Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Beberapa pemandu SG keliru dengan proses janji temu VEP di Woodlands

Anggaran Waktu Membaca:
Beberapa pemandu SG keliru dengan proses janji temu VEP di Woodlands

(Gambar: CNA/Raydza Rahman)

Diterbitkan : 13 Sep 2024 10:33PM Dikemas Kini : 14 Sep 2024 08:10AM
SINGAPURA: Pemandu meluahkan kemarahan pada hari kedua pemasangan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) di sebuah pusat maklumat di Woodlands, selepas beberapa pemandu tidak dapat mendapatkan janji temu untuk mengambil tag VEP mereka.

Ada yang lain mengalami pelbagai jenis masalah. Antaranya termasuk masalah membuat pembayaran online, manakala yang memandu kenderaan terpakai tidak dapat membatalkan pendaftaran VEP pemilik sebelumnya.

Meskipun demikian, beberapa pelanggan berjaya memasang tag VEP mereka di lokasi tersebut.

Encik Ng Poh Heng, pengurus pejabat di Woodlands bernama MY VEP, berkata mereka hanya boleh mengendalikan 100 pelanggan sehari, dan hanya pelanggan yang mempunyai janji temu boleh datang ke pusat maklumat tersebut.

"Mereka yang tidak membuat janji temu, kami terpaksa menolak mereka, dan pesanan saya kepada mereka adalah saya mohon maaf, kita hanya mampu melakukan demikian," kata Encik Ng.

"Jika anda tidak mempunyai janji temu, tolong jangan datang, kerana, ia membuang masa anda, serta pihak kita juga."
PEMANDU TIDAK BERPUAS HATI

Apabila Mediacorp tiba di pusat VEP itu pada 8.30 pagi, 30 minit sebelum temu janji pertama dijadualkan, enam pemandu sudah menunggu dalam barisan di luar pejabat itu.

Hampir 20 orang berada di luar pejabat tersebut menjelang 9.00 pagi, dan tidak semua mempunyai janji temu.

Apabila Encik Ng menjelaskan mereka yang tiada janji temu tidak akan dilayan, beberapa orang bergerak ke hadapan.
(Gambar: CNA/Raydza Rahman)
Salah seorang daripadanya, yang kelihatan marah, dan bercakap dengan nada yang kuat kepada Encik Ng, berkata dia sudah cuba untuk mendapatkan janji temu menerusi pendaftaran online, namun tidak berjaya.

Dia kemudian membangkitkan isu tentang pembayaran, di mana Encik Ng cuba menenangkannya, dan mengatakan ia bukan di bawah bidang kuasa pejabat MY VEP.

Lelaki tersebut meninggalkan tempat itu tidak lama kemudian.

Mereka yang membuktikan mereka mempunyai janji temu dibawa ke pejabat, di mana mereka menunggu untuk nombor giliran mereka dipanggil.

Terdapat kod QR yang disediakan di pejabat tersebut supaya pemandu boleh mengimbas untuk membuat janji temu.

Apabila Mediacorp cuba mengimbas kod QR itu, laman web tersebut menunjukkan semua tarikh untuk membuat janji temu sudah ditempah sehingga tarikh terakhir, iaitu 4 Oktober.

Menurut Encik Ng, pemandu perlu menunggu sehingga Ahad (15 Sep), pukul 11.59 malam bagi tarikh janji temu baharu, antara 7 hingga 11 Oktober, yang akan disediakan di laman web tempahan.

Pemandu yang sedang beratur pula berkongsi isu yang dialami mereka bersama kakitangan MY VEP, atau dengan pemandu lain.

Beberapa pemandu juga "tersangkut" ketika ingin membuat pembayaran di portal pendaftaran VEP.

Manakala segelintir berkata mereka sudah memohon VEP beberapa tahun lalu apabila skim tersebut diumumkan buat pertama kalinya, namun kini berdepan masalah untuk memohon supaya mendapatkan tag fizikal.

SASAR UNTUK PASANG 100 HINGGA 150 TAG SEHARI: PENGURUS MY VEP

Encik Ng berkata, sejak MY VEP dibuka sebagai pusat maklumat, mereka diminta ramai pemandu sekiranya tag VEP boleh dipasang di tempat tersebut. Oleh itu, pejabat tersebut mendapatkan izin daripada pihak berkuasa Malaysia untuk melakukan demikian.

Pada Khamis (12 Sep), iaitu hari pertama pemasangan tag VEP, pasukan tersebut berjaya memasang 20 tag VEP di cermin hadapan kereta.

"Kami jangkakan, sekiranya semua berjalan lancar, kami akan memasang sekurang-kurangnya 100 hingga 150 tag, itu sasaran kami, jika tidak, lebih daripada itu dalam sehari," kata Encik Ng.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan