mula memberi cuti bapa bergaji empat minggu pada tahun depan, kata ketua pegawai sumber manusia syarikat tersebut Sheela Parakkal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.