Skip to main content

Singapura

BazaRia Marsiling tawar lebih 140 gerai F&B, runcit

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Suasana menjelang Ramadan hangat dirasakan di kawasan utara dengan pelancaran BazaRia Marsiling malam ini (Khamis, 27 Feb).

Anggota Parlimen (AP) GRC Marsiling-Yew Tee, Encik Zaqy Mohamad, yang juga Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia); dan Cik Hany Soh hadir untuk melancarkan pembukaan bazar tersebut secara rasmi.

Bazar yang terletak di tanah lapang bersebelahan stesen MRT Woodlands itu menawarkan kira-kira 140 gerai makanan dan minuman (F&B) serta runcit bagi penduduk membuat persiapan menyambut perayaan Ramadan dan Hari Raya.

Turut dilancarkan malam adalah penyalaan lampu hiasan Hari Raya di sepanjang jalan di hadapan Pasar Marsiling Lane dan Masjid An-nur.

MENGIMBAU NOSTALGIA SUASANA KAMPUNG

Istimewa kali ini, bazar yang berlangsung selama 30 hari itu ingin membawa pengunjung mengimbau suasana kampung.

Selain ruang khas yang menggambarkan kehidupan di kampung, sudut 'Tikar Piknik' turut disediakan sebagai tempat bersantai dan menikmati juadah berbuka puasa bersama keluarga dan rakan.

Pengunjung juga boleh mengabadikan kenangan di bazar ini dengan bergambar dan berkongsi momen mereka secara langsung di media sosial.

"Tahun ini saya rasa yang bazar di sini ada banyak perkara yang menarik perhatian saya. Saya lihat ada lebih banyak kepelbagaian makanan berbanding dengan beberapa tahun lepas dan saya lihat gerai juga cuba sedaya upaya untuk membuat makanan lebih murah, lebih sedap untuk ,memenuhi citarasa anak muda dan tua," kata Cik Adelyna Natrisya Md Herrman.

Pengasas, Artisan Pancakes, BazaRia Marsiling Cik Maria J yakin dengan sambutan sepanjang bazar itu berlangsung.

"Di kawasan Woodlands Marsiling ini ramai orang Melayu. Jadi memang sambutannya memang memang bagus sangat. Daripada segi menjual baju makanan, so diorang memberi sokongan kuat," kata beliau.

INISIATIF INFAQ KASIH

Tahun ini, inisiatif Infaq Kasih dilancarkan untuk mengumpul Baju Kurung dan Baju Melayu terpakai, dengan kerjasama Masjid An-Nur.

Sasaran inisiatif it adalah mengumpul 2,000 pasang baju raya terpakai untuk didermakan kepada penduduk yang kurang berkemampuan.

"Alhamdulillah kita dapat melihat gotong-royong, sifat bergotong-royong di antara penduduk Marsiling dan juga penduduk-penduduk di sini. Dan ini kita dapat melihat bagaimana sumbangan baik telah diberikan oleh lebih daripada 2000 keluarga penduduk di Marsiling dan juga untuk memberi mereka yang lebih memerlukan untuk mendapatkan baju kurung, baju raya supaya dapat menyambut Hari Raya bersama kita semua," kata Encik Zaqy kepada wartawan Syawal Yusof.

Para pengunjung dihiburkan dengan persembahan menarik termasuk penampilan juara Gegar Vaganza terbaharu, Liza Aziz dan pelantun lagu-lagu tradisional Rudy Djoe.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita