Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Beberapa faktor ini akan pengaruhi kegiatan pengganasan di Asia Tenggara

Laporan Penilaian Ancaman Pengganasan Singapura 2021 yang dikeluarkan hari ini (23 Jun) menyebut bahawa di Asia Tenggara, ISIS terus menjadi faktor ancaman utama, walaupun bilangan dan skala serangan pengganas kumpulan-kumpulan pro-ISIS di rantau ini berkurangan pada 2019 dan 2020.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Laporan Penilaian Ancaman Pengganasan Singapura 2021 yang dikeluarkan hari ini (23 Jun) menyebut bahawa di Asia Tenggara, ISIS terus menjadi faktor ancaman utama, walaupun bilangan dan skala serangan pengganas kumpulan-kumpulan pro-ISIS di rantau ini berkurangan pada 2019 dan 2020.

Zamil penyelidik pengganasan dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS), Muhammad Faizal Abdul Rahman berkata bahawa kumpulan-kumpulan pengganas masih mampu memperhebat pengaruh mereka kerana beberapa faktor.

(Gambar: Penyelidik pengganasan dari Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS), Muhammad Faizal Abdul Rahman)

"Isu di Xinjiang yang digunakan oleh Amerika Syarikat dalam konflik geopolitik bersama China boleh dieksploitasi oleh para pengganas kerana mereka yang berpengaruh di Asia Tengah. Dan pengunduran tentera Amerika dari Afghanistan boleh menyebabkan kumpulan-kumpulan Islam berkembang semula, sama seperti kemunculan ISIS semasa pengunduran tentera Amerika Syarikat dari Iraq semasa 2011 selepas Al-Qaeda tewas," terang Encik Faizal.

Malah, situasi tidak stabil di Afganistan, tambah Encik Faizal, akan memberi kawasan kumpulan-kumpulan pengganas untuk "masuk dan berkembang menggunakan kawasan itu untuk latihan dan menyebarkan ideologi mereka" serta membuat perancangan masa depan.

Pengawal Marin AS di Afghanistan. (Gambar: AFP/Manpreet Romana)

ISIS PALING BERBAHAYA

Apabila ditanya kumpulan pengganas Islam yang mana antara ISIS, Al-Qaeda dan Jemaah Islamiyah yang paling berbahaya kepada Singapura sekarang, ini jawapan Encik Faizal:

"Kumpulan ISIS memang paling berbahaya sekarang. Apa yang membezakan ISIS daripada kumpulan Al-Qaeda dan Jemaah Islamiyah adalah ISIS bijak dalam menggunakan wadah Internet."

Satu sebab ISIS boleh membangun dengan cepat dan luas sejak 2014, menurut Encik Faizal adalah disebabkan kegunaan internet.

ISIS kata beliau "pandai gunakan media sosial dan naratif untuk menarik perhatian kumpulan sasaran mereka terutama belia".

Situasi tersebut mampu untuk "memperkuatkan lagi propaganda ekstremis", jelas Encik Faizal.

Bendera ISIS di Rashad, Iraq. (Gambar fail: AFP/Jm Lopez)

PENGARUH KUMPULAN SAYAP KANAN

Dalam pada itu, Encik Faizal juga menarik perhatian bahawa penilaian ISD tentang pengaruh kumpulan pelampau sayap kanan adalah satu elemen baru yang disertakan dalam laporan dwitahunan itu.

Ancaman itu, menurutnya, mampu berkembang pada masa depan.

"Dari segi ancaman sayap kanan, ia merupakan satu masalah yang semakin berkembang disebabkan perkembangan di negeri Barat. Apa yang kita takut ialah ini adalah cabaran yang dinamakan radikalisasi timbal balik di mana pengaruh daripada kegiatan ISIS boleh membuak-buakkan lagi motivasi pihak-pihak sayap kanan. Dan juga kegiatan mereka boleh membuat kumpulan pelampau melancarkan serangan," jelas Encik Faizal.

Berdasarkan konteks di Singapura, beliau juga mengatakan bahawa ada juga sentimen yang sama seperti sayap kanan iaitu Islamofobia, xenofobia yang "memang wujud dan boleh merebak jika tidak terkawal".

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan