Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Beberapa peralatan SAF kini boleh dibeli online di Lazada

Anggaran Waktu Membaca:
Beberapa peralatan SAF kini boleh dibeli online di Lazada

(Gambar: Davina Tham/CNA)

Diterbitkan : 06 Sep 2022 03:11PM Dikemas Kini : 06 Sep 2022 06:52PM

SINGAPURA: Anggota Perkhidmatan Negara kini boleh membeli beberapa barangan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) pilihan secara online dan dihantar ke rumah mereka mulai Selasa (6 Sep), dengan pelancaran kedai baru di platform runcit Lazada. 

Kedai Lifestylemart dilancarkan selepas satu Memorandum Persefahaman (MOU) dimeterai antara Lazada dan Pusat Sokongan dan Khidmat Kombat (CSSCOM), iaitu sayap sokongan bekalan SAF. 

Peralatan dan barangan peribadi untuk latihan dalam kem yang diadakan setiap tahun, boleh dibeli dari kedai tersebut, yang kini membekalkan sekitar 20 produk. 

Ia termasuk pakaian latihan, kasut lari, cat muka, beg air dan barangan lain dalam kit SAF. Lebih banyak barang dijangka ditawarkan kemudian, setelah fasa perintis. 

Menyifatkan platform Lazada sebagai "mudah digunakan", Brigadier Jeneral Terry Tan, Komander CSSCOM, berkata kedai elektronik itu bertujuan menyokong anggota perkhidmatan negara. 

MOU tersebut juga akan membuka peluang bagi pertukaran dalam pakaran e-dagang, strategi pengurusan rantaian bekalan dan inisiatif kemampanan, menurut satu kenyataan media Lazada. 

Brigadier Jeneral Tan berkata peluang untuk belajar dari amalan terbaik industri boleh mempertingkatkan keberkesanan operasi CSSCOM. 

"Kami ingin kerjasama antara sektor awam dan privet menjadi lebih kukuh," katanya, sambil menambah bahawa ia adalah satu pengajaran daripada pandemik COVID-19. 

"Penting bagi sektor privet dan awam bekerjasama semasa waktu aman supaya jika kami perlu memberi khidmat dan membantu warga Singapura semasa krisis, dalam kecemasan negara, kami boleh melakukannya dengan lancar," ujar Brigadier Jeneral Tan. 

CSSCOM akan terus meneroka lebih banyak usaha kerjasama dengan rakan-rakan e-dagang lain untuk menawarkan fleksibiliti pembelian kepada anggota perkhidmatan negara, tambahnya. 

CEO Lazada Loh Wei Lee berkata syarikat tersebut berbesar hati dapat menyumbang kepada pengalaman NS yang positif, sambil menambah: "Anggota perkhidmatan negara kita menyumbang masa untuk latihan mereka agar Singapura kekal selamat dan berdaulat." 

Beliau memberitahu Mediacorp bahawa Lazada gembira untuk berkongsi teknologi dalam pendigitalan pengalaman e-dagang, memandangkan CSSCOM juga mempunyai operasi rantaian bekalan yang serupa. 

Sebelum pelancaran Lifestylemart, anggota perkhidmatan negara boleh membeli barangan bagi kit SAF online menerusi eMart menggunakan kredit eMart mereka, dengan khidmat penghantaran ke rumah ditawarkan dengan bayaran S$10.50. 

Cawangan fizikal eMart terletak di beberapa kem tertentu SAF dan dua cawangan runcit komersil di The Chevrons dan SAFRA Punggol.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan