Skip to main content

Singapura

Bazar Raya Geylang Serai dilancarkan; tawar lebih 500 gerai sehingga 21 Mac

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Geylang Serai kembali bermandikan cahaya lampu raya yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong pada Sabtu (14 Feb).

Ini sekaligus membuka tirai bagi Bazar Raya Geylang Serai 2026. 

Dengan lebih 500 gerai, bazar Hari Raya terbesar di Singapura itu juga dibuka lebih lama tahun ini iaitu 36 hari.

Meskipun hujan sejak kira-kira 5.30 petang Sabtu (14 Jan), masih ada ramai pengunjung bagi menikmati suasana di sini sebelum tibanya Ramadan. 

PENYALAAN LAMPU RAYA GEYLANG SERAI RAIKAN IKATAN YANG SATUKAN RAKYAT SG

Related article image
Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong beri ucapan. (Gambar: WGS) 

Acara pelancaran itu turut diserikan lagi dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong.

Dalam ucapannya, Encik Gan berkata bahawa penyalaan lampu raya di Geylang Serai bukan sekadar menghiasi dan menerangkan ruang fizikal itu sahaja tetapi meraikan ikatan yang menyatukan rakyat Singapura. 

Encik Gan berkata: "Kepelbagaian kita adalah satu kekuatan yang wajar diraikan. Apabila kita menerangi Geylang Serai, kita bukan sahaja menerangi ruang fizikal tetapi juga ikatan yang menyatukan kita sebagai rakyat Singapura. Lampu-lampu berwarna-warni itu mencerminkan pelbagai rona masyarakat kita, masing-masing berbeza namun digabungkan secara harmoni menjadi satu paparan yang gah."

Related article image
DPM Gan dan Dr Faishal bersama para pengunjung. (Gambar: WGS) 

Melihat ramai yang berkumpul di sini tidak kira kaum dan agama, Encik Gan berkata ia bukti keutuhan masyarakat berbilang kaum Singapura dan kerencaman ini adalah kekuatan dan daya saing kita dalam pasaran global. 

"Kepelbagaian kita merupakan satu kelebihan daya saing dalam pasaran global. Ia membolehkan kita berhubung dengan rakan kongsi di seluruh dunia, memahami pasaran dan budaya yang berbeza serta berinovasi melalui gabungan pelbagai perspektif dan tradisi," ujar Encik Gan. 

LAMPU RAYA SEPANJANG 2.6KM HIASI GEYLANG SERAI HINGGA 30 MAC

Related article image
Lampu Raya Geylang Serai dinyalakan pada 14 Feb. (Gambar: WGS)

Setelah menyampaikan ucapannya itu, beliau disertai Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim dan para anggota parlimen lain untuk merasmikan lampu raya di kawasan ikonik itu. 

Lampu raya tahun ini sepanjang 2.6 kilometer antara Geylang Road dan Sims Avenue dan akan dinyalakan setiap malam hingga 30 Mac ini. 

"Walaupun hujan, saya rasa gembira masih ramai yang turun padang. Ini kerana keistimewaan bazar Ramadan dan juga penyalaan lampu. Apabila kita lihat apa yang sedang berlaku di dunia ini, Singapura kita beruntung kerana kita masih boleh hidup dengan aman damai dan juga masih boleh mengadakan acara-acara yang mempereratkan lagi silaturahim," kata Dr Faishal kepada pihak media. 

ORANG RAMAI SUDAH MULA KE BAZAR GEYLANG SERAI PADA HARI PERTAMA PEMBUKAAN

Related article image
Pengunjung, Masrifah Mahsuri. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri) 

Ada juga yang datang lebih awal tadi bersama keluarga, dan rakan-rakan bagi menikmati suasana hari pertama ke gerai-gerai makanan dan pakaian yang sudah buka. 

“Alhamdulillah, saya lihat kawasan ini jika bandingkan dengan yang dahulu, sangat sempit, tetapi kini sudah lapang dan selesa," kongsi salah seorang pengunjung, Cik Masrifah Mahsuri, kepada wartawan Nazirah Jamzuri. 

"Hiasan di sini membuatkan saya rasa seperti suasana Hari Raya," kongsi seorang lagi pengunjung, Erwin Anaqi Mohd Ridzuan.

"Saya datang dengan keluarga saya kerana kita ingin mencari makanan. Memang selalunya kita datang ke sini untuk makan sebelum puasa,” tambahnya. 

PEMBAYARAN DIGITAL, DISKAUN MENARIK UNTUK PENGUNJUNG

Related article image
Hari pertama Bazaar Raya Geylang Serai pada 14 Feb. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Tahun ini juga merupakan kali pertama penganjur bazar itu bekerjasama dengan rakan-rakan korporat untuk menggalak pendigitalan termasuk bayaran dan diskaun menarik. 

Menerusi kolaborasi dengan Grab, pengunjung boleh nikmati diskaun 5 peratus jika mereka bayar menggunakan Grab Dine Out menerusi aplikasi Grab. 

Peniaga-peniaga barangan di sini juga boleh sertai Shopee sebagai peniaga rasmi untuk lakukan penjualan menerusi sesi 'livestream' eksklusif setiap hari antara 8.00 malam hingga 12.00 malam.

Ramai peniaga yang ditemui mengalu-alukan usaha itu ke arah pendigitalan bazar. 

Related article image
Pemilik bersama Munchie, Encik Amirul Mukmin. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

"Setahu saya, bazar Geylang ini memang semua orang digalakkan menggunakan bayaran digital dan saya rasa ini idea yang baik. Sekarang orang semua tidak menggunakan duit. Mereka menggunakan PayNow, Grab, Master atau Visa. Jadi senang untuk kita juga," kongsi Pemilik bersama Munchie, Encik Amirul Mukmin, yang buat pertama kalinya menyertai Bazar Raya Geylang Serai.

"Ia sangat membantu kerana kita berada di bazar fizikal ini tetapi kami juga boleh mendapatkan pelanggan dari seluruh Singapura. Jadi pelanggan tidak perlu ke sini untuk mendapatkan produk kami," menurut seorang lagi peniaga pakaian dari Wahdini, Cik Farida Hashim.

Bazar Raya Geylang Serai akan berlangsung hingga 21 Mac dan dibuka setiap hari dari 10.00 pagi hingga 11.59 malam, dengan waktu operasi dilanjutkan sehingga jam 6.00 pagi pada Hari Raya Aidilfitri (21 Mac).

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita