Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Beberapa langkah COVID-19 mungkin dilonggarkan jika kadar jangkitan mingguan merosot: Lawrence Wong

Singapura akan melonggarkan beberapa langkah COVID-19 seperti membenarkan isi rumah yang tinggal sebumbung makan bersama di luar jika kadar pertumbuhan jangkitan mingguan turun di bawah 1, kata pengerusi bersama jawatankuasa bertindak berbilang kementerian (MTF) Lawrence Wong pada Sabtu (23 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Beberapa langkah COVID-19 mungkin dilonggarkan jika kadar jangkitan mingguan merosot: Lawrence Wong

Gambar fail suasana di Kampong Glam Cafe di Bussorah Street pada 21 Jun 2021 (Gambar: Hakim Irwan/BERITAmediacorp)

Diterbitkan : 23 Oct 2021 04:42PM Dikemas Kini : 25 Oct 2021 03:16PM

SINGAPURA: Singapura akan melonggarkan beberapa langkah COVID-19 seperti membenarkan isi rumah yang tinggal sebumbung makan bersama di luar jika kadar pertumbuhan jangkitan mingguan turun di bawah 1, kata pengerusi bersama jawatankuasa bertindak berbilang kementerian (MTF) Lawrence Wong pada Sabtu (23 Okt).

Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan merujuk kepada nisbah kes COVID-19 dalam masyarakat sepanjang seminggu lalu berbanding minggu sebelumnya.

Nisbah sebelum ini ialah 1.5, yang menunjukkan bahawa kes meningkat dua kali ganda setiap dua minggu. Ia kini jatuh kepada "lebih sedikit daripada 1", kata Encik Wong semasa sidang media oleh pasukan bertindak itu.

“Ini bermakna kes masih meningkat tetapi pada kadar yang lebih perlahan. Tetapi oleh kerana kes masih meningkat, ia masih menyebabkan tekanan pada sistem penjagaan kesihatan kita,” jelas beliau.

"Kami memantau nisbah ini dengan teliti, dan jika ia berada di bawah 1 dan keadaan hospital dan ICU kekal stabil, kami akan membuat beberapa pelonggaran yang bersasar dalam tiga bidang."

Ini termasuk membenarkan sukan secara berpasukan disambung semula bagi kumpulan sehingga lima orang, menyambung semula lebih banyak kegiatan di sekolah dan institusi pengajian tinggi, dan membenarkan anggota keluarga yang tinggal serumah menjamu selera di kedai makanan dan minuman (F&B) dalam kumpulan sehingga lima orang, kata Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.

"Ini adalah pendekatan yang lebih tersusun di mana kami menilai sama ada risiko itu dapat diterima," tambahnya.

Encik Wong akur bahawa orang ramai mempersoal tentang sebab Pemerintah melonggarkan langkah-langkah tertentu tetapi tidak pula langkah-langkah lain.

"Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk mengambil pendekatan jalan tengah, untuk tidak bersikap keterlaluan atau tidak berubah daripada kedudukan sedia ada, atau terlalu terbuka dan mempertaruhkan lonjakan kes yang boleh membebankan sistem penjagaan kesihatan kita," tambahnya.

"Mengambil pendekatan tengah ini bermakna kita perlu lebih memilih dan perlu membuka dalam sekitaran yang kami nilai boleh diterima dari segi risiko."

Pemerintah menilai risiko ini bersama pakar dan penasihat, kata Encik Wong.

“Ia tidak sempurna. Tetapi pada umumnya di mana kami menilai risiko adalah tidak begitu tinggi, berada dalam had yang boleh diterima, maka kami akan mengambil langkah dahulu, sepertimana yang kami lakukan untuk perjalanan.”

WANITA HAMIL KINI BOLEH PULIH DI RUMAH

Kementerian Kesihatan juga mengumumkan bahawa program pemulihan di rumah akan diperluas kepada wanita hamil sudah lengkap divaksin yang berusia di bawah 35 tahun dan usia kandungannya kurang 26 minggu.

"Pesakit ini akan dinilai secara klinikal di hospital terpilih bagi penyesuaian mereka unutk menjalani pemulihan di rumah sebelum memulakan HRP (program pemulihan di rumah)," menurut MOH dalam kenyataan medianya.

Sementara itu, lebih ramai doktor umum akan dilibatkan untuk menyediakan sokongan telepemantauan bagi membantu individu di bawah HRP.

Kementerian juga sedang bekerjasama dengan hospital swasta untuk meluaskan kapasiti katil hospital untuk mengurus pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19. Kemudahan rawatan COVID-19 juga akan disediakan untuk "menambah kapasiti" di hospital awam.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan