Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Beban kes COVID-19 berkurangan tapi petugas jagaan kesihatan masih dicengkam isu tenaga kerja

Apabila hari cuti dibatalkan pada saat-saat akhir dan diminta kembali bertugas, ada kakitangan takut menjawab "tidak" kerana tidak mahu gred prestasi kerja terjejas.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu kejadian yang membuat Lena, seorang jururawat berusia 30-an tahun, hampir putus asa adalah apabila beliau dipanggil semula untuk bekerja pada hujung minggu sedangkan ketika itu anak lelakinya yang berusia 13 tahun sedang meraikan ulang tahunnya.

Ini kerana wad COVID-19 di mana beliau ditugaskan di hospital kumpulan SingHealth mengalami kekurangan tenaga kerja apabila seorang jururawat terjangkit koronavirus manakala lagi dua dikuarantin.

Lena, yang sudah merancang untuk 'staycation' bersama keluarga tiga bulan sebelum itu, berkata: "Saya menangis pada hari itu. Saya seolah-olah terpaksa memilih antara pesakit di hospital dengan keluarga saya."

Beliau dipanggil semula untuk bekerja pada hari pertama cutinya. Dengan berat hati, Lena kembali bertugas dan menyertai keluarganya pada keesokan harinya.

Sedang jumlah kes COVID-19 dalam masyarakat semakin stabil dan beban kes kelihatan berkurangan berbanding sebulan yang lalu, para petugas jagaan kesihatan yang diwawancara oleh Mediacorp bagaimanapun berkata bahawa masalah tenaga kerja masih membelenggu mereka.

Dan meskipun mereka dibenarkan mengambil cuti untuk berehat dan menyegarkan diri, ramai yang berkata mereka dipanggil semula untuk bekerja pada hari cuti dan rehat mereka — yang menjadi antara punca mengapa sebilangan daripada mereka memutuskan untuk meninggalkan kerjaya tersebut.

Kelompok-kelompok hospital awam yang dihubungi Mediacorp menyatakan pihak mereka sudah menyediakan pelbagai langkah seperti khidmat kaunseling, talian bantuan untuk pekerja dan program sokongan rakan sekerja untuk menyokong pekerja jagaan kesihatan dan menjaga kesejahteraan mereka.

Walaupun para pekerja sedia maklum tentang program-program tersebut, ramai yang tidak memanfaatkannya.

Salah seorang daripada mereka ialah Amy, seorang jururawat yang bekerja di bawah Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS), yang menjawab dengan ringkas: “Siapa yang ada masa? Kami terlalu letih untuk bercakap sekalipun dengan seorang profesional.”

SUKAR CARI WAKTU REHAT

Para pekerja jagaan kesihatan yang dihubungi Mediacorp tidak mahu nama mereka didedahkan kerana mereka tidak dibenarkan bercakap dengan media.

Menurut mereka, kekurangan tenaga kerja disebabkan oleh peletakan jawatan secara beramai-ramai dan ia adalah antara penyumbang terbesar kepada keletihan yang dialami.

Bulan lalu, Menteri Negara Kanan Kesihatan Dr Janil Puthucheary mendedahkan peletakan jawatan dalam kalangan pekerja jagaan kesihatan meningkat pada separuh pertama tahun ini disebabkan oleh tekanan pandemik COVID-19. Sekitar 1,500 pekerja jagaan kesihatan meninggalkan pekerjaan mereka pada separuh pertama tahun ini berbanding kira-kira 2,000 setiap tahun sebelum pandemik melanda.

 

Sarah, seorang doktor muda di sebuah hospital awam, berkata: “Semangat kerja sangat teruk (semasa lonjakan kes COVID-19 pada Oktober dan November). Ramai jururawat am bekerja lebih masa kerana begitu ramai jururawat meletak jawatan.”

Peletakan jawatan beramai-ramai itu menimbulkan masalah kepada tenaga kerja, menyebabkan kakitangan sedia ada menghadapi kesukaran apabila mereka ingin memohon cuti, walaupun mereka sudah merancang tarikh cuti mereka setahun lebih awal.

Ada juga yang dibatalkan permohonan cuti mereka pada saat-saat akhir dan dipanggil semula bekerja pada hari rehat mereka.

Lena berkata bahawa beliau dipanggil semula bekerja sekurang-kurangnya tiga kali dalam tempoh enam bulan lalu, dua kali apabila kes COVID-19 dalam masyarakat melonjak pada Oktober. Ini menjejas masa bersama keluarganya memandangkan waktu kerjanya panjang sehingga menyebabkannya tidak dapat banyak meluangkan masa bersama anak-anaknya.

Menurut beliau, masalah tersebut sudah dibangkitkan kepada pengurusnya, yang memahami tentang keprihatinannya. Mereka bersetuju bahawa Lena tidak akan dipanggil semula bekerja semasa tempoh cuti sekolah.

Roy, seorang lagi jururawat di bawah kumpulan jagaan kesihatan awam SingHealth yang bekerja di wad pasca pembedahan, berkata bahawa sukar untuk berkata "tidak" apabila penyelia memanggilnya kembali bekerja. Walaupun beliau pernah melakukannya selama beberapa kali, beliau percaya bahawa ia menjejas gred prestasi kerjanya, yang lantas akan menjejas faedah tertentu yang diberikan kepadanya.

Inilah sebabnya mengapa beliau memutuskan untuk meletak jawatan.

"Saya diberi gred lebih rendah dan diberitahu prestasi saya kurang memuaskan, semata-mata kerana saya bertegas untuk mengambil hari rehat dan cuti pada tarikh yang sudah saya mohon," kongsinya.

Anna, seorang jururawat berusia 20-an tahun yang enggan mendedahkan nama hospital di mana beliau bekerja, bersetuju dengan Roy.

Kata beliau, walaupun pengurusnya meluluskan hari cuti semasa tempoh COVID-19, jururawat masih perlu memberi alasan mengapa mereka perlu mengambil cuti pada hari itu. Ia juga bergantung kepada jumlah tenaga kerja jabatan itu.

RUANG BERNAFAS

Apabila pandemik COVID-19 mencecah tahun kedua sejak ia mula melanda, kakitangan barisan hadapan jagaan kesihatan mengalami tahap keletihan yang sangat tinggi.

Namun ada yang berkata bahawa beban kerja buat masa ini adalah lebih baik berbanding semasa penularan di dormitori pekerja hijrahan pada tahun lalu, kelompok hospital pada April dan lonjakan kes COVID-19 dalam kalangan masyarakat dua bulan lalu.

Begitulah yang dialami Siva, seorang jururawat National Healthcare Group berusia lewat 30-an tahun, yang bekerja di wad pandemik.

Katanya, jumlah kes COVID-19 sudah berkurangan, namun sesetengah jururawat, terutama mereka yang menjaga kumpulan pesakit yang lebih kecil, dikerahkan untuk menyokong bidang-bidang lain yang lebih memerlukan.

"Jadi anda tidak dapat benar-benar berehat. Jika anda tidak sibuk, anda boleh dipindahkan ke jabatan yang lebih sibuk,” tambahnya.

Seorang doktor muda di Hospital Universiti Nasional (NUH) berkata beban kes yang lebih rendah memberi mereka sedikit ruang untuk bernafas. Namun terdapat kebimbangan sekiranya varian Omicron akan meningkatkan lagi tekanan terhadap sistem jagaan kesihatan.

HOSPITAL KEKAL BERWASPADA

Kelompok-kelompok hospital awam memberitahu Mediacorp bahawa pihak mereka sentiasa berwaspada untuk memastikan tenaga kerja dan kapasiti mencukupi untuk menangani sebarang lonjakan kes COVID-19 di sini, terutamanya dengan penularan varian Omicron.

Profesor Fong Kok Yong, timbalan ketua pegawai eksekutif khidmat perubatan dan klinikal SingHealth, berkata bahawa institusinya sedang berusaha untuk mencapai keseimbangan antara memastikan sumber yang mencukupi untuk menangani lonjakan kes COVID-19 di sini dengan aturan kerja yang seimbang supaya pekerja berpeluang untuk mengambil cuti.

Profesor Madya Thomas Loh, pengerusi kumpulan lembaga perubatan NUHS, berkata sekitar 65 peratus kakitangannya sudah memohon dan bergilir-gilir bercuti hujung tahun kerana mereka dinasihatkan untuk merancang awal dengan jabatan masing-masing.

Institusi-institusi jagaan kesihatan menyatakan pelbagai inisiatif sudah diperkenalkan untuk menjaga kebajikan kakitangan masing-masing, terutama sepanjang tempoh dua tahun lalu.

Awal bulan ini, kematian seorang jururawat Hospital Besar Singapura (SGH) mencetuskan perbincangan di media sosial mengenai kesejahteraan mental pekerja jagaan kesihatan di sini.

Kumpulan aktivis online laman Facebook dan Instagram "Wake Up, Singapore", mendakwa jururawat itu mengambil nyawa sendiri dengan sengaja selepas bergelut dengan masalah kesihatan mental, diburukkan lagi dengan kesukaran yang dihadapinya untuk pulang ke pangkuan keluarganya di Malaysia.

Ini mendorong SGH untuk menggesa orang ramai supaya jangan membuat sebarang spekulasi berhubung kematian jururawat itu.

DI MANA UNTUK DAPATKAN BANTUAN:

  • Hotline Jagaan Nasional: 1800 202 6868
  • Khidmat Kaunseling Online Fei Yue: Laman eC2.sg (Isnin hingga Jumaat, 10 pagi - 12 tengah hari, 2 petang - 5 petang)
  • Talian bantuan Kesihatan Mental IMH: 6389-2222 (24 jam)
  • Samaritans of Singapore: 1800-221-4444 (24 jam) / 1-767 (24 jam)
  • Persatuan Singapura bagi Kesihatan Mental: 1800-283-7019 (Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 6 petang)
  • Reben Perak S'pura: 6386-1928 / 6509-0271 (Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 6 petang)
  • Tinkle Friend: 1800-274-4788 (Isnin hingga Jumaat, 2.30 petang hingga 5 petang)
  • Touchline (Kaunseling): 1800-377-2252 (Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 6 petang)
Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan