Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Beberapa anggota CEC WP sokong Pritam Singh jadi ketua parti gantikan Low Thia Khiang

Terdapat “kata sepakat” bahawa Encik Singh akan menjadi pemimpin WP yang seterusnya. Sekalipun demikian beliau perlu diundi terlebih dahulu.

Anggaran Waktu Membaca:
Beberapa anggota CEC WP sokong Pritam Singh jadi ketua parti gantikan Low Thia Khiang

Gambar fail TODAY.

Diterbitkan : 13 Feb 2018 03:05PM Dikemas Kini : 13 Feb 2018 05:38PM

SINGAPURA: Beberapa anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) Parti Pekerja (WP) menyatakan sokongan mereka kepada Penolong Setiausaha Agung parti itu, Encik Pritam Singh, 41 tahun, sebagai calon untuk mengambil alih ketua parti Low Thia Khiang.

Menurut mereka, terdapat “kata sepakat” bahawa Encik Singh akan menjadi pemimpin WP yang seterusnya. Sekalipun demikian beliau perlu diundi terlebih dahulu.

Bercakap kepada Mediacorp, Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Dennis Tan dan Leon Perera serta mantan NCMP Gerald Giam, semuanya menyuarakan sokongan kepada Encik Singh selepas rakan parti mereka, Daniel Goh, menyatakan sokongan yang sama menerusi laman Facebooknya. Selain itu, Dr Goh juga berkata beliau tidak akan bertanding bagi jawatan setiausaha agung partinya.

Dr Goh, 44 tahun, menyifatkan Encik Singh sebagai “seorang AP yang terbukti berpengalaman”, sambil menambah pemimpin WP yang seterusnya perlu “berjiwa rakyat dan mengetahui kelemahannya sendiri, bekerja rapat dengan anggota akar umbi partinya serta menggesa mereka untuk bersatu demi kebaikan bersama Singapura dan rakyat Singapura”.

"Saya bekerja rapat dengan Pritam dalam jawatankuasa penganjur WP60 ... dan saya yakin beliau adalah pemimpin berjiwa rakyat,” menurut Dr Goh.

PEMIMPIN BERPENGALAMAN

Mengulas tentang ciri-ciri lain yang mesti ada dalam pengganti Encik Low supaya WP terus berkembang sebagai parti pembangkang yang berdaya maju, Dr Goh berkata ia memerlukan seorang pemimpin yang "berpengalaman berucap dan berdebat dengan baik di Parlimen dan berupaya menerajui para AP WP yang lain".

Individu itu mestilah seseorang yang “bekerjasama dan mendapat keyakinan serta sokongan pengundinya di samping mempunyai "pengalaman baik dalam memimpin pengurusan majlis bandaran".

Atas dasar itu, Dr Goh berkata masih banyak yang perlu beliau pelajari, memandangkan dirinya “seorang NCMP dengan hanya dua tahun pengalaman dalam politik”.

Encik Singh bagaimanapun tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan komen beliau.

Pada bulan November lalu, Encik Low, 61 tahun, mengumumkan bahawa beliau akan melepaskan jawatan sebagai ketua WP. Ramai yang terkejut dengan pengumuman Encik Low namun bagi parti itu, perkara tersebut sudah lama dipertimbangkan.

WP akan mengadakan pemilihan CEC yang seterusnya pada bulan April dan Encik Low berkata beliau tidak akan bertanding bagi jawatan Setiausaha Agung, yang sudah disandangnya selama 17 tahun.

Selain Dr Goh dan Encik Pritam, para penganalisis politik sebelum ini berkata Encik Tan, 47 tahun dan Encik Perera, 46 tahun, dijangka memainkan peranan utama dalam tampuk kepimpinan WP yang akan datang.

Encik Tan dan Encik Perera juga menyatakan mereka tidak akan bertanding bagi jawatan tertinggi dalam WP itu dan akan menyokong Encik Singh jika beliau bertanding.

Mereka merujuk kepada pengalaman luas Encik Singh dalam pengurusan majlis bandaran sebagai sebab utama (mengapa) belia patut menyandang jawatan sebagai ketua parti yang seterusnya.

PRITAM SINGH PUNYAI PENGALAMAN TIGA KALI GANDA

Sejak bulan Oktober 20145, Encik Singh sudah menyandang jawatan sebagai pengerusi Majlis Bandaran Aljunied-Hougang.

Encik Tan juga berkata Encik Singh - yang menyertai WP pada tahun 2010 - sudah menyandang beberapa jawatan utama dalam parti, seperti setiausaha penganjur.

“Oleh itu, beliau mempunyai tiga kali ganda pengalaman. Saya berasa terdapat kata sepakat dalam kalangan anggota parti bahawa beliau akan mengambil alih jawatan itu. Namun kami perlu mengadakan pilihan raya dan para kader perlu membuat undian,” tambah beliau.

Encik Perera berkata Encik Singh adalah seorang “pemimpin yang berpengalaman, yang berwibawa memainkan peranan-peranannya dalam parti dan majlis bandaran”. Encik Singh juga aktif bersama akar umbi dan menunjukkan prestasi yang baik di Parlimen, tambah beliau.

Menyifatkan Encik Singh sebagai “seseorang yang menyuntik kesegaran” dalam pandangannya berkaitan pelbagai isu, Encik Giam - yang memimpin Sayap Belia WP - juga menyatakan sokongan beliau kepada Encik Singh. “Beliau boleh meneruskan imej parti dan menerajuinya ke tahap lebih tinggi,” kata Encik Giam.

Para penganalisis politik menyatakan Encik Singh sudah bersedia untuk mengambil alih jawatan tersebut memandangkan beliau yang paling berpengalaman dalam kalangan pemimpin WP yang seterusnya.

Selain berpengalaman, Encik Singh juga merupakan yang paling muda dalam kalangan calon-calon lain, kata mereka.

Oleh itu, Encik Singh berada dalam kedudukan yang baik untuk mendampingi para pengundi muda, menurut pensyarah undang-undang di Universiti Pengurusan Singapura, Dr Eugene Tan.

“Satu lagi kelebihan Encik Singh adalah beliau bukan dari kaum Cina dan WP sudah mencuba mendampingi lebih ramai pengundi dari kaum lain sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” tambah beliau.

Profesor Sains Politik Bilveer Singh dari Universiti Nasional Singapura (NUS) pula berkata pemimpin WP yang seterusnya adalah dalam kalangan AP yang sedia apa.

Memandangkan Encik Singh adalah Penolong Setiausaha Agung, maka “wajar” untuk beliau mengambil alih setelah Encik Low melepaskan jawatannya, tambah beliau. Sungguhpun Encik Singh layak, masih perlu dilihat sama ada beliau berpengaruh dan boleh memikul tanggungjawab parti.

“Setiausaha agung bukan setakat perlu memenangi undi di kawasan undinya malah di seluruh negara,” kata Dr Bilveer Singh.

"BUKAN JAMINAN" KATA ANGGOTA MAPAN

Menurut pensyarah di SIM Global Education, Felix Tan, meskipun rakan-rakan Encik Singh menyatakan sokongan mereka, ini tidak boleh dianggap sebagai sokongan jelas daripada para anggota parti, termasuk yang dari generasi lama.

Ternyata, seorang anggota mapan parti yang enggan namanya didedahkan, berkata ia “bukan jaminan” bahawa Encik Singh akan menjadi pengganti Encik Low.

Beliau mendakwa kebanyakan anggota mapan masih cenderung ke arah Encik Chen kerana “beliau berdiri atas kaki sendiri dan mempunyai idea-idea tersendiri”, manakala Encik Singh dilihat sebagai terlalu rapat dengan Encik Low.

Semasa pilihan raya CEC 2016, Encik Chen tumpas dengan mendapat 45 undi manakala Encik Low memenangi 61 undi.

Dr Felix Tan berkata: “Walaupun tewas, masih terdapat sokongan kukuh kepada Encik Chen dalam kalangan sebahagian anggota.”

Sementara itu, Pengerusi WP Sylvia Lim memberitahu wartawan beliau tidak cenderung untuk menjadi pengganti Encik Low. Bercakap kepada media semasa sesi Bertemu Penduduk, Cik Lim berkata beliau sekali lagi akan bertanding bagi jawatan pengerusi dalam pilihan raya CEC akan datang.

Mengulas mengenai identiti ketua WP yang seterusnya, beliau menekankan CEC belum mengadakan mesyuarat untuk membincangkannya dan akan keputusannya ada dalam undian para kader.

Sumber : Today/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan