Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Beberapa kelas Sekolah Rendah Nanyang jalani HBL susuli lonjakan kes demam selesema

Anggaran Waktu Membaca:
Beberapa kelas Sekolah Rendah Nanyang jalani HBL susuli lonjakan kes demam selesema

Sekolah Rendah Nanyang mengesan beberapa kes demam, batuk dan sakit tekak di sekolah sejak beberapa hari lalu. (Gambar: Google Maps)

Diterbitkan : 31 Jan 2023 05:33PM Dikemas Kini : 31 Jan 2023 11:50PM
SINGAPURA: Beberapa kelas di Sekolah Rendah Nanyang beralih ke pembelajaran di rumah setelah beberapa kes demam, batuk dan sakit tekak dikesan sejak beberapa hari lalu.

Dalam surat yang ditujukan kepada ibu bapa murid dari kelas yang terjejas, pengetua Wong Li Peng berkata pembelajaran di rumah akan dijalankan pada Selasa (31 Jan) dan Rabu (1 Feb).

Beliau menambah pihak sekolah akan memastikan kawasan terjejas serta ruang kegunaan bersama dibersihkan dan dibasmi kuman dengan sewajarnya.

Surat berkenaan menyatakan murid digalakkan supaya duduk di rumah seberapa boleh semasa pembelajaran di rumah diadakan.

Mereka juga harus mengelak daripada bertemu dengan rakan-rakan sekelas.

Dalam satu kiriman WhatsApp daripada pengetua, Cik Wong, ia menyatakan pihak sekolah mengesan kes-kes demam, batuk dan sakit tekak dalam dua kelas pada Jumaat lalu.

Beliau menambah, pihak sekolah kemudian membersihkan dan membasmi kuman di bilik-bilik darjah yang terjejas pada hari yang sama.

Sebuah mesej selanjutnya yang dikirimkan menerusi WhatsApp: "Kami memahami bahawa terdapat sebilangan pelajar yang mengalami simptom flu. Kami juga sedia maklum bahawa ia dikesan sejak Khamis."

Dalam satu lagi surat yang diberi kepada ibu bapa pada Isnin (30 Jan), Cik Wong menekankan bahawa sekolah tersebut amat mengalakkan pemakaian pelitup di sekolah untuk tempoh seminggu.

Beliau menggesa ibu bapa serta pelajar agar memainkan peranan masing-masing dalam menjalankan tanggungjawab sosial.

"Jika anak anda sakit, dia seharusnya mendapatkan nasihat perubatan dan berehat di rumah sehingga tempoh cuti sakitnya tamat," kata beliau.

Bilik-bilik darjah serta kawasan yang dikongsi akan dibersihkan dan dibasmikan kuman dengan sewajarnya, tambah Cik Wong. Beliau menambah bahawa pelajar diingatkan mengamalkan kebersihan yang baik, seperti mencuci tangan secara kerap.

Cik Wong menekankan bahawa keselamatan pelajar menjadi keutamaan sekolah dan pihak sekolah akan mengambil tindakan sewajarnya dalam memastikan langkah-langkah pencegahan yang dilaksana melindungi kebajikan pelajar.

Cik Wong turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat yang belum disahkan pihak sekolah.

Mediacorp sudahpun menghubungi Kementerian Pendidikan (MOE), Kementerian Kesihatan (MOH) dan Sekolah Rendah Nanyang untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Sumber : CNA/LL/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan