BCA, Jewel gesa pengunjung patuh peraturan keselamatan selepas kanak-kanak patah tulang hidung
Kecederaan yang dialami oleh seorang kanak-kanak lelaki selepas beliau terjatuh di tempat tarikan Walking Net di Canopy Park di Jewel Changi. (Gambar: Richard, CNA/Wallace Woon)
Menjawab pertanyaan Mediacorp pada Isnin (5 Jan), seorang jurucakap Jewel Lapangan Terbang Changi menggesa semua pengunjung supaya mematuhi garis panduan keselamatan semasa berada di daya tarikan itu.
"Bagi memastikan pengalaman yang selamat dan menyeronokkan, kami menggesa semua pengunjung supaya mematuhi dan memberi perhatian kepada garis panduan keselamatan yang ditetapkan semasa berada di daya tarikan itu, dan membantu untuk memastikan anak-anak mereka juga berbuat demikian," kata jurucakap itu.
Pada 10 Disember 2025, kanak-kanak lelaki itu yang ditemani ibunya Anna dan abangnya yang berusia sembilan tahun, tersandung ketika berlari di atas jaring itu lalu terhentak platform kayu.
"Saya lihatnya terjatuh, tetapi saya tidak sempat berlari ke sana tepat pada masanya. Sudah terlambat," kata ibunya dalam Bahasa Mandarin, sambil menambah bahawa beliau tidak pasti sama ada kanak-kanak itu sedang berlari.
"Seluruh wajahnya berlumuran darah... Beliau menangis teresak-esak... Gambaran itu berulang kali bermain dalam fikiran saya."
Anna, yang hanya mahu dikenali dengan nama tersebut, berkata beberapa kakitangan di daya tarikan itu menghulurkan bantuan kecemasan dengan segera.
Beliau berkata beliau tahu anaknya perlu dibawa ke hospital selepas melihat betapa dalam luka yang dialami.
Gambar kecederaan yang dilihat oleh Mediacorp menunjukkan kesan luka pada batang hidung kanak-kanak itu.
Bapa kanak-kanak itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Richard, berkata kanak-kanak itu menjalani pembedahan pada keesokan hari bagi tulang hidung yang patah.
Pasukan bedah itu pelu menjahit tiga lapisan tisu, menyebabkan anaknya menerima 30 jahitan, katanya.
"Saya terkejut... Tentu sekali akan ada parut, parut yang berkekalan. Parut itu akan kekal bersamanya seumur hidup," kata Encik Richard.
"Kami kekal prihatin bagi kanak-kanak yang cedera itu dan masih berhubungan dengan keluarga itu mengenai kejadian tersebut," kata jurucakap itu.
Jurucakap itu tidak memberi butiran lanjut mengenai kejadian keselamatan yang pernah berlaku di Walking Net.
Dibuka pada Jun 2019, Canopy Park terletak di tingkat lima Jewel Lapangan Terbang Changi.
Selain Walking Net, daya-daya tarikan lain temasuk Canopy Bridge, Mirror Maze dan Bouncing Net.
TIDAK DIBENARKAN BERLARI DI WALKING NET
Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) menyatakan dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp bahawa ia sudah pun menjalankan siasatan dan mengesahkan daya tarikan itu mematuhi keperluan peraturan.
Akta Keselamatan Taman Hiburan memerlukan pengendali untuk beroperasi mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pereka bentuk atau pengilang, menurut pengawal selia itu.
"Kanak-kanak itu, yang berlari di atas jaring itu, hilang imbangan lalu terhentak laluan papan kayu itu," menurut BCA.
"BCA menggalak semua pengunjung supaya mematuhi arahan keselamatan dan garis panduan serta memantau kanak-kanak demi pengalaman yang selamat dan menyeronokkan."
Jurucakap Jewel berkata garis panduan keselamatan Walking Net menyatakan para pengunjung tidak seharusnya berlari di daya tarikan itu.
"Para pengunjung perlu menjalani taklimat keselamatan sebelum memasuki Walking Net, yang meliputi arahan mengenai tindakan wajar, termasuk tidak berlari atau bermain dengan kasar."
Terdapat juga papan tanda makluman yang terletak di pintu masuk daya tarikan itu bagi mengingatkan pengunjung mengenai garis panduan itu, kata jurucakap tersebut.
Di bawah keperluan tiket daya tarikan itu, semua kanak-kanak yang memasuki Walking Net harus ditemani dan diselia oleh seorang dewasa.
Kakitangan, yang dikenali sebagai "renjer" juga ditempatkan di sekitar daya tarikan untuk memberi peringatan keselamatan sewajarnya.
"Dalam kejadian itu, renjer sudah memberi beberapa peringatan kepada kumpulan pengunjung bersama kanak-kanak itu supaya tidak berlari di Walking Net, sebelum kejadian malang itu berlaku," kata jurucakap itu.
Bercakap kepada Mediacorp, bapa kanak-kanak itu berkata isunya bukan mengenai tindakan anaknya berlari di atas jaring itu, tetapi tentang keselamatan daya tarikan itu.
"Sekiranya bahagian tepi lantai kayu itu dilindungi dengan betul, kecederaan ini dapat dielakkan."
Beliau menambah platform kayu itu tidak ditutup apabila beliau mengunjungi tempat kejadian pada keesokan hari.
Apabila ditanya mengenai keadaan anak lelakinya, Anna berkata beliau kini beransur pulih dan sudah menghadiri hari pertama persekolahan Darjah 1 pada 2 Januari lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.