Beberapa sistem pemerintah SG terjejas akibat gangguan Microsoft: GovTech
Papan tanda Microsoft di kampus syarikat itu di Redmond, Washington, Amerika Syarikat, pada 26 Oktober 2026. (Gambar fail: Reuters/David Ryder)
- A Microsoft outage that began on Thursday and lasted about 10 hours affected Outlook, Teams and Copilot worldwide, including several Singapore Government systems.
- GovTech confirmed that email services were disrupted, but emergency lines 995 and 999, as well as Singpass, remained operational; officers could still use Teams.
- Users such as Jane Wong and Simon Ong had difficulty completing work and rearranging meetings, while Miyuki Siew was still able to attend meetings as usual.
- Microsoft blamed high usage and worked to restore the systems by adjusting and distributing traffic, while GovTech advised the public to check official channels or contact agencies through alternative channels.
- Gangguan Microsoft yang bermula pada Khamis dan berlarutan kira-kira 10 jam menjejaskan Outlook, Teams dan Copilot di seluruh dunia, termasuk beberapa sistem pemerintah Singapura.
- GovTech mengesahkan perkhidmatan emel terganggu, tetapi talian kecemasan 995 dan 999 serta Singpass kekal beroperasi; pegawai masih dapat menggunakan Teams.
- Pengguna seperti Jane Wong dan Simon Ong mengalami kesukaran menyiapkan kerja serta menyusun semula mesyuarat, manakala Miyuki Siew masih dapat menghadiri mesyuarat seperti biasa.
- Microsoft menyalahkan beban penggunaan tinggi dan berusaha memulihkan sistem dengan mengubah serta mengagihkan trafik, sementara GovTech menyarankan orang ramai menyemak saluran rasmi atau menghubungi agensi melalui saluran alternatif.
SINGAPURA: Beberapa sistem pemerintah Singapura turut terjejas akibat gangguan Microsoft yang masih berterusan, menurut Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) pada Jumaat (13 Nov).
Perkhidmatan Microsoft Outlook mengalami gangguan besar selama beberapa jam di seluruh dunia pada Khamis, menyebabkan puluhan ribu pengguna menghadapi kesukaran mengakses emel mereka.
Produk Microsoft yang lain, termasuk Teams dan pembantu kecerdasan buatan (AI) Copilot, turut terjejas.
Dalam satu kenyataan kepada mediacorp, GovTech mengesahkan bahawa gangguan tersebut menjejas beberapa sistem pemerintah, termasuk perkhidmatan emel.
Bagaimanapun, perkhidmatan kecemasan masih beroperasi seperti biasa dan boleh dihubungi menerusi talian 995 dan 999.
GovTech turut mengesahkan bahawa perkhidmatan Singpass tidak terjejas.
"Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai perkhidmatan elektronik pemerintah, orang ramai boleh menyemak laman web rasmi atau saluran media sosial agensi berkaitan," menurut GovTech.
"Gangguan emel mungkin menyebabkan kelewatan dalam menjawab pertanyaan orang ramai.
"Bagi urusan mendesak, orang ramai boleh menghubungi agensi berkenaan melalui saluran lain, seperti pusat panggilan," tambahnya.
GovTech turut menyatakan bahawa pegawai pemerintah masih boleh menggunakan Microsoft Teams untuk berkomunikasi sesama mereka.
"Kami akan memberikan maklumat lanjut apabila terdapat perkembangan baharu," menurut agensi itu.
PEKERJA TURUT TERJEJAS
Selepas gangguan berlarutan selama kira-kira 10 jam, beberapa pengguna Microsoft di Singapura memberitahu Mediacorp bahawa mereka menghadapi kesukaran berkomunikasi dengan rakan sekerja di luar negara, membalas emel dan menghadiri mesyuarat.
Seorang pengguna, Jane Wong, berkata beliau tidak dapat mengakses Outlook dan Copilot, menyebabkan beliau tidak dapat mengemas kini prosedur operasi standard (SOP).
Bagaimanapun, SharePoint dan Teams masih berfungsi seperti biasa baginya, membolehkan beliau meneruskan kerja menyediakan laporan.
Bagi Simon Ong pula, gangguan tersebut memaksanya menyusun semula jadual mesyuarat dengan pembekal dan mengubah rancangannya.
Beliau kemudian memutuskan untuk pergi ke Starbucks bagi menikmati secawan kopi latte untuk mengurangkan tekanan.
Sementara itu, Miyuki Siew berkata perkhidmatan Teams tidak terjejas baginya dan beliau masih dapat menghadiri mesyuarat seperti biasa.
Microsoft menjelaskan bahawa gangguan tersebut berpunca daripada beban penggunaan yang terlalu tinggi pada infrastruktur sistemnya.
Syarikat itu berkata pihaknya sedang berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan kesan gangguan berkenaan.
Dalam kemas kini terbaharu di laman status perkhidmatannya, Microsoft memaklumkan bahawa sebahagian perkhidmatan mula pulih di beberapa rantau selepas langkah pemulihan dilaksanakan.
"Kami sedang meneruskan usaha meningkatkan kestabilan pelayan supaya aliran trafik sistem menjadi lebih lancar.
"Ini termasuk melaraskan cara trafik dikendalikan, mengagihkan semula trafik serta menyekat sebahagian trafik secara terancang," menurut Microsoft.
Bagaimanapun, syarikat itu mengakui bahawa langkah-langkah tersebut masih belum berjaya memastikan perkhidmatan pulih secara berterusan.
"Oleh itu, kami sedang meneliti langkah tambahan yang boleh diambil bagi meningkatkan kestabilan keseluruhan infrastruktur sistem," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.